07 May 2013

MSL: # 15 Kelantan Vs Felda United

Felda United
Kemaskini pada May 7, 2013
KOTA BHARU – Kelantan turun dengan misi mencari tiga mata dalam pertemuan Liga Super menentang Felda United di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini bagi memastikan kedudukan mereka dalam carta liga tidak terlalu jauh ditinggalkan pasukan utama.
Pengendali Red Warriors, Bojan Hodak berkata, meskipun Felda United masih segar dengan kejayaan menumpaskan Perak 3-1 sebelum ini, namun dia optimis Kelantan mampu meraih kemenangan.
Menurut Hodak, prestasi barisan pemainnya kini berada pada tahap terbaik walaupun dipaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang tempoh 35 hari.
“Saya yakin dan percaya kita tidak lagi berdepan masalah keletihan seperti yang dialami sebelum ini. Untuk perlawanan ini kami akan tampil dengan semangat juang tinggi bagi memastikan tiga mata berjaya diraih.
“Bagaimanapun kita tidak boleh pandang mudah kemampuan lawan. Kehadiran dua tonggak baharu Felda, Leonel St. Preux dan Emmanuel Mazowa Nsumbu pasti memberi kelebihan buat mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Tambahnya lagi, peluang beraksi di tempat sendiri memberi kelebihan kepada pasukannya untuk melakar kemenangan dibantu dengan sokongan padu daripada penyokong setia Red Warriors.
Pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini, kedua-dua pasukan hanya mampu meraih keputusan seri tanpa jaringan.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, Kelantan bakal kehilangan beberapa tonggak utamanya yang mengalami penggantungan dan masalah kecederaan.
Antara pemain tersebut ialah Mohd. Norfarhan Mohamad dan tonggak pertahanan Mohd. Daudsu Jamaluddin.
“Dickson Nwakaemi masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, bagaimanapun saya akan meletakkannya dalam senarai bangku simpanan.
“Berkemungkinan besar dia akan diturunkan dalam 15 minit terakhir, apa-apa pun bergantung kepada situasi semasa.
“Saya ada ramai pilihan di jentera serangan yang bersedia untuk diturunkan pada bila-bila masa.” ujarnya.
***
Hadiah Untuk TSAM - Piya
Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mahu menghadiahkan kemenangan menentang FELDA United dalam saingan Liga Super, malam ini kepada Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Ketereh pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), kelmarin.
Mohd Badhri atau lebih mesra dengan panggilan Piya turut menegaskan selain menghadiahkan kemenangan itu kepada Annuar, tiga mata dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV itu penting buat The Red Warriors (TRW) memperbaiki kedudukan dalam liga.
Pemain tengah berusia 30 tahun itu berkata, ganjaran bonus dan lot tanah yang diterima minggu lalu menjadi suntikan semangat buatnya dan rakan sepasukan beraksi dengan baik dan memburu kemenangan.
"Tahniah kepada Tan Sri (Annuar Musa) yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Ketereh dan saya selaku kapten TRW akan cuba memberi kemenangan kepada Kelantan untuk perlawanan malam ini sebagai hadiah berganda buat beliau.
Peluang tipis
"Selain itu, kemenangan penting untuk pasukan membaiki kedudukan dalam liga untuk sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima pasukan terbaik,” katanya semalam.
Selain itu, Piya mengakui peluang untuk TRW mengekalkan kejuaraan liga yang dimenangi musim lalu semakin tipis kerana Kelantan kini menduduki tempat kesembilan liga dan ketinggalan 11 mata di belakang pendahulu liga, Lions XII.
"Memang tidak dinafikan peluang untuk kami mengejar kejuaraan liga musim ini semakin mustahil, namun apa saja boleh berlaku dan kami akan berjuang sehingga ke perlawanan terakhir.
"Musim ini adalah musim paling sukar buat kami kerana kebanyakan pasukan kuat, ditambah pula dengan jadual yang padat,” katanya.
Saya harap seluruh penyokong TRW terus memberi sokongan padu kepada Kelantan," katanya.  
Sumber : Bharian

kelatefc07/5/2013

No comments: