14 April 2013

Rekod Kebal 2 Tahun Kota Bharu Lebur

Rekod "This Is Kota Bharu" Lebur Di Tangan ATM

Keputusan penuh :
Kelantan 1-3 ATM
Kelantan terpaksa akur dengan kehebatan pemain-pemain ATM apabila tewas 1-3.
Kekalahan ini menyaksikan rekod tanpa kalah Kelantan digelanggang sendiri selama dua musim lebur.
Tuah mungkin tidak menyebelahi TRW malam ini kerana banyak percubaan tidak menghasilkan gol serta keputusan pengadil yang tidak menyebelahi Kelantan.
***
Rekod 42 Perlawanan Lebur Di Tangan The Gladiators
Rekod cemerlang Kelantan yang tidak tewas dalam 42 perlawanan di Kota Bharu sejak 25 Mei 2011, kini tinggal hanya sejarah apabila ianya lebur di tangan pahlawan The Gladiators yang menterjemahkan antara aksi terbaik musim ini untuk pulang dengan kemenangan 3-1.
ATM menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari gelanggang keramat Stadium Sultan Muhammad ke-IV sejak T-Team melakukannya hampir dua tahun lalu – terima kasih kepada jaringan kapten kesayangan, Hairuddin Omar, Christie Jayaseelan dan penyerang import klinikal, Marlon Alex James.
Lebih manis, kemenangan ATM diinspirasikan perancangan taktikal hebat B.Sathianathan yang menolak ke tepi seketika sentimen dan hubungan baiknya dengan penyokong serta pihak pengurusan Kelantan untuk membawa ATM mencatat kemenangan pertama dalam aksi 90 minit ke atas The Red Warriors selepas gagal melakukannya sejak 5 pertemuan lalu. 
“Ya, ia satu kemenangan yang manis. Kita menjadi pasukan pertama membawa pulang tiga mata dari sini selepas dua tahun.
“Tetapi, saya tidak fikir pasal rekod mereka, yang selalu saya tekankan adalah prestasi pemain saya, mereka mengikut segala arahan saya dengan baik dan cukup menakjubkan malam ini. Saya tetap berpendapat Kelantan sebuah pasukan yang baik dan akan bangkit selepas ini,” kata Sathianathan.
Pada perlawanan yang berlangsung di hadapan lebih 20,000 penyokong setia tuan rumah itu, Hairuddin memilih detik tepat untuk menoktahkan kemarau jaringan musim ini apabila rembatannya dari luar kotak penalti membias kaki pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim sebelum mengegar gawang kawalan Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-11.
11 minit berselang, berpunca daripada hantaran sepakan akrobatik Venice Alphi Denis Kaya, bola yang disambut Marlon dilorongkan pula ke dalam kotak penalti dan Christie mudah menolak masuk dari jarak dekat untuk ATM selesa mendahului 2-0.
Selepas gagal menyempurnakan beberapa peluang keemasan menerusi Indra Putra Mahyuddin, Norfarhan Mohd dan pemain import baru, Dickson Nwakaeme dek kecemerlangan Farizal Harun mengawal gawang selain palang yang menjadi penghalang, Kelantan akhirnya merapatkan kedudukan menerusi rembatan Faiz Subri, empat minit sebelum tamat babak pertama.
Namun, ATM tidak membenarkan dua kesilapan pertahanan yang berlaku di Paroi berulang kali ini sebaliknya menoktahkan episod kebangkitan Kelantan menerusi rembatan voli rendah Marlon pada minit ke-63 – gol ke-12 penyerang St Vincent & Grenadines itu musim ini.
“Memang kita bernasib baik Kelantan tidak memanfaatkan beberapa peluang jaringan yang mereka dapat, kita pula menggunakan sebaiknya setiap peluang. Itu yang memisahkan.
“Saya tidak nafikan, pada kedudukan 2-1, memang saya sudah tidak senang duduk, dapat dilihat sepanjang 20 minit pertama babak kedua Kelantan menguasai perlawanan dan berusaha mencari gol penyamaan tetapi mereka kehilangan idea. Pemain saya bertindak bijak mengagalkan setiap gerakan mereka dan menutup ruang, meminimakan kesilapan,” tambah Sathianathan.
Mengenai gol pertama Hairuddin musim ini, Sathia berkata : “Dia membuktikan kualiti yang ada padanya, saya tidak pernah kisah tentang kemarau golnya, kerana saya tahu walaupun dia tidak menjaringkan gol, dia tetap memberi sumbangan terbaik kepada pasukan.
“Dia adalah pemain yang mengikut setiap arahan dan ini memudahkan mana-mana jurulatih untuk bekerjasama baik dengannya. Inilah contoh pemain yang perlu ada dalam setiap pasukan.”
Aiman Podolski.
***
ATM Lebur Rekod Cemerlang Kelantan Di Kota Bharu

KOTA BHARU, 14 April 2013- Rekod tanpa kalah Kelantan di Kota Bharu sejak 2011 dileburkan oleh ATM dalam pertemuan pertama pusingan ke dua Liga Super semalam di Stadium Sultan Muhammad IV.
ATM menewaskan Kelantan 3-1; 2 gol ATM dijaringkan di separuh masa pertama oleh Ketua Pasukan ATM, Hairuddin Omar pada minit ke 11 dan Christie Jayaseelan pada minit ke 20.
Kelantan walau bagaimanapun, sempat  mengubas kedudukan apabila Faiz Subri berjaya menjaringkan gol daripada posisi sukar di minit ke 39 perlawanan.
Kelantan lebih banyak mengasak kubu lawan tetapi beberapa percubaan berbahaya oleh Dickson Nwaekaeme terkena palang gol. Ketiadaan Obinna Nwaneri di barisan pertahanan Kelantan akibat penggantungan amat dirasai apabila gawang Kelantan sekali lagi dibolosi oleh Marlon Alex James untuk gol ke 2 ATM pada minit ke 64.
Keputusan kekal Kelantan 1, ATM 3 hingga tamat perlawanan.
***
Rekod Kebal 2 tahun Kota Bharu Lebur

Rekod tuan rumah paling kebal yang dipegang Kelantan sejak 2 tahun lalu, akhirnya musnah ditangan bekas ketua jurulatih B Sathianathan iaitu jurulatih yang mencipta kekebalan kubu Kota Bharu. Kekalahan Kelantan 3-1 kepada ATM harus dijadikan pengajaran berguna untuk mengutip lebih banyak mata selepas ini, dengan harapan kehebatan april yang dicanang sebelum ini benar-benar berlaku.
Kekalahan ini juga boleh dijadikan ubat pencegahan awal sikap riak, takbur dan memandang mudah lawan meskipun tonik import azimat baru digunakan. Belum masanya kita mengeluh mahupun mendabik dada....Ayuh bangkit perlawanan masih panjang.............pusingan kedua baru sahaja bermula GOMO KELATE GOMO...BANGKIT KELATE BANGKIT!!
***
Kelantan Hilang Sentuhan Juara
KOTA BHARU – Juara bertahan, Kelantan berkemungkinan besar terpaksa melepaskan kejuaraan liga musim ini selepas tumbang 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, semalam.
Kekalahan yang meleburkan rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri sejak dua tahun lalu, menyulitkan usaha The Red Warriors untuk mencabar pendahulu liga, Lions XII yang dibezakan dengan 10 mata.
Kelantan kini berada di tangga kelapan hasil tiga kemenangan daripada 12 perlawanan yang dilalui setakat ini.
Meskipun tumbang dalam perlawanan tersebut, pengendalinya, Bojan Hodak tetap mempertahankan persembahan yang dipamerkan oleh barisan pemainnya.
Menurutnya, walaupun berjaya mencipta peluang di babak pertama, namun nasib tidak menyebelahi mereka apabila peluang tersebut gagal disudahkan dengan baik.
“Bertemu dengan pasukan yang penuh pengalaman bukanlah satu tugas mudah. Walaupun hanya mempunyai beberapa peluang, namun mereka berjaya memanfaatkan sebaik mungkin dengan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut menerusi serangan balas pantas.
“Anda boleh lihat ketiadaan Obinna, semua orang bercakap mengenainya begitu juga Dickson Nwakaemi. Bagi saya kedua-dua pemain ini amat diperlukan oleh pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Mengulas mengenai kesilapan yang dilakukan oleh pertahanan mudanya, Nik Shahrul Azim Ab. Halim, Hodak tetap mempertahankan persembahan pemain tersebut.
Katanya, kesilapan tersebut akan mematangkan lagi persembahan pemain muda tersebut di masa hadapan.
“Saya yakin Nik Shahrul mampu beraksi lebih baik di masa hadapan, lagipun dia masih muda dan perlu terus diberikan pendedahan bagi memantapkan lagi persembahannya,” tegas Hodak.
***
Mencari Sorakan Padu Yang Hilang-TSAM
"Mungkin boleh kita renungkan dan sambil ambil iktibar...ATM datang bersama ULTRAS/kumpulan sorak mereka dan mereka menang di kedua dua arena DLM PADANG DAN LUAR PADANG..waktu kita kalahkan mereka pun begitu di mana SORAKAN penyokong mereka yg konsisten dan sangat TERATUR ...TERBAIK WALAU TAK RAMAI..BERBEZA dgn kita..walaupun lebih ramai TAPI CERIA disaat jaringan gol..di waktu lain terutama saat KALAH kita tenggelam..yg kedengaran hanya SET GENDANG DAN ULTRAS..tu pun tak selaras..pemain pernah MENGADU hal ini kerana mereka lebih tertekan dgn reaksi sesetengah penonton..MUNKIN KITA PATUT BERGABUNG SESAMA KITA DAN WUJUDKAN SUASANA BARU DLM SSMKIV KITA UTK MASA AKAN DATANG...saya cadang ULTRAS DAN GENDANG BERSATU DI SCORE BOARD DAN BENTUK GROUP YG LEBIH BESAR DGN CHANTING YG DISERTAI SEMUA PENYOKONG KITA...KAFA AKAN BANTU..."

Rintihan Tan Sri Hj Annuar Musa ini adalah antara rintihan dan keluhan yang mula diluahkan penyokong-penyokong lama atau lebih senang dipanggil penyokong otai, mereka tidak kisahkan sangat pasal kekalahan kerana melalui pengalaman lama, mereka pernah menyokong di zaman kegelapan Kelantan bertemankan kerusi batu kosong stadium Sultan Muhammad ke 4.
Namun apa yang mengecewakan mereka tiada lagi sorakan padu penyokong samada ketika Kelantan sedang mendahului lawan atau dibolosi lawan. Hal ini turut dikongsi presiden KAFA yang melihat pepecahan skuad penyokong mengikut ideologi masing-masing bukan sahaja merugikan suara sorakan malah tidak memberi sebarang impak besar dalam sesebuah stadium. Bunyi yang dihasilkan didengari seolah-olah bertompok-tompok atau berterabur berbanding penyokong lawan daripada ATM-The Gladiators dan Pahang-The Elephant Army yang dilihat lebih bersatu, teratur dan sekata sepanjang liga Malaysia 2013 berlangsung.
Adakah kita harus menjadikan bolasepak Kelantan terus dipisahkan dengan ideologi-ideologi yang cuba dibawa oleh kelab-kelab penyokong atau diluar stadium anda sebagai pengikut fanatik ideologi kelab penyokong anda tetapi didalam anda bersatu sebagai satu gabungan penyokong The Red Warriors. Sama-sama kita fikirkan, pilihan terletak ditangan anda.
Untuk menjayakan misi kembalikan satu sorakan bukanlah perkara mudah, namun jika kesemua penyokong yang hadir membuang segala status ahli kelab bersatu bersama-sama penyokong lain, rasanya ianya tidak mustahil boleh dilakukan. Hanya satu sorakan GOMO KELATE GOMO sahaja setiap lima minit sudah cukup mengembalikan kemeriahan penyokong Kelantan , mustahil kesemua yang hadir mampu bersorak seperti pasukan Ultras The Red Mania.
Sebelum menuding kegagalan ini kepada orang lain, sama-sama kita bermuhasabah diri dan membuang segala ego kembalikan penyatuan sorakan kita. GOMO KELATE GOMO.....
Pilihlah anda ingin menjadi penyokong atau penonton:-
Penyokong - datang menyokong dengan jiwa dan raga
Penonton - datang menyokong dengan makanan, rokok dan hanya mengharapkan kemenangan. 

No comments: