Oleh: Zainal Abidin Rawop (Pengulas Sukan Astro Arena)
Kemelut bola sepak Negara untuk tempoh 2 minggu
ini dihiasi dengan kepulangan pemain remaja sensasi, Nazmi Faiz Mansor dari
kelab Biera Mar di Portugal selepas hanya 6 bulan merantau.
Pelbagai spekulasi
yang timbul sehingga menjadi agenda Negara dan sehingga sekarang tiada siapa
pun yang tahu jawapan yang tepat selain Nazmi sendiri.
Penulis pula
berpendapat sekiranya Nazmi masih mahu terus berahsia, biarkan sahaja kerana
dia sudah ‘cukup dewasa’ untuk menentukan hala tuju kehidupan dan kariernya.
Cuma selepas ini mana – mana pemain muda yang akan dihantar ke luar Negara
perlu dibekalkan kekuatan rohani juga dan bukan sekadar ‘skil’ untuk mendapat
tempat dalam kesebelasan utama.
Kepulangan Nazmi untuk
menyertai PKNS dalam kancah Liga Super sebenarnya telah meringankan beban skuad
Harimau Malaya dalam persiapan menentang Qatar pada pusingan kelayakan Piala
Asia 2015 di Doha. Dengan banyak perhatian diberikan kepada Nazmi segala
kelemahan yang dimiliki Harimau Malaya seolah – olah berlalu begitu sahaja.
Umum sudah mengetahui keputusannya.
Misi pertama berakhir dengan kekalahan 0 – 2 sekaligus melebarkan rekod
kekalahan Malaysia di tangan gergasi rantau teluk itu kepada 6 kekalahan
berbanding 3 seri sejak 1980. Justeru apa lagi alasan paling munasabah dari
pengendali skuad kebangsaan Datuk K.Rajagopal.
Kehilangan 9 tonggak
utama akibat kecederaan jelas tidak membantu beliau menggapai KPI yang
ditetapkan beliau sendiri iaitu layak ke Piala Asia 2015 Australia. Sememangnya
peminat – peminat bola sepak seluruh Negara bersimpati dengan nasib malang yang
melanda Harimau Malaya ketika semua masih dirundung duka menyaksikan pasukan
Negara gagal mempertahankan Piala Suzuki penghujung 2012 lalu.
Misi ke Australia
bukanlah mudah. Akui hakikatnya yang kita memerlukan keajaiban untuk mengatasi
2 gergasi Teluk, Qatar dan Bahrain selain Yemen untuk muncul juara kumpulan
atau sekurang – kurangnya naib juara untuk aksi ‘play-off’.
Berbalik pada
perlawanan di Doha Rabu lalu jelas pasukan Negara tidak mampu menandingi
kehebatan Qatar dari setiap sudut. Persoalan mengenai apakah Qatar memandang
ringan cabaran Malaysia dengan hanya menyediakan stadium kecil yang boleh
menampung 15 ribu penonton sahaja berbanding perlawanan Sepanyol – Uruguay yang
berlangsung pada hari yang sama dan 30 minit selepas aksi Qatar – Malaysia,
bukanlah persoalan pokok.
Qatar, hos untuk Piala
Dunia 2022 berhak untuk menganjurkan perlawanan ini di mana – mana yang mereka
suka. Malaysia yang bakal menjadi tuan rumah kepada 3 negara teluk ini juga
boleh sekadar menyediakan stadium – stadium negeri dan bukannya di Bukit Jalil
maupun di Shah Alam.
Apa guna hanya gah
dengan stadium yang canggih tetapi ‘lebih tempat duduk daripada penonton’.
Berdasarkan kepada
aksi di Doha jelas bola sepak kita agak jauh ketinggalan dari segi teknik dan
taktikal. Pemain Negara tenggelam oleh kepantasan dan skil pemain Qatar
manakala taktik Datuk R.Rajagopal terlalu ‘predictable’.
Kalau diimbas
sepanjang 90 minit permainan, Malaysia hanya berpeluang memasuki kawasan
penalti Qatar sebanyak 4 – 5 kali sahaja dengan peluang terbaik dimiliki di
separuh masa pertama apabila hantaran lintang Azamuddin Akil gagal
disempurnakan Amri Yayah begitu juga dengan free header yang diperolehi bekas
pemenang kasut emas Liga Super Abdul Hadi Yahya di separuh masa kedua.
Berdasarkan keputusan
dan prestasi memang mengecewakan ditambah dengan kesilapan – kesilapan individu
yang diibaratkan ‘school-boy error’ yang tidak seharusnya berlaku di pentas
antarabangsa oleh pemain – pemain professional Malaysia !
Namun apabila pengendali
sendiri merumuskan bahawa berpuashati dengan aksi pemain – pemainnya juga
menimbulkan persoalan bagaimana beliau menilai kemampuan dan persembahan
pasukan Negara?
Sampai bila kita akan
didendangkan dengan nada ‘puas hati walaupun tewas’ ataupun kita tidak bernasib
baik dan seterusnya?
Untuk perlawanan kedua
dengan menentang Yemen pada 22 Mac depan, peminat – peminat sudah pasti
mengharapkan barisan pemain – pemain terbaik untuk disenaraikan. Segelintir
pemain yang beraksi pada tahap memuaskan pula perlu dikekalkan.
Namun dengan jadual
liga tempatan yang padat sudah Datuk Rajagopal hanya mampu berharap dan berdoa
pemain – pemain berstatus pemain kebangsaan akan cergas fizikal dan mental
bebas daripada kecederaan.
Hanya akan ada 1
perlawanan persahabatan sahaja sebelum melayani kunjungan Yemen dan mengikut
rekod Yemen pasukan ranking ke 30 di Asia dan ke 165 di dunia mampu diatasi
sekiranya perancangan rapi dapat dilakukan.
Mengikut rekod
pertemuan pertama dan terakhir kedua Negara berlangsung pada 27 Feb 2010 di
Bukit Jalil yang menyaksikan jaringan Badrol Bakhtiar memberi kejayaan kepada
Harimau Malaya.
Sekiranya Datuk
Rajagopal enggan menggunakan khidmat perancang utama Kelantan Badri Radzi atau
Piya penulis kira itu adalah haknya selaku ketua jurulatih kebangsaan yang amat
mengenali pemain – pemainnya.
Siapapun yang akan
terpilih menjalani latihan dengan skuad kebangsaan mereka haruslah menerima
cabaran tersebut selain terus bersedia memikul bebanan yang semakin menekan
sekiranya tiada keputusan positif yang bakal diperolehi.
Begitu juga dengan
pengendali skuad Negara, sejarah silam memenangi Pingat emas Sukan Sea maupun
menjulang Piala Suzuki hanyalah kenangan yang bukan untuk terus menjadi bahan
hidangan kepada peminat – peminat yang dahagakan kejayaan.
Au
Revoir…
Sumber: Stadium Astro
No comments:
Post a Comment