Malaysia vs Qatar@6-2-2013 |
NAMPAK gayanya, skuad bola sepak
negara, Harimau Malaya masih belum mampu untuk bersaing di pentas Asia.
Bukan mahu merendahkan keupayaan
mereka, tetapi masih terlalu banyak kelemahan yang perlu diperbaiki sebelum
mereka boleh bersaing dengan gergasi bola sepak Asia yang lainnya.
Boleh dikatakan, gaya bola sepak
Malaysia masih agak ketinggalan berbanding negara Asia yang lainnya, khususnya
daripada segi taktikal, kepantasan serta fokus ketika mengharungi perlawanan.
Kreativiti untuk mempelbagai corak
permainan memang tiada langsung, dan paling menyedihkan ialah pemain negara
terlalu mudah kehilangan bola kepada pemain lawan.
Pada aksi pembuka tirai kempen
kelayakan Piala Asia 2015 peringkat Kumpulan D menentang Qatar di Doha malam
kelmarin, terlalu banyak kelemahan ditonjolkan oleh pemain negara sepanjang
perlawanan tersebut.
Taktikal memang sangat
mendukacitakan, kepantasan, tidak perlu dipersoalkan kerana ia kelemahan yang
dilihat paling ketara dalam kalangan pemain.
Kawalan bola, tidak sampai empat
saat pun bola berada di kaki, ia sudah disambar mudah oleh pemain lawan.
Andai kelemahan seperti ini masih
gagal diatasi, impian untuk melihat skuad negara menjejak kaki ke pusingan
akhir Piala Asia 2015 tidak akan menjadi kenyataan.
Mungkin hanya satu sahaja kelebihan
yang ada kepada pemain negara, iaitu kerja keras, tetapi ia masih belum cukup
untuk meraih kejayaan.
Penyokong mahukan keputusan positif.
Setinggi mana sekali pun komitmen
mahu pun kerja keras setiap pemain, tetapi ia tidak membawa makna kerana
peminat hanya mahukan keputusan.
Jika skuad tempang dijadikan alasan
terhadap kekalahan tersebut, ia memang sama sekali tidak boleh diterima kerana
bola sepak tidak bergantung kepada pemain tertentu untuk meraih kemenangan.
Ia memerlukan kerja berpasukan,
tidak kira siapa yang diberi tanggungjawab untuk beraksi, dan setiap pemain
hendaklah bersedia menunaikannya sebaik mungkin.
Kekalahan 2-0 kepada Qatar pada aksi
pembuka tirai itu memang sangat mengecewakan kerana jaringan yang dihasilkan
oleh pasukan lawan boleh dianggap sebagai terlalu mudah.
Gol kedua tidak seharusnya berlaku
jika barisan pertahanan Harimau Malaya terus mengekalkan fokus mereka terhadap
perlawanan.
Apa pun, itulah bola sepak Malaysia
dan peminat tidak boleh mengharapkan yang lebih baik daripada itu.
Mungkin untuk tempoh lima atau
sepuluh tahun akan datang, peminat jangan mengharapkan sangat untuk menyaksikan
bola sepak negara berdiri megah di pentas Asia, kerana berdasarkan momentum
ketika ini, masih terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan sebelum mampu
bersaing di peringkat yang lebih tinggi lagi.
Bola sepak masa kini memerlukan
kepantasan serta kebijaksanaan mencorakkan rentak permainan dan jika elemen ini
masih tidak diamalkan, maka bola sepak negara akan semakin ketinggalan.
Malaysia sebenarnya memerlukan lebih
ramai pemain seperti Aidil Zafuan Abdul Radzak, Azamuddin Mohd. Akil yang boleh
dianggap antara pemain yang agak menonjol dalam skuad Harimau Malaya pada aksi
menentang Qatar kelmarin.
Dua pemain ini dilihat memiliki
kepantasan serta keyakinan diri yang tinggi, namun kebolehan yang ada pada
mereka ini belum mampu untuk membantu skuad negara meraih kejayaan.
Pemain veteran, Mohd. Amri Yahyah
juga layak dipuji kerana dia tampil lebih gagah berbanding pemain muda yang
lain dalam pasukan.
Mungkin kerana pengalamannya, ia
membantu dia tampil dengan penuh keyakinan pada perlawanan tersebut.
Jurulatih, Datuk K. Rajagobal tidak
harus meletakkan Amri dalam senarai pemain simpanan selepas ini jika mengambil
kira prestasinya pada aksi menentang Qatar itu.
Malangnya, Amri tidak mendapat
bantuan secukupnya daripada bahagian tengah pada perlawanan menentang Qatar
itu, akibatnya dia banyak berusaha sendiri untuk mencipta peluang.
Selepas Qatar, banyak lagi cabaran
besar yang bakal dihadapi skuad Harimau Malaya dan mereka perlu lebih bersedia
dari segi mental dan fizikal.
Tugasan seterusnya ialah menentang
Yemen pada 22 Mac nanti di Stadium Shah Alam dan apa yang diharapkan pada
perlawanan itu kelak ialah untuk menyaksikan Harimau Malaya lebih menyerlah.
No comments:
Post a Comment