20 February 2013

Kelantan Dapat Semangat

1st eleven TRW malam tadi

KOTA BHARU - Kelantan menamatkan badi lima perlawanan tanpa kemenangan apabila berjaya mengalahkan Terengganu 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.
Kemenangan The Red Warriors bertambah manis apabila penyerang import mereka, Keita Manjou akhirnya menamatkan kemarau jaringan dengan menyumbat kedua-dua gol untuk juara treble musim lalu itu.
Pemain dari Guinea itu yang berdepan dengan kritikan kerana tumpul di depan gawang berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-32 melalui tandukan selepas rembatan awalnya terkena palang gol.
Sorakan nama Keita Manjou bergema di stadium pada minit ke-63 separuh masa kedua apabila dia memanfaatkan hantaran jauh rakan sepasukan, Indra Putra Mahyuddin untuk menghasilkan gol kedua.
Keyakinan pemain berusia 36 tahun itu semakin terserlah apabila hampir menjaringkan hatrik, namun jaringannya pada minit ke-69 itu dibatalkan kerana dia berada dalam kedudukan ofsaid.
Pertembungan antara seteru utama Pantai Timur itu bermula dengan skuad Penyu terlebih dahulu mengasak ke gawang The Red Warriors seawal minit ketiga, namun kecekapan penjaga gol tuan rumah, Khairul Fahmi Che Mat menafikan banyak percubaan pelawat.
Kerancakan jentera serangan Terengganu terencat pada minit ke-12 apabila penyerang utama mereka, Effa Owona terpaksa dikeluarkan dipercayai mengalami kecederaan otot paha.
Terengganu yang cuba menggandakan serangan pada separuh masa kedua bagaimanapun terpaksa akur bermain 10 pemain selepas ketua pasukan, Faizal Mohamad dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan.
***
Keita Hero Di Kota Bharu
KOTA BHARU, 20 Februari 2013– Terengganu kelihatan lebih aggresif memulakan pertemuan Liga Super menentang Kelantan malam tadi di Kota Bharu. Ketiadaan Ismail Faruqi yang digantung satu perlawanan ternyata memberi impak kepada jentera serangan mereka.
Pertemuan dua gergasi bola sepak Pantai Timur ini disaksikan oleh lebih 15 ribu penyokoing di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu.
Ashaari Shamsudin berpeluang membuka tirai jaringan perlawanan tetapi sepakan beliau tersasar.
Kelantan kemudiannya mengatur serangan dengan lebih kemas dengan percubaan pertama di minit ke 10 apabila sepakan percuma diberikan kepada Kelantan setelah Keita Mandjou dijatuhkan berhampiran dengan kotak penalti.
Sepakan percuma yang diambil oleh Indra Putra disambar oleh Faiz Subri yang membuat percubaan terus ke dakapan penjaga gol Terengganu.
Terengganu kemudiannya mengatur serangan balas menyebabkan keadaan kelam kabut di pintu gol Kelantan. Khairul Fahmi bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan berturut-turut oleh Effa Owona dan Manaf Mamat.
Rentak permainan Terengganu terganggu apabila Effa Owona terpaksa digantikan kerana tercedera. Dua benteng pertahanan Kelantan, Obinna dan Nik Shahrul menjadi penghalang utama bagi gerakan-gerakan oleh Manaf Mamat dan Ashaari Shamsudin.

Menarik pada perlawanan malam tadi, Keita Mandjou telah memperlihatkan permainan terbaik beliau sejak Liga bermula. Keita berjaya melakukan beberapa percubaan berbahaya yang menguji kecekapan penjaga gol Terengganu, Sharmiza Yusoff.
Gol pertama Kelantan dijaringkan oleh Keita Mandjou pada minit ke 34 setelah penyerang import tersebut merebahkan diri untuk menanduk masuk bola yang sebelum itu terkena palang gol.
Kedudukan separuh masa pertama kekal dengan Kelantan mengatasi Terengganu 1-0.
Separuh masa ke dua bermula dengan Kelantan meneruskan asakan ke pintu gol lawan bagi menambah jaringan, manakala Terengganu mencari peluang untuk menyamakan kedudukan.
Keadaan stadium sekali lagi menjadi gemuruh apabila Keita Mandjou berjaya menambah jaringan pada minit ke 64 hasil sepakan beliau yang gagal di tampan kemas oleh Sharmiza.
Keita hampir mencipta hatrik apabila menjaringkan gol ke 3 Kelantan pada minit ke 72 tetapi jaringan tersebut dibatalkan oleh pengadil perlawanan.
Keadaan semakin sukar untuk Terengganu apabila kapten pasukan mereka, Faizal Muhammad dilayankan kad merah , setelah menerima dua kad kuning dalam perlawanan tersebut.
Keputusan tidak berubah sehingga tamat perlawanan. Kelantan mengekalkan rekod tanpa kalah di Kota Bharu, menewaskan Terengganu 2-0, menamatkan kebuntuan mencari kemenangan dari empat perlawanan sebelumnya.
Kelantan akan bertemu Pahang di Kuantan untuk saingan Liga Super seterusnya pada 23 Februari nanti.
***
Keita Wira Kelantan
Juara treble 2012, Kelantan FA akhirnya berjaya mencatat kemenangan kedua selepas 7 perlawanan dengan menewaskan seteru pantai timur iaitu Terengganu dengan keputusan jaringan 2 – 0
Pemain import, Keita Mandjou muncul wira selepas berjaya menjaringkan 2 gol menerusi tandukan dan sepakan kencang untuk menghampakan pasukan pelawat yang mahu mencari sekurang kurangnya keputusan seri.
Selepas ini Kelantan bakal bertemu Pahang dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 23 Februari 2013.
***
Bersyukur pada Allah dan syabas WARRIORS...tabahkan hati...TERIMA KASEH PADA YANG SETIA BERSAMA TRW..
 
Secara peribadi, AdminPNY rasa KEMENANGAN malam ini adalah HADIAH BERMAKNA dari semua pemain.........keatas PENYOKONG SETIA PAHLAWAN MERAH !!!!!!!! yang tidak jemu menyokong dengan semangat KETAWA BERSAMA, MENANGIS BERSAMA!!!!!!!! TAHNIAH!!!!!!!!! GOMO PAHLAWAN MERAHKU GOMO!!!!!!!!!! "THIS IS KELATE.NET......SOKONGAN KAMI ZAMAN BERZAMAN !!!!!" | -AdminPNY (www.Kelate.Net (www.fb.com/Kelate.Net)
Lepas Keita bubuh gol pertamo tadi,lamo dio nerrak dan bangun gi sujud tepi tiang gol. Seremo pemain gi kat keita dan keita bangun sambil mengesat airmato. Betapo berat beban beliau pikul selamo ko ni. Lepas gol pertamo,keita antara pemain paling rajin didalam pade dan buke serupo skalo. Jaringan kedua beliau membuatkan stadium gamat dan penyokong pakat laung "KEITA MANDJOU..KEITA MANDJOU....KEITA MANDJOU..." diiringi gendang. Dua gol yang merubah lanskap sokongan...tahniah kepada semua...Abe Daud for www.kelate.net  
***
ATM Rampas Pendahulu Liga
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan IFQDAR RAHMAN sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Takhta Liga Super kini menjadi milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila menumbangkan pendahulu asal, Selangor dengan kemenangan 2-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.
Jaringan daripada dua pemain import, Bruno Martelotto pada minit ke-17 dan penalti di minit terakhir perlawanan oleh Marlon Alex James memastikan ATM mencipta sejarah tersendiri dengan kemenangan pertama ke atas Selangor sejak tahun 1985.
Bertambah malang buat Red Giants, mereka terpaksa menamatkan perlawanan dengan kekurangan seorang pemain apabila Mohd. Raimi Mohd. Noor dilayangkan kad merah pada minit ke-82.
Kejayaan ATM naik dari tempat keempat ke tangga teratas turut dibantu dengan keputusan seri Johor Darul Takzim dan Lions XII yang terikat 2-2 di Stadium Tan Sri Dato Hassan Yunus, Larkin.
Hariss Harun membuka tirai jaringan pelawat pada minit ke-3 sebelum bekas pemain Lazio dari Itali, Simone Del Nero menyamakan kedudukan pada minit ke-11.
Namun, pertahanan tinggi lampai, Baihakki Khaizan, menambah gol kedua Lions XII dengan tandukan padu pada minit ke-37.
Norshahrul Idlan Talaha menyelamatkan maruah Johor apabila menjaringkan gol penyamaan sekali lagi pada minit ke-81.
Sementara itu, di Stadium TLDM, Lumut, Perak menghadiahkan Pahang kekalahan kali kedua berturut-turut dengan kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan sendiri ketua pasukan, Jalaluddin Jaafar pada minit ke-42.
Keita Mandjou mengakhiri kemarau jaringan bersama pasukan Kelantan apabila membantu The Red Warriors meraih kemenangan kedua musim ini selepas meledak dua gol pada minit ke-32 dan 65 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu bagi membenam cabaran pasukan jiran, Terengganu dengan keputusan 2-0.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, T-Team dan Felda United berkongsi satu mata apabila seri 1-1.
Felda terlebih dahulu memecahkan kebuntuan pada minit keenam oleh Khairul Anuar Jamil tetapi Abdul Latif Suhaimi dapat memadamkan kelebihan pelawat pada minit ke-60.
PKNS pula kempunan meraih kemenangan apabila sekadar seri 2-2 berdepan Negeri Sembilan walaupun lawan beraksi dengan 10 pemain di Stadium Shah Alam.
Patrick Ronaldinho dan Mohd. Fauzan Duzulkifli menjadi penjaring gol PKNS pada minit ke-5 dan ke-26 sementara gol Negeri Sembilan disumbangkan oleh Rashid Mahmud serta Shahruain Abu Samah pada minit ke-11 dan 87.

No comments: