25 February 2013

FAM Terlalu Kebal & Tidak Terkawal

Kenyataan TMJ Lebih Serius - TSAM
Oleh Saiful Affendy Sapran
Kuala Lumpur: Kritikan terbuka Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga M) menarik minat Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa.
Annuar yang menjadi antara mangsa Artikel 88 Peraturan 2010-2014 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menerusi laman sosial facebook miliknya berkata, kenyataan Tunku Ismail itu lebih serius berbanding apa yang beliau serta Datuk Seri Shahidan Kassim utarakan sebelum ini sekali gus mengundang pertanyaan apakah bakal ada tindakan seterusnya daripada FAM ke atas Tunku Ismail.
“Allah menggerakkan hati seorang lagi presiden persatuan bola sepak negeri untuk mengkritik FAM.

“Kalau sebelum ini kenyataan media hanya hal agak kecil seperti prestasi Harimau Malaya dan hal bayaran kepada pasukan negeri tapi kali ini lebih serius dengan dakwaan pengadil FAM tidak bermutu dan bertaraf amatur.
“Ini (bermakna) meletakkan Liga M dalam situasi tidak bermutu, tidak berwibawa serta pengendalian perlawanan yang tidak sempurna.
“Ia satu lagi kenyataan media berprofil tinggi dan dibuat tanpa kebenaran kongres. Apa pula agaknya tindakan Jawatankuasa Disiplin FAM?” katanya.
Tunku Ismail menerusi laporan Arena Metro kelmarin meluahkan rasa tidak puas hati hingga melabel mutu pengadilan negara ini masih di tahap amatur.
Kelmarin juga menyaksikan Shahidan yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), digantung dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana kesalahannya membuat kenyataan mengkritik FAM.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22
***
TMJ Dalam Bahaya?
Oleh Aziman Rosdi
Kuala Lumpur: Kedudukan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) kini dalam bahaya apabila Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan, pihaknya akan menyiasat kenyataan mengenai mutu pengadilan Liga Malaysia (Liga-M) yang disiarkan akhbar tempatan semalam.
Azzuddin berkata, FAM tidak mengamalkan ‘pilih kasih’ bagi menangani isu terbaru itu dan menegaskan Tunku Ismail tidak akan terlepas daripada tindakan disiplin andai beliau didapati melanggar Artikel 88 statut badan induk bola sepak tanah air itu.
“Mengenai kenyataan Tunku Ismail yang mengkritik mutu pengadilan Liga M, perkara itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM. Tunku Ismail tetap disiasat seperti prosedur biasa dijalankan dalam kes tatatertib.
“Namun, FAM akan meneliti kenyataan Tunku Ismail terlebih dulu sama ada ia berbentuk kritikan atau perhatian kepada FAM,” kata Azzuddin.
Dalam sidang media khas di Johor Bahru pada Selasa, Tunku Ismail yang tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan ketika pasukan Johor Darul Takzim (JDT) seri 2-2 dengan LionsXII pada aksi Liga Super menyifatkan mutu pengadilan Liga M lemah, tidak berkualiti dan bertaraf amatur.
Bagi menyokong kenyataannya itu, Tunku Ismail memaklumkan, PBNJ sudah menyerahkan satu salinan video membabitkan JDT dan perlawanan lain kepada FAM untuk menjalankan siasatan.
Berdasarkan Artikel 88, hanya Presiden FAM dan Setiausaha Agung yang boleh membuat kenyataan media dan sekiranya ahli gabungan mahu membuat kenyataan mengenai polisi dan pentadbiran badan induk itu mestilah mendapat kebenaran Kongres terlebih dulu.Mengulas tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim yang terus mengecam FAM kerana tidak puas hati dengan hukuman penggantungan dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana melanggar Artikel 88, Azzuddin berkata, Shahidan perlu menghormati keputusan Jawatankuasa Tatatertib FAM itu.“Peraturan tetap peraturan. Kes ini sudah dibicara Jawatankuasa Tatatertib FAM dan beliau (Shahidan) dihukum seperti yang termaktub dalam peraturan. Tiada sebarang unsur politik mengenai kes ini dan ia keputusan penuh Ahli Jawatankuasa Tatatertib FAM, bukan daripada mana-mana pihak,” katanya.
Dalam laporan Arena Metro semalam, Shahidan yang digantung jawatan mendakwa FAM satu entiti yang meloyakan kerana bukan lagi tempat berpersatuan bagi kebaikan bola sepak Malaysia tapi lebih kepada gelanggang untuk menjatuhkan hukuman serta denda.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22
***
FAM Makin Tidak Terkawal?
Oleh Saiful Affendy Sapran
Kuala Lumpur: “Kalau sudah tiada kawalan, bermakna mereka boleh buat apa saja yang mereka suka.”
Demikian pandangan pengkritik sukan tanah air, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim mengenai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang dilihat semakin ‘kejam’ apabila tidak henti-henti menjatuhkan hukuman dengan yang terbaru, ke atas Datuk Seri Shahidan Kassim.
Shahidan seperti juga beberapa tokoh sukan sebelum ini, antaranya termasuklah Tan Sri Annuar Musa, menjadi mangsa terbaru Artikel 88 Peraturan 2010-2014 FAM apabila digantung dua tahun enam bulan dan denda RM39,000 kerana kesalahannya membuat kenyataan mengkritik badan induk itu.
Bagi Kay Kim, FAM seharusnya lebih terbuka untuk menerima teguran dan kritikan kerana sedikit-sebanyak ia membantu menambah baik persatuan itu dan bukan sebaliknya apabila terus menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang membuat teguran.
“Kita duduk dalam negara yang menggunakan sistem demokrasi. Bermakna kritikan itu dibenarkan dan (kritikan) perlu untuk menambah baik satu-satu institusi,” katanya.
Bagaimanapun jelas beliau, pada akhirnya keputusan tetap terletak di tangan FAM serta barisan jawatankuasa untuk menentukan hukuman ke atas mereka yang terbabit dan pihak luar tidak mempunyai kuasa melakukan perubahan.
“Itu terpulang pada mereka, jawatankuasa sudah putuskan.” Namun pada akhir perbualan, Kay Kim melemparkan nasihat yang sepatutnya diambil kira FAM dalam usaha memastikan arena bola sepak negara terus maju.
“Kita sepatutnya perlu lihat pencapaian skuad negara. Kalau pasukan negara tidak menunjukkan peningkatan, mereka (FAM) sepatutnya perlu bertanggungjawab.” Naib Presiden, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menjadi pegawai pertama badan induk kebangsaan itu yang dihukum pada 1991 disusuli Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Akil pada 1991 dan 2007.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22
***
FAM Bakal Hilang Ramai Kawan-Khoo Kay Kim
| Syamil Sohimi
Tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menguatkuasakan peraturan melarang anggota gabungannya menegur atau mengkritik badan induk bola sepak negara itu boleh menyebabkan mereka bakal kehilangan ramai ‘kawan’ yang jujur dalam membangunkan bola sepak negara.
Pengkritik sukan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim berkata Artikel 88 Statut FAM yang melarang anggotanya termasuk jurulatih dan pemain mengkritik badan induk itu, boleh mengundang perasaan jelek peminat bola sepak tempatan terhadap FAM.
“FAM seharusnya lebih bersifat terbuka menerima kritikan kerana ia dapat membantu menambah baik persatuan itu dan bukan terus menjatuhi hukuman ke atas pihak yang membuat teguran. Saya bimbang suatu hari nanti semua orang jemu dengan tindakan FAM.
“FAM sepatutnya lebih risau prestasi skuad Harimau Malaya yang semakin merudum sejak kebelakangan ini dan bukannya sibuk menjatuhi hukuman terhadap anggota gabungannya,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi mangsa terbaru Artikel 88 Statut 2010-2014 FAM apabila digantung dua tahun enam bulan dan didenda RM39,000 kerana kesalahannya mengkritik badan induk itu.
Pada tahun lepas, Timbalan Presiden FAM Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan, digantung dua setengah tahun kerana melanggar peraturan yang sama.
Sebelum itu, dua bekas Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil menjadi ‘mangsa’ hukuman FAM berikutan kritikan mereka terhadap badan induk itu.
Sementara itu, jurucakap Utras Malaya, Lekir Ahmad berkata tindakan FAM menjatuhi hukuman kepada persatuan negeri dan individu yang mengkritik badan induk itu hanya membuatkan penyokong bola sepak negara semakin membenci FAM.
“FAM memang dibenci peminat sejak dari dulu lagi kerana mereka tidak pernah
menghormati atau mendengar cadangan daripada peminat sedangkan bola sepak adalah milik masyarakat dan bukannya milik FAM,” katanya. Beliau berkata peminat dan persatuan bola sepak negeri boleh diibaratkan sebagai mentimun dan FAM pula adalah durian yang sentiasa kebal dan tidak terjejas dengan apa jua kritikan.
Lekir berkata kelab penyokong bola sepak Malaysia itu menyokong tindakan berani Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang mengkritik mutu pengadilan yang dikatakan lemah, bukan sahaja pada perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim (Johor DT) tetapi dalam hampir semua saingan Liga Malaysia.
“Kita tunggu dan lihat apa keputusan yang bakal dilakukan oleh FAM selepas
ini sama ada akan terus menghukum TMJ atau pun sebaliknya,” kata beliau. Sementara itu, menurut sumber dalaman FAM, Artikel 88 FAM menyebabkan mereka terpaksa ‘mengunci mulut’ masing-masing daripada mengemukakan sebarang kritikan atau pun teguran kepada FAM.
“Kita tidak boleh terlampau dalam mengeluarkan kenyataan kerana terikat
dengan peraturan FAM…sekiranya FAM berkuasa menjatuhi hukuman kepada naib
presiden, inikan pula kepada ahli biasa,” katanya. - BERNAMA
*** 
FAM Terlalu Kebal
TINDAKAN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), menguatkuasakan peraturan melarang anggota gabungannya menegur atau mengkritik badan induk bola sepak negara itu boleh menyebabkan mereka bakal kehilangan ramai ‘kawan’ yang jujur dalam membangunkan bola sepak negara.
Pengkritik sukan negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim berkata, Artikel 88 Statut FAM yang melarang anggotanya termasuk jurulatih dan pemain mengkritik badan induk bola sepak negara itu, boleh mengundang perasaan benci peminat bola sepak tempatan terhadap FAM.
“FAM seharusnya lebih bersifat terbuka, menerima kritikan kerana ia dapat membantu menambah baik persatuan itu dan bukan terus menjatuhkan hukuman ke atas pihak yang membuat teguran. Saya bimbang suatu hari nanti, semua orang jemu dengan tindakan FAM.
“FAM sepatutnya lebih risau prestasi skuad Harimau Malaya yang semakin merudum sejak kebelakangan ini, dan bukannya sibuk menjatuhkan hukuman terhadap anggota gabungannya,” katanya ketika dihubungi semalam.
Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Seri Shahidan Kassim menjadi mangsa terbaharu Artikel 88 Statut 2010-2014 FAM apabila digantung dua tahun enam bulan dan didenda RM39,000 kerana kesalahannya mengkritik badan induk itu.
Pada tahun lepas, Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), digantung dua setengah tahun kerana melanggar peraturan yang sama.
Sebelum itu, dua bekas Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil menjadi mangsa hukuman FAM berikutan kritikan mereka terhadap badan induk itu.
Sementara itu, jurucakap Utras Malaya, Lekir Ahmad berkata tindakan FAM menjatuhkan hukuman kepada persatuan negeri dan individu yang mengkritik badan induk itu hanya membuatkan penyokong bola sepak negara semakin membenci FAM.
“FAM memang dibenci peminat sejak dari dahulu lagi kerana mereka tidak pernah menghormati atau mendengar cadangan daripada peminat sedangkan bola sepak adalah milik masyarakat dan bukannya milik FAM,” katanya.
Beliau berkata, peminat dan persatuan bola sepak negeri boleh diibaratkan sebagai ‘mentimun’ dan FAM pula adalah ‘durian’ yang sentiasa kebal dan tidak terjejas dengan apa juga kritikan.
Lekir berkata, kelab penyokong bola sepak Malaysia itu menyokong tindakan berani Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim yang mengkritik mutu pengadilan yang dikatakan lemah, bukan sahaja pada perlawanan membabitkan Johor Darul Takzim (Johor DT) tetapi dalam hampir semua saingan Liga Malaysia.
“Kita tunggu dan lihat apa keputusan yang bakal dilakukan oleh FAM selepas ini sama ada akan terus menghukum TMJ atau pun sebaliknya,” kata beliau.
Sementara itu, menurut sumber dalaman FAM, Artikel 88 FAM menyebabkan mereka terpaksa ‘mengunci mulut’ masing-masing daripada mengemukakan sebarang kritikan ataupun teguran kepada FAM.
“Kita tidak boleh terlampau mengikut emosi dalam mengeluarkan kenyataan kerana terikat dengan peraturan FAM. Sekiranya FAM berkuasa menjatuhkan hukuman kepada timbalan presiden, inikan pula kepada ahli biasa,” katanya.
– Bernama

No comments: