KOTA BHARU, 11 Februari 2013-
Setelah berehat tiga minggu, Kelantan akan kembali mengharungi saingan Liga
Super 2013 dengan menentang Selangor di Shah Alam pada 15 Februari
nanti. Membuka tirai musim ini dengan kekalahan tipis kepada ATM melalui
sepakan penalti ketika perlawanan Piala Sumbangsih, keputusan perjuangan awal
Kelantan sebagai juara treble musim lalu mengundang kerisauan di kalangan
penyokong-penyokong.
Setelah mengharungi lima perlawanan Liga Super,
Kelantan berada di tangga ke 7 dengan pungutan 6 mata hasil daripada 1
kemenangan (PKNS FC), 3 keputusan seri (DTFC, Felda United FC, Negeri Sembilan
FA dan tumpas sekali (T-Team FC).
Kegagalan bertindak cemerlang di bahagian
serangan menyebabkan pertemuan-pertemuan “mudah” masih tidak berpihak kepada
Kelantan.
Penyerang import pasukan, Keita Mandjou, menjadi
sasaran kemarahan penyokong kerana gagal beraksi seperti seorang penyerang yang
digeruni.
Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, walau
bagaimanapun percaya situasi akan berubah apabila Kelantan bertandang ke
Stadium Shah Alam untuk pertemuan dengan pasukan Selangor pada hari Jumaat
nanti.
Tiga minggu masa rehat telah dimanfaatkan
sebaik-baiknya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan di jentera serangan. Dalam
dua perlawanan persahabatan yang diatur, Kelantan telah bermain dengan lebih
baik untuk mengikat Juara Liga Premier Indonesia, Semen Padang FC dengan
keputusan seri 1-1.
Dan pertemuan berikutnya, persefahaman yang lebih
baik di kalangan pemain menyaksikan Kelantan berhasil menewaskan Felda United
FC dengan dua jaringan gol tanpa balas.
Walaupun kedua-dua perlawanan tersebut turut
disertai oleh Dimitri Petratos (Skuad AFC Kelantan) dan dua pemain import
ujian, penyerang dari Nigeria, Dickson Nwakaeme, dan pemain sayap Salim Arrache
dari Peranchis, penampilan pemain-pemain tempatan yang bermain dengan lebih
kemas sebagai satu pasukan menjadi faktor penyumbang kejayaan yang utama.
Keyakinan semakin terbentuk di kalangan
pemain-pemain pasukan. Kesungguhan semakin terserlah dalam setiap sesi latihan
yang dijalankan. Kawalan emosi dan juga tekanan menjadi semakin baik.
Juara Treble adalah pada musim lalu. Gelaran
tersebut memang bukan saja menjadi kebangaan pasukan, tetapi juga oleh setiap
penyokong pasukan. Hinggakan mereka yang tidak pernah meminati sukan bola
sepak, mahupun ambil tahu tentang The Red Warrriors, mula mahir mengingati
setiap nama dan posisi pemain.
Ia suatu kenangan manis. Dan untuk menjamin
kesinambungan kejayaan, kegembiraan menjadi Juara Treble musim lalu, harus diletak
ke tepi kerana di musim ini, semua pasukan mahu menewaskan si Juara.
Menyedari hal tersebut, Tan Sri Presiden
sendiri telah berpesan, bukan saja kepada pemain, tetapi juga kepada
pegawai-pegawai pasukan. Lupakan kejayaan lalu, dan teruskan dengan perjuangan
yang baru.
Sekali lagi, pada 15 Februari ini, pasukan
menagih sokongan tanpa berbelah bahagi daripada semua penyokong untuk terus
memberi kepercayaan dan menyokong pasukan. Ia bukan perlawanan yang mudah
kerana Selangor, selain daripada meneruskan Misi 33 mereka, dibarisi oleh
pemain-pemain handal dan pasukan mereka lebih konsisten dalam saingan Liga
musim ini.
Di Stadium Shah Alam, pada hari Jumaat 15
Februari ini, pasukan memerlukan anda, “The 12th Players”. Kita
pernah berjaya mendominasi stadium lawan, dan marilah sekali lagi kita gegarkan
stadium tersebut dengan laungan “Gomo Kelate Gomo”.
Sumber: Theredwarriorsfc
No comments:
Post a Comment