KOTA BHARU - Selepas tumbang 0-2 kepada Selangor tempoh
hari, Kelantan tidak rela berputih mata apabila melayan kunjungan seteru
tradisi Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV di sini,
malam ini.
Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, kemenangan ke atas Terengganu cukup
penting buat The Red Warriors bagi mengembalikan semula prestasi pasukan
selepas mempamerkan aksi hambar dalam beberapa perlawanan sebelum ini termasuk
tumpas kepada Selangor.
Justeru, beliau menuntut barisan pemain memberikan aksi terbaik termasuk
cuba mendapatkan jaringan awal sebagai motivasi buat pasukan dalam perlawanan
tersebut.
"Saya akui perlawanan ini sangat penting buat Kelantan dan tiga mata
perlu diraih. Ini kerana jurang mata dengan pasukan yang berada di bawah
Kelantan tidak begitu jauh dan bila-bila masa mereka boleh memintas kita.
"Secara jujur, saya mahukan kemenangan dalam perlawanan ini dan kita
akan cuba mendapatkan jaringan awal. Selain itu, beberapa rombakan akan
dilakukan selepas kita melakukan kesilapan mudah di benteng pertahanan,"
katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.
Tambah Hodak, beliau tidak akan mengambil mudah perlawanan tersebut meskipun
lawannya itu kehilangan perancang tengah berbisanya Ismail Faruqi yang
digantung akibat layangan kad merah ketika bertemu dengan Perak, Sabtu lalu.
Ditanya mengenai siapakah yang akan mengetuai jentera serangan Kelantan pada
perlawanan tersebut, Hodak mengambil keputusan merahsiakan perkara tersebut.
"Saya belum putuskan sama ada akan menggandingkan pemain tempatan atau
pemain tempatan dengan import pada perlawanan tersebut.
"Jika Keita Mandjou memberikan aksi terbaik ketika sesi latihan, dia
berhak berada dalam senarai kesebelasan utama pasukan kerana pintu perpindahan
pemain hanya akan dibuka pada April nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak memberitahu, dia belum pasti lagi sama ada
boleh menurunkan kaptennya, Mohd. Badhri Radzi yang mengalami demam
berpanjangan sejak beberapa hari lalu.
"Saya syorkan dia ke hospital untuk mendapatkan tindakan susulan dan
kedudukannya dalam senarai kesebelasan utama masih belum dapat
dipastikan," katanya.
***
KUALA TERENGGANU - Jurulatih Terengganu, E. Elavarasan
belum memutuskan siapa yang akan menggantikan pemain tengah, Ismail Faruqi
Ash'ari yang digantung perlawanan gara-gara menerima kad merah ketika
menundukkan skuad Seladang di laman sendiri, Jumaat lalu.
Bagaimanapun, bekas pengendali Felda United itu telah menyenarai pendek
beberapa nama yang dirasakan mampu mengambil alih peranan jentera tengah.
"Antaranya Md Ashaari Samsudin, Mohd Fakhrurazi Musa dan Mohd. Khairul
Ramadhan Mohd. Zauwawi mungkin jadi pilihan saya.
"Apa pun, keputusan mungkin hanya akan dibuat pada saat akhir sebelum
perlawanan bermula," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Menyentuh mengenai pertembungan 'derby' pantai timur menentang Kelantan di
Kota Bharu hari ini, Elavarasan mahu anak-anak buahnya tidak terlalu yakin,
sebaliknya sentiasa berwaspada kerana The Red Warriors pastinya akan
bangkit selepas tumpas 0-2 kepada Selangor tempoh hari.
"Sebenarnya, peluang kita (untuk menang) menentang Kelantan ialah 50-50
dan kalau boleh saya nak kekal barisan pemain yang sama ketika kita menang ke
atas Perak.
"Bagaimanapun, disebabkan kita kehilangan Ismail, saya terpaksa membuat
beberapa percaturan baru untuk perlawanan itu," ujar beliau.
Jelas Elavarasan, selain kehilangan Ismail, skuad Penyu juga mungkin
terpaksa melupakan khidmat penggempur berbisa mereka iaitu penyerang import,
Jean-Emmanuel Effa Owona ketika berdepan Kelantan.
"Owona mengalami kecederaan di bahagian paha selepas perlawanan hari
itu (menentang Perak).
"Saya difahamkan, kecederaan itu agak teruk namun saya harap dia
(Owona) sempat sembuh sebelum perlawanan bermula," katanya.
***Kelantan Ditagih Menang Di Laman Sendiri
KOTA BHARU, 19 Februari – Rata-rata peminat sukan
bola sepak dan media sukan tanah memperkatakan tentang perlawanan yang bakal
berlangsung di selatan tanah air, antara Darul Takzim FC dan Lions XII,
penyokong-penyokong Kelantan akan terus mengikuti perkembangan perlawanan di
Kota Bharu mala mini di antara Kelantan dan Terengganu.
Kelantan yang tewas kepada Selangor 0-2 di Shah
Alam baru-baru ini menerima aura baru apabila Presiden Kelantan FA, Tan Sri Hj
Annuar Musa mengumumkan penstrukturan semula pasukan, menyaksikan Tn Hj Azman
Ibrahim dilantik semula sebagai Pengurus Pasukan dan akan dibantu oleh Wan
Badri Wan Omar.
Tan Sri Annuar juga mengumumkan Bojan Hodak akan
menumpukan tugas sebagai Ketua Jurulatih pasukan dibantu oleh pegawai-pegawai
kejurulatihan yang lain.
Tn Hj Azman yang ditemui selepas pengumuman
tersebut berkata, beliau akan cuba membuat yang terbaik menjalankan amanah
untuk membimbing pasukan. Walau bagaimanapun, Hj Azman mengingatkan bahawa
secara individu beliau tidak akan mampu untuk mengubah situasi pasukan
sekarang, ia adalah satu usaha bersama di antara semua yang terlibat.
Bojan Hodak dijangka akan membuat beberapa
pertukaran taktikal dan menurunkan barisan pemain terbaik untuk perlawanan
malam ini. Keputusan perlawanan dan permainan Kelantan hambar menerima kritikan
“pedas” daripada penyokong-penyokong sendiri.
“Kita perlu beri sesuatu kepada mereka
(penyokong). Permainan yang baik dan kemenangan. Ini akan mengubah perjalanan
kita selepas ini,” kata Bojan.
Pasukan Terengganu sudah berada di Kota Bharu
sejak semalam, berbekal semangat kemenangan menumpaskan Perak di Kuala
Terengganu Selasa lalu.
Pemain import mereka, Effa Owana, yang menyumbang
satu gol ketika perlawanan tersebut akan menjadi perhatian, di samping
pemain-pemain tempatan lain, Ashaari dan Ismail Faruqi.
Perlawanan Kelantan dan Terengganu akan
berlangsung malam ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, bermula jam
8.45 malam.
No comments:
Post a Comment