10 May 2013

MSL: # 16 Negeri Sembilan Vs Kelantan


Moral Kelantan Memuncak
Kemaskini pada May 10, 2013
Kota Bharu: Tiga kemenangan berturut-turut dilakar Kelantan sebelum ini sekadar memberi gambaran betapa Bojan Hodak yakin anak didiknya dapat menewaskan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abd Rahman Paroi, malam ini.
Misi ketua jurulatih The Red Warriors itu jelas – mahu memburu kemenangan berikut untuk berada dalam kelompok lima teratas liga.
Anak buah saya sudah mula menunjukkan kebangkitan selepas berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini. Moral mereka kini semakin tinggi untuk terus mencipta kemenangan.
Masih belum terlambat untuk kami bangkit dan memperbaiki kedudukan. Walaupun peluang mengekalkan kejuaraan liga yang dikecapi musim lalu semakin tipis, namun kami tetap akan berusaha untuk sekurang-kurangnya berada dalam lima pasukan terbaik.
Semua baki perlawanan yang akan ditempuhi ini adalah penting dan kami perlu menang untuk terus membaiki kedudukan, katanya, semalam.
Kelantan kini berada di tangga kelapan liga dan memungut 20 mata selepas 15 perlawanan.
Selain itu, Bojan berkata, beliau mungkin akan menggunakan khidmat penyerang import, Dickson Nwakaeme dalam perlawanan malam ini biarpun pemain itu masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Katanya, Dickson memainkan peranan penting di barisan serangan TRW dan ia terbukti selepas berjaya membantu Mohd Badhri Radzi atau Piya menjaringkan gol ketiga Kelantan ketika pertemuan dengan FELDA United walaupun dimasukkan pada tujuh minit terakhir.
“Dia (Dickson) memainkan peranannya dengan baik di barisan depan. Walaupun dia masih belum pulih sepenuhnya, tapi saya tetap berharap dia boleh bermain membantu pasukan, katanya.
www.bharian.com.my
***
Kijang Mahu Menang Di kandang Rusa
Kemaskini pada May 10, 2013
KETUA pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi menuntut rakan sepasukan bekerja keras bagi membawa The Red Warriors (TRW) berada dalam kelompok empat terbaik dan mencuri tiga mata ketika berdepan Negeri Sembilan dalam saingan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam esok.
Kelantan yang menjadi penyandang juara liga itu kini masih berada di tangga kesembilan meskipun mencatat kemenangan 3-0 ke atas Felda United, Selasa lalu, namun ia cukup untuk menyuntik pasukan kendalian Bojan Hodak untuk terus bersaing.
Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, sebagai juara bertahan Kelantan perlu mempunyai sasaran baru selepas ketinggalan jauh dibelakang pendahulu liga, LionsXII malah optimis pasukannya masih mampu merebut tempat dalam kelompok empat terbaik.
Pemain yang menyarung jersi nombor 16 itu berkata, menyedari saingan hebat daripada setiap pasukan, TRW perlu bekerja keras dan menggandakan usaha bagi memastikan tidak ketinggalan jauh dan perlu mengutip mata penuh ketika berkunjung ke Paroi malam esok.
“Kita akui keadaan amat sukar untuk mengekalkan kejuaraan namun tidak mustahil untuk bangkit. Buat masa ini Kelantan perlu membaiki kedudukan sekurang-kurangnya berada dalam kedudukan empat terbaik.
“Malam esok kita mesti dapatkan tiga mata dan perlu bekerja keras meskipun beraksi di tempat lawan. Saya harap rakan sepasukan dapat memberi tumpuan dan bekerjasama,” katanya ketika dihubungi.
Sementara itu Hodak berkata, anak didiknya mendapat suntikan semangat selepas memenangi tiga perlawanan berturut-turut dan berharap momentum kemenangan itu diteruskan sehingga tamat musim.
Selain itu katanya, TRW juga mungkin terpaksa menggunakan khidmat penyerang berbisanya, Dickson Nwakaeme ketika menentang pasukan kendalian Divaldo Alves meskipun pemain berasal dari Nigeria itu belum pulih sepenuhnnya.
“Anak buah saya sudah mula menunjukkan kebangkitan selepas berjaya meraih tiga kemenangan berturut-turut dalam perlawanan sebelum ini. Moral mereka kini semakin tinggi untuk terus mencipta kemenangan.
“Jika keadaan memerlukan, saya mungkin terpaksa menggunakan khidmat Nwakaeme namun bukan untuk bermain sepenuh masa kerana dia belum seratus peratus pulih,” kata pengendali Skuad Kijang kelahiran Croatia itu.
www.sports247.my 

No comments: