Mohd Nazmi Faiz Mansor |
KUALA LUMPUR - Pemain muda berbakat besar yang kini
beraksi bersama kelab Divisyen Satu Portugal, S.C Beira-Mar, Mohd. Nazmi Faiz
melakukan tindakan yang mengejutkan apabila dikhabarkan mengambil keputusan
pulang ke tanah air, semalam dengan mengundang seribu satu persoalan.
Biarpun mengikut sumber daripada laman web rasmi Beira-Mar yang dia akan
dipinjamkan selama enam bulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun
badan induk bola sepak negara itu menafikan yang mereka memanggil pemain berusia
19 tahun itu pulang ke sini.
Bertambah menarik, pemain yang berasal dari Lembah Keramat, Kuala Lumpur
dikatakan akan membuat penampilan dengan salah satu pasukan dalam saingan Liga
Super.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad yang dihubungi semalam menegaskan,
beliau tidak tahu menahu kepulangan Nazmi sambil menyatakan tiada sebarang
perancangan lanjut dilakukan terhadap pemain itu sepanjang berada di sini.
''Terus terang saya tidak tahu yang dia mahu kembali ke sini dan pihak FAM
sendiri menafikan yang kami mahu dia dipinjamkan.
''Saya sendiri baru mendapat tahu yang dia akan balik dan terkejut dengan
perkembangan ini, namun pada masa sekarang, itu sahaja yang saya boleh
beritahu," katanya ketika dihubungi, semalam.
Selain itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee yang berada di Australia
juga tidak mengetahui kepulangan Nazmi ke Malaysia selama enam bulan dan
menafikan dia akan membawanya bermain bersama Harimau Muda A.
Menurut artikel daripada laman sesawang S.C Beira-Mar, pemain itu akan
pulang ke tanah air dalam tempoh enam bulan ini bagi membantu pasukan negara
dalam kelayakan Piala Asia 2015 setelah diminta oleh FAM.
Pun begitu, terdapat sumber mengatakan Nazmi telah dibebaskan sepenuhnya
oleh Beira-Mar atas sebab belum yang belum dikenal pasti dan tidak akan kembali
lagi ke Portugal selepas ini.
Apa yang pasti, jika berita itu satu kebenaran, ia pasti satu kerugian
kepada Nazmi yang baharu mahu memulakan karier di Eropah dan kehilangannya
membuatkan hanya Ahmad Fakri Saarani menjadi pemain tunggal negara bermain di
Portugal bersama Atletico S.C.
Nazmi yang telah membuat 17 penampilan bersama pasukan Bawah 19 tahun
Beira-Mar dan menjaringkan satu gol menyertai kelab yang berpangkalan dari
Aveiro itu pada 21 Mei 2012 selepas menjalani sesi pemilihan di sana.
Aksinya yang cemerlang membantu pasukan Bawah 23 tahun negara mempertahankan
pingat emas Sukan SEA di Indonesia 2011 selain menjadi pemain utama pada
pusingan kelayakan zon Asia Sukan Olimpik 2012.
Pemergiannya ke Portugal sebelum ini mendapat liputan meluas oleh pihak
media serta pujian ramai peminat bola sepak negara kerana menjadi antara pemain
termuda mengembangkan karier ke bumi Eropah.
***Nazmi Berehat 6 Bulan?
Oleh Aziman Rosdi
Nazmi & S.C Beira-Mar |
Kuala Lumpur: Tanpa angin tanpa ribut, pemain muda berbakat negara, Mohd
Nazmi Faiz Mansor membuat kejutan apabila pulang ke ibu negara dari Portugal
semalam.
Nazmi yang berkelana ke Portugal selepas menandatangani kontrak bersama
kelab S C Beira-Mar pada pertengahan tahun lalu dilaporkan pulang untuk beraksi
dengan salah sebuah pasukan Liga Super di Lembah Klang.
Dipercayai turut menguatkan punca kepulangan pemain berusia 18 tahun itu adalah
bagi memudahkan dia mewakili skuad bawah 23 tahun negara ke Sukan SEA Myanmar
dan pasukan senior bagi kempen kelayakan Piala Asia 2015.
Bagaimanapun apa yang menghairankan apabila jurulatih skuad B-23, Ong Kim
Swee tidak mengetahui mengenai situasi terkini Nazmi.
“Saya enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini buat masa ini kerana saya
tidak dimaklumkan apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun menurut laporan laman web FOX- Sports.my, Nazmi yang hanya
menghabiskan masa di Portugal mewakili skuad bawah 19 tahun S C Beira-Mar
mendapat pelepasan selama enam bulan.
“Kami sudah memberi kebenaran untuk dia kembali ke Kuala Lumpur. Dia akan
bermain di Malaysia selama enam bulan,” kata pegawai media SC Beira-Mar, Luis
Vegas.
Laporan itu juga menyebut, Nazmi bakal bermain untuk PKNS FC.
Nazmi sebelum ini terbabit dengan kontroversi apabila pemain muda itu
menuduh bekas kekasihnya, Tengku Norshufilla Tengku Muhammad Shubli menjalinkan
hubungan sulit bersama pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak.
Artikel ini disiarkan pada : 1/2/2013
No comments:
Post a Comment