03 April 2013

Kelantan Belasah Da Nang

Kota Bharu: Kelantan menerajui Kumpulan G selepas berpesta gol ketika membenam SHB Da Nang dari Vietnam 5-0 dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, malam tadi.
Kemenangan itu juga menyaksikan The Red Warriors mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri sejak musim lalu selain meleburkan SHB Da Nang yang tidak pernah tewas selepas tiga perlawanan sejak saingan AFC bermula.
Seawal minit pertama, pertahanan tuan rumah sudah diuji menerusi rembatan penyerang import SHB Da Nang, Merlo Sebastian Gaston selepas menerima lorongan Giang Tran Quach Tan namun ketangkasan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat berjaya menyelamat keadaan.
Tersentak asakan awal pelawat, anak didik skuad kendalian Bojan Hodak mula mengatur gerakan pada minit kedua menerusi penyerang import bertubuh sasa, Dickson Nwakaeme yang melakukan hantaran lintang sebelum pemain veteran, Indraputra Mahayuddin melakukan rembatan namun melepasi palang gol.
Dua minit berselang, Nwakaeme membuka tirai jaringan menerusi percubaan luar kotak penalti selepas menerima hantaran pemain sayap, Mohd Faiz Subri yang mempamer kelincahan melepasi tiga pemain lawan.
Minit keenam, Indraputra terus menjarakkan kedudukan apabila menghasilkan jaringan kedua selepas menerima umpanan cantik bintang muda dari Australia, Dimitri Petratos sekali gus menewaskan penjaga gol, Nguyen Thanh Binh.
Ketinggalan dua gol menyaksikan pasukan pelawat yang dikendalikan Le Huynh Duc buntu melakukan gerakan sebaliknya Kelantan terus menguasai perlawanan. Minit ke-15 Nwakaeme sekali lagi melakukan percubaan namun ditepis penjaga gol.
Kelincahan Mohd Faiz terus menjadi perhatian kira-kira 10,000 penyokong, malah usahanya berjaya menghasilkan jaringan ketiga pada minit ke-23 selepas menerima umpanan Nwakaeme sekali gus terus mengukuhkan kedudukan.
Pelawat yang ketinggalan 0-3 memaksa melakukan perubahan apabila menukar tiga pemainnya meskipun belum berakhir babak pertama.
Peluang terbaik SHB Da Nang hadir pada minit ke-44 namun percubaan Vo Hoang Quang sedikit tersasar meskipun Khairul Fahmi sudah tertewas. Keputusan 3-0 itu kekal sehingga tamat babak pertama.
Bermula babak kedua, Kelantan terus garang malah Nwakaeme terus mempamer kehebatan dengan merembat kencang dari kotak penalti pada minit ke-47 namun sekadar melepasi palang gol.
SHB Da Nang terus derita apabila Petratos menghadiahkan jaringan keempat Kelantan pada minit ke-58 selepas menerima hantaran lintang Mohd Faiz.
Kelantan berpeluang menghasilkan gol kelima menerusi sepakan penalti selepas Nwakaeme dikasari penjaga gawang pada minit ke 69. Namun sepakan penalti Mohd Shahir Shaari tersasar ke kanan gawang meskipun penjaga gol sudah tidak dapat membaca arah sepakan berkenaan.
Minit ke-83 penyerang berbahaya, Nwakaeme digantikan dengan Zairo Anuar Zailani. Penyokong Kelantan terus berpesta apabila kapten, Mohd Badri Radzi menjaringkan gol kelima pada minit ke-85 dengan melakukan percubaan dari luar kotak penalti selepas penjaga gawang lawan keluar dari kawasannya untuk menyelamatkan serangan Petratos.
Dua minit masa tambahan tidak cukup untuk SBH Da nang mencari gol sagu hati yang menyaksikan keputusan 5-0 itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Harian Metro 
***
Kelantan Berpesta Gol 
KOTA BHARU – Kelantan merampas kedudukan teratas saingan Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) selepas membelasah wakil Vietnam, SHB Da Nang FC 5-0 di sini, semalam.
Gol-gol tuan rumah hadir menerusi pemain import Dickson Nwakaeme seawal minit ketiga, Indra Putra Mahyuddin (m-6), Mohd. Faiz Subri (m-23), Dimitrios Petrators (m-59) dan Mohd. Badhri Radzi (m-85).
Nwakaeme yang bergandingan dengan penyerang kelahiran Australia, Petrators mempamerkan ketajaman penyudahnya melalui gerakan solo sebelum merembat rendah bola menewaskan penjaga gol SHB Da Nang, Nguyen Thanh Binth.
Tuan rumah yang masih segar dengan tiga kemenangan pada perlawanan lalu terus menjarakkan kedudukan pada minit keenam apabila Indra Putra tenang menyudahkan hantaran Petratos untuk gol kedua tuan rumah.
Pelawat yang tertekan apabila dikejutkan tiga jaringan awal tuan rumah rumah, membuat tiga pertukaran pada babak pertama, namun usaha tersebut gagal membuahkan hasil apabila mereka terus buntu untuk mendapatkan jaringan.
Begitupun pelawat turut tidak berputus asa dan mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan gol pertama, namun rembatan Vo Hoang Quang berjaya ditepis oleh Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-44.
Kelantan turut melepaskan peluang untuk menambah jaringan apabila pemain tengah Mohd. Shakir Shaari gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-70.
Kapten pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radzi melengkapkan malam gemilang The Red Warriors apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-85.
***
Kelantan "Bekwoh" Gol
Kemenangan besar 5-0 Kelantan ke atas pasukan SHB Da Nang FC dari Vietnam adalah di luar jangkaan seluruh peminat bolasepak Kelantan kerana SHB Da Nang FC dilihat sebuah pasukan yang memiliki prestasi baik dan menguasai carta dalam kumpulan G.
Kekalahan ini menjadi igauan ngeri kepada pasukan SHB Da Nang FC untuk menutup pusingan pertama saingan peringkat kumpulan sebelum kedua-dua pasukan ini akan bertemu lagi pada 10 april nanti di Da Nang Vietnam dalam pusingan kedua peringkat kumpulan.
Gandingan mantap barisan Dimi Petratos, Dickson, Faiz Subri, Piya dan kesemua pemain Kelantan berjaya memukau seluruh penyokong Kelantan yang menyaksikan perlawanan di stadium dan melalui siaran langsung TV9. Gol-gol Kelantan dijaringkan oleh Dickson, Indra Putra, Faiz Subri, Dimi Petratos dan Piya.
Gaya bersahaja jaringan gol kelima oleh Piya sangat menarik kerana ianya berlaku dalam perlawanan bolasepak peringkat antarabangsa.
Melihat pada aksi-aksi pemain import, ramai sudah boleh menjangkakan siapakah pemain yang bakal menggantikan kouta import Liga Super nanti. Kemenangan ini bagai memberi amaran awal kebangkitan pasukan Kelantan dalam saingan Liga Malaysia nanti.
Selepas ini Kelantan terpaksa mengharungi dua misi yang besar iaitu mesti menang dengan jaringan selesa dalam perlawanan suku akhir pertama  Piala FA menentang Sarawak di Kota Bharu pada 6 April ini untuk terbang selesa ke Sarawak dalam perlawanan timbal balik 16 april nanti. Pada 10 april Kelantan akan terbang jauh ke Da Nang Vietnam untuk perlawanan pembuka pusingan kedua peringkat kumpulan Piala AFC menentang SHB Da Nang.
Biar di mana dan pasukan mana sekalipun lawan Kelantan, kita sebagai penyokong setia harus sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan tanpa rasa putus asa dan jemu. Kita harus sedia menerima apa sahaja keputusan yang bakal diterima nanti disamping terus memohon doa kebangkitan dan kemenangan pasukan kesayangan kita.
GOMO KELATE GOMO Sokong bia bijok , napok bijok , betindok bijok , main bijok , bijok sokmo...... Gomo Kelate Gomo!
***
Kelantan Menang Bergaya
KOTA BHARU, 3 April - Kelantan berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri apabila menewaskan SHB Da Nang FC 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu malam tadi.
Dua gol jaringan Dickson Nwakaeme dan Indra Putra Mahayuddin dalam masa 6 minit sejurus perlawanan bermula ternyata mengejutkan pasukan pelawat yang belum tumpas dalam pertemuan mereka di peringkat kumpulan G sebelum ini.
Faiz Subri menambah derita Da Nang FC dengan gol ke 3 Kelantan, mengekalkan keputusan separuh masa pertama perlawanan, mendahului lawan 3-0. 
Kelantan meneruskan rentak menyerang di separuh masa ke 2, menyaksikan Diimitri Petratosmenjaringkan gol ke 4 Kelantan melalui hantaran lintang Faiz Subri. Ketua Pasukan Kelantan, Badhri Radzi menambah jaringan melalui satu sepakan "volley" melepasi penjaga  gol Da Nang FC yang keluar untuk menyelamatkan percubaan satu dengan satu oleh Dimitri sebelum itu.
Kelantan akan bertandang ke Danang pada 8 April ini untuk perlawanan timbal balik yang akan berlangsung pada 10 April di sana. Sebelum itu, Kelantan akan turun dalam saingan suku akhir pertama Piala FA bertemu Sarawak di Kota Bharu pada 6 April 2013 ini.
***
Kelantan Dera Juara Liga Vietnam
Kelantan berpesta gol selepas membelasah wakil kelab dari Vietnam, SHB Da Nang FC dengan kemenangan besar 5-0 pada perlawanan ketiga Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) .
Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad ke-IV The Red Warriors menguasai perlawanan dan membuka tirai jaringan seawal minit ke-4 perlawanan menerusi pemain import dari Nigeria, Dickson Nwakaeme yang melepaskan rembatan kencang kira-kira 20 meter daripada pintu gol pasukan pelawat.
Tiga minit kemudian, penyerang tengah, Indra Putra Mahayuddin menggandakan kedudukan untuk skuad bimbingan Bojan Hodak menerusi gol kedua selepas beliau menyudahkan hantaran daripada seorang lagi pemain import dari Australia, Dimitrios Petratos.
Mohd Faiz Subri menambah derita pasukan pelawat pada minit ke-16 selepas beliau memanfaatkan hantaran daripada Nwakaeme sebelum melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Nguyen Thanh Binh.
Kelantan hampir menambah jaringan pada minit ke-70 namun sepakan penalti yang diambil Mohd Shakir Shaari tersasar.
Kapten pasukan, Mohd Badhri Mohd Radzi melengkapkan kemenangan bergaya pasukan Kelantan menerusi sepakan lambung yang menarik pada minit ke-85.
Tiga mata penuh yang diperoleh Kelantan membolehkan mereka melonjak tangga teratas Kumpulan G dengan mengumpul tujuh mata selepas mengharungi tiga perlawanan.
Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada perlawanan keempat di Stadium Chi Lang, Vietnam pada 10 April.
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, kelab Maldives, Maziya Sports & Recreation Clubs menewaskan wakil Myanmar, Ayeyawady United, 3-1 di Stadium Kebangsaan Maldives. 

No comments: