11 May 2013

Negeri Sembilan 0 - 3 Kelantan

Kelantan Atasi Negeri Sembilan

Juara Bertahan, Kelantan masih belum berputus asa untuk mengejar kedudukan 5 tangga teratas Liga apabila berjaya menewaskan Negeri Sembilan dengan keputusan 3 – 0 di Stadium Paroi malam tadi.
Gol Kelantan dijaringkan oleh Kapten Pasukan, Badhri Radzi melalui sepakan sudut terus menerjah ke gawang gol manakala dua gol lagi disumbangkan oleh Indraputra Mahyuddin dan Norfarhan Muhammad.
Perlawanan seterusnya Kelantan bakal bertemu Kitchee FC untuk pusingan ke – 2 Piala AFC di Kota Bharu pada 14 Mei ini.
***
Jang Terus Hanyut Di Paroi
SEREMBAN - Impian Negeri Sembilan untuk terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan semakin kabur apabila terus diaibkan di gelanggang sendiri dengan kekalahan 0-3 kepada Kelantan di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, semalam.
Keputusan itu menyaksikan skuad Hobin Jang Hobin gagal mengakhiri kemarau kekalahan, sekali gus terus menghuni tangga tercorot liga hanya dengan mengutip tujuh mata.
Dalam pertemuan semalam, gol pembukaan Red Warriors dijaringkan oleh ketua pasukannya, Mohd. Badri Radzi pada minit ke-31 melalui sepakan sudut yang terus melencong masuk menerjah gawang tuan rumah.
Gol kedua Kelantan pula diperoleh menerusi Indra Putera Mahayuddin yang membuat larian pantas sebelum menguis masuk mudah bagi menewaskan penjaga gol tuan rumah, Mohd. Hamsani Ahmad pada minit ke-75.
Derita tuan rumah bertambah selepas Mohd. Norfarhan Muhammad menyumbat gol ketiga Kelantan ketika perlawanan tinggal sembilan minit untuk ditamatkan.
Kelantan berhak melakar kemenangan kerana mendominasi permainan, selain lebih agresif mengatur gerak serta melakukan banyak percubaan ke gawang tuan rumah.
Malah, penyandang juara itu hampir membuka tirai jaringan melalui voli Indra Putera pada minit ke-28, namun cubaannya terkena palang.
Seminit selepas itu, penjaga gol tuan rumah, Mohd. Hamsani nyaris dihukum apabila sepakan gol yang diambil terus menuju ke arah Mohd .Badri, namun gagal dikawal kemas sebelum terkeluar dari garisan.
Separuh masa kedua perlawanan pula menyaksikan anak-anak buah Bojan Hodak terus melakukan asakan demi asakan untuk menambah gol.
Gawang tuan rumah nyaris dibolosi kali kedua apabila tandukan pertahanan, Obina Nwaneri terkena palang pada minit ke-59 melalui sepakan sudut yang diperoleh Kelantan.
Kealpaan barisan pertahanan tuan rumah yang bagai hilang punca terus membolehkan Red Warrior memperoleh gol kedua dan ketiga melalui Indera Putera dan Mohd. Norfarhan.
Keputusan kekal 0-3 sehingga ke akhir minit perlawanan sebelum pengadil meniupkan wisel penamat.
***
Kelantan Sudah Kembali:Hodak
Seremban: Pengendali Kelantan, Bojan Hodak menghambur kata-kata pujian ke atas persembahan anak buahnya yang berjaya mengutip mata penuh berharga selepas menewaskan Negeri Sembilan, 3-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, malam kelmarin.
Katanya, sekalipun beraksi di gelanggang lawan, tetapi pemain tidak menunjukkan suatu tekanan sebaliknya berjaya menggerakkan jentera pasukan dengan baik apabila mencipta banyak peluang jaringan.
“Cabaran menentang Negeri Sembilan bukan suatu tugas mudah, apa lagi mereka dalam usaha meraih kemenangan pertama musim ini dan sebab itu pemain sudah diingatkan lebih berhati-hati serta bijak memanfaatkan peluang jaringan.
“Saya amat puas hati dengan persembahan malam ini apabila pemain berjaya memperagakan aksi kemas dan mantap mendapatkan tiga mata berharga. Sememangnya kami turun dengan misi meraih tiga mata tetapi tidak menyangka mampu merakam jaringan besar.
“Syabas kepada pemain kerana merealisasikan sasaran ditetapkan kerana kemenangan amat penting untuk membolehkan pasukan memperbaiki kedudukan dan memberikan saingan dalam usaha kita mengekalkan kejuaraan,” katanya.
Kekal disiplin
Hodak berharap momentum kemenangan ini dapat diteruskan pada aksi berikutnya untuk membolehkan pasukan melonjak naik dalam kedudukan carta liga.
Dalam aksi kelmarin, rangkaian pemain berpengalaman, Mohd Badri Radzi, Indra Putra Mahyuddin dan Mohd Nor Farhan Mohamad menjadi pencetus kehebatan skuad The Red Warriors apabila masing-masing menjaring gol kemenangan skuad itu.
www.bharian.com.my
***
Magis Piya Bantu Kelantan
KETUA Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri Radzi jelas mempunyai ‘magis’ tersendiri apabila membantu pasukannya menewaskan Negeri Sembilan 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, kelmarin.
Sumbangan Mohd Badhri atau Piya nyata tidak mengecewakan apabila menjaringkan satu gol selain membantu rakannya, Indra Putra Mahayuddin dan Mohd Norfarhan Muhammad meledakkan dua jaringan sekali gus melonjakkan Kelantan ke tangga keenam liga.
Jika pada perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Ayeyawady United FC, 30 April lalu menyaksikan sepakan penjuru ‘inswinger’ Piya memerangkap Aung Min Khant, malam kelmarin giliran penjaga gawang Negeri Sembilan, Mohd Hamsani Ahmad pula tertewas dengan cara sama.
Hakikat ini diakui pengendali Kelantan, Bojan Hodak yang menyifatkan dua gol menarik dalam tempoh 10 hari oleh Mohd Badhri membuatkan jeneral padang berusia 31 tahun itu tidak semena-mena mendapat jolokan baru selaku ‘pakar sepakan penjuru’ negara.
“Saya tidak fikir ada mana-mana pemain bola sepak di dunia mampu menjaringkan dua gol cantik dalam tempoh yang singkat. Tetapi Piya membuktikan dia mampu melakukannya meskipun dari sudut sukar,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Malah pengendali dari Croatia itu turut memuji persembahan Indra Putra dan menganggap prestasi pemain berasal dari Perak itu semakin memuncak meski pun sudah melewati usia 30 tahun.
“Secara jujur, saya akui Indra Putra merupakan pemain tengah terbaik dimiliki negara ketika ini. Malah dia kini berkongsi kedudukan selaku penjaring terbanyak (lima gol) pasukan kami bersama Mohd Norfarhan.
Pada perlawanan tersebut, hasrat skuad Jang untuk bangkit mencipta kemenangan pertama pada saingan Liga Super musim ini sekali lagi tidak kesampaian apabila tumbang 0-3 kepada Kelantan menerusi jaringan Mohd Badhri (m-31), Indra Putra (m-76) dan Mohd Norfarhan pada penghujung perlawanan.
Hodak yang gembira dengan kemenangan itu berkata, pasukannya berhak memenangi perlawanan tersebut meski pun diberi tentangan sengit pada awal permainan oleh skuad kendalian Divaldo Alves yang begitu terdesak mencari kemenangan pertama mereka musim ini.
“Tiga mata ini cukup penting sebelum kami bertemu Selangor di Kota Bharu minggu depan. Siapa tahu kita boleh pertahankan kejuaraan, jadi naib juara atau berada di tempat ketiga. Itu tidak mustahil berlaku, tetapi jika kami mampu menamatkan saingan berada dalam kelompok empat pasukan terbaik, itu sudah cukup baik buat Kelantan,” katanya.  
***
Norfarhan meraikan gol ketiga Kelantan jaringan beliau bersama Faiz Subri ketika saingan Liga Super 2013 pada 10 Mei 2013 di Stadium Tuanku Abdul Rahman menyaksikan Negeri Sembilan melayan kunjungan Kelantan. The Red Warriors berjaya mengutip 3 mata setelah menang 3-0 ke atas Negeri Sembilan.

No comments: