03 February 2013

Nazmi Tidak Menyesal

Nazmi sah sertai PKNS FC
Noor Hafiza Che Abdullah@2 Februari 2013 
"SAYA tidak menyesal. Ini keputusan terbaik," demikian kata bintang Harimau Malaya, Nazmi Faiz Mansor ketika ditemui pada majlis memperkenalkan beliau sebagai pemain PKNS di Kelana Jaya, hari ini.Nazmi berkata demikian ketika ditanya adakah keputusan beliau untuk pulang ke Malaysia setelah mencipta nama di benua Eropah bersama kelab Beira Mar akan merugikan diri sendiri.
Nazmi turut menegaskan bahawa keputusan beliau untuk beraksi di PKNS adalah satu keputusan yang tepat dan bagus demi masa depannya."Sekarang saya sudah bebas daripada Beira Mar, dakwaan yang mengatakan saya diberi enam bulan untuk beraksi bersama Malaysia adalah tidak benar."Saya kini sah menjadi milik PKNS dan telah menandatangani kontrak selama 3 tahun.
"Jadi, saya akan buat terbaik dan akan membantu PKNS sekurang-kurangnya memperoleh satu trofi musim ini," katanya.
Dalam laporan media tempatan semalam, Nazmi sebelum ini mencatat sejarah menjadi pemain bola sepak Malaysia pertama yang pernah bermain di Liga Utama Portugal mengejutkan ramai pihak apabila membuat keputusan untuk pulang ke Malaysia.
Desas desus yang melaporkan Nazmi bakal mewarnai Liga Malaysia akhirnya terjawab apabila hari ini beliau disahkan telah menjadi milik pasukan berstatus kelab, PKNS.
Mengulas mengenai tindakannya itu, Nazmi berkata, setiap keputusan yang dibuat adalah pilihan sendiri, tidak melibatkan pihak lain.
"Sebenarnya keputusan ini dibuat tanpa dijangka, dan saya ingin tegaskan keputusan untuk bermain di PKNS adalah pilihan saya sendiri."Meskipun, saya ada berbincang dengan keluarga dan juga ejen saya tapi mereka menyerahkan keputusan di tangan saya.
"Dan faktor saya memilih PKNS kerana bagi saya kelab ini bagus," jelasnya yang menegaskan tiada faktor lain isu kepulangan beliau ke Malaysia.
Dalam pada itu, ketika ditanya  perasaan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang kecewa dengan tindakannya, Nazmi enggan mengulas lanjut. 
Sebaliknya beliau tetap menganggap keputusan untuk pulang ke Malaysia adalah keputusan yang terbaik.
"Peluang saya tak tertutup lagi. Saya masih muda dan banyak lagi ada masa.
"Dan saya harap pada masa akan datang, sekiranya masih ada rezeki, saya akan beraksi di luar negara lagi," ujarnya yang berminat untuk beraksi bersama skuad  Harimau Malaya sekiranya diberi peluang. 
***
Permata baru PKNS Fc

Oleh NOR AZIRAN YUNUSaziran.yunus@kosmo.com.my
MUHAMMAD Nazmi Faiz Mansor kini sah menjadi milik kelab Selangor PKNS.
Semalam, dia menandatangani kontrak selama tiga tahun bersama kelab itu, namun nilai perpindahan tidak didedahkan.
Pengurus Selangor PKNS, Azmi Adnan berkata, kedatangan Nazmi ke kelab itu ibarat ‘durian runtuh’ buat mereka dan kehadirannya bakal memperkukuhkan pasukan yang menghuni tangga kelapan saingan Liga Super ketika ini.
“Ejen Nazmi, Marco Guimaraes telah datang mengadakan perbincangan dengan kami pada awal Januari lalu bagi menyatakan bahawa Nazmi akan dilepaskan oleh kelab S.C Beira-Mar dan dia (Nazmi) sedang mencari kelab baharu.“Selepas mengadakan perbincangan lanjut, kami bersetuju untuk ‘membelinya’. Proses itu berjalan lancar manakala kontraknya bersama S.C Beira-Mar telah ditamatkan,” kata Azmi kepada Kosmo! semalam.
Menurut Azmi lagi, esok dia akan pergi ke pejabat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan beberapa perkara lagi untuk membolehkan Nazmi turun dalam perlawanan Liga Super pada 16 Februari depan menentang Felda United.
Kata Azmi, Selangor PKNS tidak beraksi dalam Piala Presiden, oleh itu mereka boleh mendaftar 35 orang pemain dan ketika ini mereka hanya memiliki 29 pemain yang didaftarkan.
“Kami bertekad mengasah bakatnya sebaik mungkin dan yakin Nazmi juga mampu memberikan sesuatu kepada kami.
“Nazmi akan memakai jersi nombor 33 bersama Selangor PKNS dan pihaknya akan merayu kepada FAM agar membenarkannya bermain tanpa menunggu sehingga jendela perpindahan pemain dibuka pada April,” kata Azmi lagi.
Sementara itu, ejen Nazmi, Guimaraes berkata, terdapat beberapa kelab Liga Malaysia yang berminat mendapatkan Nazmi, namun dia (Nazmi) telah memilih Selangor PKNS sebagai pasukan baharunya.
Bagaimanapun, Guimaraes juga enggan mengulas lanjut sebab kontrak Nazmi bersama SC Beira-Mar ditamatkan lebih awal.
Untuk rekod, Nazmi, 19, telah menandatangani kontrak bersama SC Beira-Mar selama tiga tahun pada 21 Mei tahun lalu.
Sebelum menyertai kelab Portugal, pemain kelahiran Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu mewakili skuad Harimau Muda kendalian Ong Kim Swee.
***
Menteri Belia & Sukan Terkejut

BERITA kepulangan pemain Kelab Divisyen Satu Portugal, SC Beira-Mar Mohd Nazmi Faiz Mansor, 19, ke tanah air kelmarin turut mengejutkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, lapor RAIHAM MOHD SANUSI.
Bagaimanapun, beliau berharap tidak ada perkara negatif dikaitkan dengan kepulangan pemain bola sepak berbakat besar itu.
“Saya akan dapatkan maklumat terperinci mengenai perkara ini daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya di sini semalam.
Kepulangan Nazmi secara mengejut itu mengundang seribu persoalan tambahan lagi Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad juga dilaporkan tidak tahu menahu berhubung perkara itu.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berharap perkara itu tidak menimbulkan spekulasi yang tidak baik dalam kalangan peminat bola sepak dan juga pihak pengurusan FAM.
“Saya pun terkejut dengan kepulangan Nazmi ke tanah air semalam dan menganggap tiada sebarang perkara negatif yang berlaku kerana dia (Nazmi) adalah seorang pemain yang berbakat besar yang boleh beraksi dengan kelab-kelab yang lebih ternama,” katanya.
Sementara itu, Nazmi pada sidang media bersama kelab barunya, PKNS di Kelana Jaya semalam menjelaskan beliau telah meninggalkan kelab itu dan tindakan tersebut dilakukan atas kehendaknya sendiri.
Kata Nazmi, keputusan itu diambil tanpa dipengaruhi oleh pihak-pihak lain dan ianya dilakukan setelah berbincang dengan ibu bapa dan ejennya, Marco Guimaraes.
***
Kena Berterus Terang 
Oleh AIZAWATI AHMAD@sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bintang muda bola sepak negara, Nazmi Faiz Mansor perlu menyelesaikan segera kemelut yang melanda dirinya termasuk menjelaskan kepada umum mengapa dia mengambil keputusan drastik meninggalkan kelab divisyen satu Portugal, SC Beira-Mar secara mengejut.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong menegaskan, Nazmi adalah milik negara, kerajaan telah berbelanja besar untuk menghantarnya ke Portugal, justeru, dia perlu menyelesaikan kemelut tersebut dengan cara terbaik agar tiada pihak yang membuat spekulasi.
"Mendiamkan diri tidak membantu, dia hanya menyebabkan orang membuat macam-macam spekulasi. Kena berterus terang, saya sendiri rasa ada sesuatu tak kena.
"Apa pun alasan dia nanti, tindakan ini tidak bagus untuk bola sepak Malaysia," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Menurut Zolkples, keputusan Nazmi itu telah membuat ramai pihak bukan sahaja berasa terkejut, malah kecewa terhadap dirinya.
Jelas beliau, selama ini, Nazmi tidak pernah menunjukkan dia menghadapi masalah di Portugal dan pemergiannya ke sana turut diiringi dengan doa rakyat Malaysia yang mahu melihat dia berjaya.
"Kejayaan dia merupakan kejayaan negara, kita sentiasa mendoakan dia. Nazmi kena fikirkan kebaikan bola sepak negara, perlu diingat dia milik negara, harta negara," tegasnya.
Beliau memberitahu, penyertaan Nazmi ke pasukan baru, PKNS FC turut mencetuskan tanda tanya kerana pemain remaja itu seolah-olah bebas membuat keputusan.
"Saya tak tahu apa polisi yang FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) pakai, sehingga dia boleh tandatangan dengan PKNS FC. Dia sepatutnya sertai skuad Harimau Muda, setahu saya tiada pemain yang diberi kelonggaran oleh FAM sebelum ini," ujarnya.
Zolkples turut melahirkan kebimbangannya berhubung tindakan Nazmi itu yang akan menjejaskan peluang pemain lain untuk beraksi di luar negara.
Malah, katanya, tindakan Nazmi itu memberi contoh yang tidak baik kepada anak-anak muda kerana selain mengambil keputusan meninggalkan kelab S.C Beira-Mar separuh jalan, bintang remaja itu juga tidak melengkapkan persekolahannya.
"Nazmi masih muda, dia ada potensi besar dan dia sepatutnya berunding dengan FAM terlebih dahulu. Kena selesaikan dengan cara terbaik dan fikirkan apa yang terbaik untuk kerjaya," ujar beliau. 

No comments: