15 February 2013

Selangor Membara

Amri tak main malam ni...
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI@fazli.yadi@kosmo.com.my
JURULATIH Selangor, Irfan Bakti Abu Salim optimis skuad kendaliannya mampu meraih tiga mata berharga ketika melayan kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam pada aksi Liga Super malam ini.
Masih segar dengan kejayaan menundukkan Sabah 3-0 pada pusingan kedua Piala FA Selasa lalu, Irfan menjangkakan barisan pemainnya tidak berdepan masalah untuk mengulangi persembahan memberangsangkan ketika berdepan skuad kendalian Bojan Hodak nanti.
Meskipun Selangor kempunan untuk menagih khidmat Amri Yahyah, Mohd. Bunyamin Umar dan S. Kunanlan, Irfan percaya Gergasi Merah sudah bersedia untuk mengecewakan The Red Warriors dalam aksi tersebut.
Amri kini digantung empat perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika menentang Perak bulan lalu manakala Bunyamin dan Kunanlan ditimpa masalah kecederaan.
"Pada pandangan saya, selepas kejayaan mara ke pusingan suku akhir Piala FA dengan menewaskan Sabah 3-0 Selasa lalu, moral barisan pemain-pemain semakin bertambah.
"Mereka kini semakin bersemangat untuk mengekalkan konsisten ini dan saya percaya, barisan pemain Selangor akan berjuang habis-habisan ketika menentang Kelantan di laman sendiri esok (hari ini).
"Kita tidak boleh membuat alasan tanpa khidmat Amri, Bunyamin dan Kunanlan, Selangor tidak berupaya untuk memberikan persembahan memberangsangkan.
"Ini kerana saya percaya dengan kehadiran pemain-pemain lain seperti Muhammad Ramzul (Zahini Adenan) dan Muhammad Afiq (Nazmi), mereka mampu memberikan sumbangan ketika menentang Kelantan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Irfan menyedari juara trebel itu masih dianggap salah satu pencabar utama dalam saingan liga biarpun The Red Warriors bermula hambar pada awal kempen musim ini.
"Bukan mudah untuk mengambil kesempatan terhadap mereka. Kelantan adalah sebuah pasukan yang cukup kuat biarpun persembahan mereka sedikit perlahan pada awal tahun ini.
"Ia akan menjadi pertemuan hangat antara Selangor dan Kelantan. The Red Warriors akan ditemani ribuan penyokong-penyokong di stadium yang mana ia adalah suntikan moral terbaik buat mereka.
"Seperti yang saya katakan tadi, kami mahukan tiga mata dan Selangor wajib mempamerkan persembahan terbaik dalam usaha mendapatkan tiga mata. Tiada jalan mudah buat kami," katanya
***
Doe Mampu Hampakan Kelantan
Oleh YATIMIN ABDULLAH@utusankelantan@utusan.com.my
Francis Forkey Doe
KOTA BHARU - Pengendali Kelantan, Bojan Hodak tetap berwaspada dengan ancaman Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Shah Alam malam ini, biarpun memiliki rekod cemerlang ke atas pasukan berkenaan pada musim lalu.
Hodak mengakui berdepan Selangor bukanlah tugas yang mudah buat barisan pemainnya, ditambah pula beraksi di tempat lawan.
Menurutnya, Selangor merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai ramai pemain yang hebat seperti Francis Forkey Doe serta dua pemain sayap lincah iaitu Solihin Kandasian dan. S. Kunalan.
"Forkey Doe merupakan pemain yang boleh mengecewakan Kelantan jika diberikan peluang.
"Mungkin saya akan meletakkan Obinna Nwaneri untuk mengawal kelincahan pemain tersebut. Begitu juga dengan Solihin dan Kunalan, bagaimanapun ketiadaan Gurusamy yang masih cedera memberikan kelebihan buat Kelantan terutama di bahagian tengah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Hodak memberitahu, dia sama sekali tidak akan mengambil mudah perlawanan hari ini dan menjangkakan tentangan sengit daripada pasukan lawan.
Katanya, barisan pemain Kelantan kini telah bersiap sedia dan berada pada tahap terbaik menjelang pertemuan tersebut bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
"Kita tahu mungkin memadai satu mata di gelanggang lawan, namun kami tetap mahu lebih daripada itu. Saya percaya pemain yang diturunkan mampu merealisasikan impian untuk mendapatkan tiga mata di Shah Alam.
"Ini merupakan perlawanan yang sengit buat Kelantan selepas berehat selama tiga minggu. Kita mempunyai rekod yang baik ke atas mereka pada musim lalu dan berharap Kelantan dapat meneruskan momentum tersebut," ujarnya.
Tambah Hodak, perlawanan tersebut merupakan kesempatan terbaik buatnya untuk menguji kemampuan sebenar barisan pemain untuk musim ini selepas berehat selama tiga minggu.
"Jentera serangan kita bertambah baik. Kita ada Indra Putra yang boleh beraksi di posisi itu, begitu juga dengan Haris Safwan beraksi cemerlang ketika sesi latihan.
"Selain itu, kita ada Mohd. Faiz Subri, dia mungkin akan diturunkan pada babak kedua kerana masih belum bersedia untuk aksi 90 minit. Saya akan putuskan siapa yang akan mengetuai jentera serangan pada sesi latihan terakhir," ujarnya.
***
Irfan Pilih Doe, Ramzul
Ramzul

KUALA LUMPUR - Francis Forkey Doe dan Mohd. Ramzul Zahini Adnan bakal menjadi sandaran skuad Red Giants untuk memecahkan pertahanan Kelantan pada pertemuan Liga Super di Stadium Shah Alam, hari ini.
Jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim berkata, dua penyerang tersebut mungkin digandingkan pada perlawanan hari ini ekoran ketiadaan Amri Yahya yang digantung perlawanan akibat kad merah ketika seri 1-1 dengan Perak bulan lepas.
Malah Irfan percaya, barisan tengah dan pertahan pasukannya dapat memainkan peranan bagi membantu dua penyerang itu untuk mendapatkan jaringan selain perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri.
"Saya sungguh optimis kami mampu untuk mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan kali ini dengan barisan pemain yang ada.
"Jangkaan saya bahawa penyokong akan memenuhi stadium akan membuatkan kedua-dua pasukan bersemangat untuk beraksi sekali gus mempamerkan aksi yang menarik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Selangor ketika ini berada di kedudukan ketiga liga dengan 10 mata selepas lima perlawanan yang telah berlangsung ketinggalan dua mata daripada pendahulu Pahang.
Manakala Kelantan berada pada kedudukan ketujuh liga selepas mengumpul enam mata melalui satu kemenangan 2-1 ke atas PKNS pada bulan lalu dan tiga seri menentang Negeri Sembilan, Felda United dan Darul Takzim.
Sementara itu, Irfan berkata, posisi penjaga gol masih lagi belum diketahui kerana perlu menilai prestasi Mohd. Sharbinee Allawee Ramli dan Norazlan Razali.
"Keputusan siapa yang akan menjadi penjaga gol utama pada perlawanan menentang Kelantan hanya akan diketahui selepas sesi latihan kami.
"Persediaan kami setakat ini berjalan dengan baik dan diharap pemain dapat memberikan persembahan terbaik mereka kali ini," kata Irfan.
***
Farhan Sedia Gegar  Shah Alam
Nor Farhan
Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor
Kota Bharu: Penyerang Kelantan, Mohamad Norfarhan Muhammad melaungkan amaran awal dan sudah bersedia sepenuhnya untuk menggempur benteng Selangor pada perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam ini.
Pemain berusia 28 tahun itu menganggap perlawanan malam ini satu lagi perlawanan panas dan ditunggu-tunggu selepas pertembungan dengan Johor Darul Takzim pada 15 Januari lalu.
Norfarhan yang berasal dari Terengganu berkata, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk bangkit daripada masalah prestasi selepas lima perlawanan dan mengembalikan semula status Kelantan selaku pasukan digeruni.
“Saya dan rakan lain sudah bersedia sepenuhnya untuk perlawanan ini. Ketika sesi latihan, jurulatih, Bojan Hodak banyak menekankan latihan menajamkan barisan serangan selepas gagal mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan sebelum ini.
“Namun, bagi saya, kami berpeluang untuk menang walaupun beraksi di tempat lawan,” katanya.
Sementara itu, Hodak menegaskan jentera serangan Kelantan kini berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan di Shah Alam.
“Kami sudah bekerja keras memantapkan barisan depan. Hasil daripada latihan tiga minggu menampakkan ketajaman dan keserasian yang baik antara pemain barisan depan.
“Kami sudah bersedia mengejutkan Selangor,” katanya.

No comments: