KOTA BHARU – The Red Warriors bertekad untuk
meneruskan rentak kemenangan ke atas pendahulu Kumpulan G, SHB Da Nang FC dalam
aksi Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Sultan Muhammad IV pada 2hb April 2013 ini.(Selasa)
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, kemenangan
dalam tiga aksi terdahulu iaitu Ayeyawady United FC (Piala AFC), PKNS (Piala
FA) dan Angkatan Tentera Malaysia (Liga Super) menyemarakkan lagi semangat
barisan pemainnya untuk meneruskan rentak cemerlang pada pertemuan ini.
Meskipun bakal berdepan cabaran sengit dari pihak
lawan, namun Hodak melaungkan keyakinan pasukannya mampu meraih tiga mata
penting dalam perlawanan tersebut.
“Kelebihan beraksi di gelanggang sendiri serta
sokongan padu para penyokong pasti melonjakkan lagi semangat barisan pemain
untuk meneruskan rentak cemerlang pada perlawanan tersebut.
“Saya gembira selepas mengharungi tujuh
perlawanan kebelakangan ini, jentera serangan semakin berbisa dan berjaya
menjaringkan gol.
“Situasi ini memulihkan semula moral pemain dan
hasilnya ada peningkatan yang dijelmakan dalam setiap perlawanan,” katanya pada
sidang akhbar pra perlawanan antara Kelantan dengan SHB Da Nang FC di sini,
semalam.
Yang turut hadir sama pada majlis tersebut ialah
penyerang The Red Warriors, Mohd. Faiz Subri dan Kapten SHB Da Nang, Gaston
Marlo serta Ketua Jurulatihnya, Le Huynch Duc.
Dalam perkembangan lain, Hodak berharap dua
tonggak import di bahagian serangan, Dimitrios Petratos dan Dickson Nwakaeme
terus mempamerkan ketajaman penyudah dalam usaha pasukan meraih tiga mata pada
pertemuan tersebut.
Katanya, kedua-dua pemain tersebut telah
mempamerkan aksi cemerlang dalam pertemuan sebelum ini.
“Saya gembira dengan persembahan kedua-dua pemain
ini yang semakin serasi. Sudah pastinya untuk pertemuan dengan SHB Da Nang ini
kedua-dua pemain ini akan mengetuai jentera serangan pasukan,” ujarnya.
Setakat ini Kelantan meraih empat mata hasil
kemenangan ke atas Ayeyawady United FC (Myanmar) dan seri dengan Maziya Sport
and Reacreation (Maldives).
Sementara itu, Huynch Duc memberitahu, pasukannya
mahu meraih mata pada perlawanan tersebut biarpun bakal berdepan cabaran sengit
dari The Red Warriors.
Meskipun pemainnya mengalami sedikit keletihan
selepas mengharungi jadual perlawanan liga negara itu yang padat, namun beliau
optimis barisan pemain dapat menjelmakan aksi terbaik dan mampu mengecewakan
tuan rumah.
“Tidak banyak maklumat yang kami ketahui
berkaitan pasukan Kelantan, namun apa yang saya tahu pertemuan ini pasti sengit
dan kita telah bersedia untuk menghadapinya,” ujarnya.
***
Kelantan Tekad Kekal Rekod Bersih Di KB
Kota Bharu: Kelantan berharap untuk
mempertahankan rekod tanpa kalah apabila bertemu pasukan Vietnam, SHB Da Nang
FC dalam perlawanan Kumpulan G Piala Konfederasi Bolasepak Asia (Piala AFC) di
Stadium Sultan Muhammad IV, hari ini.
Ketua jurulatih Kelantan Bojan Hodak berkata
pasukan bimbingannya berazam meraih tiga mata daripada perlawanan itu walaupun
ia mungkin tugas sukar kerana pelawat adalah pasukan terbaik dalam liga di
negara mereka.
“Saya percaya perlawanan pasti sengit kerana
mereka pasukan terbaik di Vietnam. Penyerang utama mereka penjaring terbanyak
dalam Liga Vietnam. Mereka juga dibarisi pemain handalan yang bermain dalam
pasukan kebangsaan mereka.
“Mereka pasukan amat berpengalaman dan pemain
bermain bersama-sama sejak beberapa tahun lamanya. Mereka tidak banyak berubah
dalam beberapa tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Kelantan, juara tiga piala Liga-M lalu, beraksi
dalam dua perlawanan Piala AFC, menang satu dan seri dalam satu lagi perlawanan
manakala SHB Da Nang menang dalam dua perlawanan.
Hodak berkata, beliau akan menurunkan kedua-dua
pemain import, Dimitrios Pertratos dan Dickson Nwakaemi bagi perlawanan itu
kerana prestasi kedua-dua pemain bertambah baik selepas bermain bersama-sama
dalam beberapa perlawanan.
“Dickson membantu, Dimitrios melakukan jaringan,
jadi saya harap mereka akan bermain seperti sebelum ini (dalam perlawanan
ini),” katanya.
Ketua jurulatih SHB Da Nang, Le Huynh Duc pula
berkata beliau akan menurunkan barisan terbaik untuk mengalahkan Kelantan di
laman mereka sendiri untuk pulang dengan tiga mata dalam perlawanan pusingan
kedua mereka.
“Tiga hari lalu, kami beraksi dalam Liga Vietnam
dan kini datang ke Malaysia. Semua orang letih tapi kami akan cuba melakukan
terbaik untuk mengutip mata penuh daripada perlawanan.
“Kami membawa pasukan terbaik kami yang menang
enam perlawanan dan satu seri dalam Liga Vietnam. Saya fikir prestasi pemain
berada pada tahap terbaik dan saya akan cuba menurunkan semua pemain terbaik
dalam perlawanan itu nanti,” katanya. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment