Kelantan Yakin Menang Di Maldives
KOTA BHARU - Kelantan yakin
mereka akan pulang bersama tiba mata dalam pertemuan dengan Maziya Sports &
Recreation Club di Maldives malam ini (23/4/2013), sekali gus muncul juara Kumpulan H Piala
AFC.
Pengendali Red Warriors, Bojan Hodak
berkata, kemenangan amat diperlukan bagi membolehkan pasukan itu muncul juara
kumpulan, sekali gus memberi kelebihan beraksi di tempat sendiri pada pusingan
kedua nanti.
"Kedatangan kami ke sini ialah untuk meraih
tiga mata pada pertemuan ini.
"Meskipun beraksi di tempat lawan, saya
optimis kita mampu meraih kemenangan berdasarkan pertemuan pertama di Kota
Bharu sebelum ini.
"Bagaimanapun kunjungan Kelantan ke Maldives
tanpa beberapa tonggak utama yang terpaksa direhatkan akibat cedera. Dickson
Nwakaeme antara yang diketepikan kerana belum pulih sepenuhnya dari kecederaan.
"Indra Putra Mahyuddin turut kita rehatkan
selepas pemain ini beraksi dalam jadual padat sebelum ini. Selain itu kita mahu
dia berehat sebaiknya bagi membolehkan beraksi dengan lebih baik pada pertemuan
dengan T-Team Sabtu ini," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Tambah Hodak, dia akan membuat beberapa perubahan
pada perlawanan tersebut, termasuk menggandingkan Haris Safwan Kamal dengan
Dimitrios Petratos untuk mengetuai jentara serangan Kelantan. Pada pertemuan
sebelum ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1.
Dalam perkembangan lain, Kelantan menerima berita
gembira apabila pemain tengahnya, Mohd. Shakir Shaari kembali ke kepangkuan
pasukan selepas tidak beraksi dalam aksi liga sebelum ini.
"Kehadiran Shakir mampu memperkuatkan semula
jentera tengah Kelantan. Saya yakin dan percaya tiga mata pasti menjadi milik
kami," ujarnya.
Selepas empat perlawanan, Kelantan kini
mengungguli carta kumpulan H dengan mengumpul 10 mata hasil tiga kemenangan dan
satu seri.
No comments:
Post a Comment