KELANTAN perlu mempamerkan corak permainan
seperti ketika mereka membenam cabaran SHB Da Nang pada aksi Piala AFC, Selasa
lalu apabila dijadualkan melayan kunjungan Sarawak pada saingan suku akhir
Piala FA di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu malam esok.
Ketua pasukan, Badhri Radzi memberitahu, atas
kertas, The Red Warriors selaku penyandang juara sudah pastinya menjadi pasukan
pilihan untuk memenangi perlawanan berkenaan namun beliau tidak mahu
rakan-rakan lain terlalu dibuai dengan pencapaian musim lalu.
Menurutnya, berada dalam kelompok dua pasukan
teratas Liga Premier dan mengekalkan rekod tanpa kalah setakat ini, membuktikan
bahawa Sarawak merupakan sebuah pasukan yang tidak boleh dipandang mudah
terutama ketika saingan memasuki peringkat suku akhir.
“Walaupun beraksi dalam Liga Premier, tahap
permainan Sarawak setanding dengan pasukan Liga Super, tidak mudah untuk
menundukkan mereka. Sebelum ini kita telah beberapa kali menentang mereka, dan
setiap kali pertemuan, ia perlawanan yang sukar untuk kita.
“Mengambil mudah cabaran Sarawak ketika aksi di
tempat sendiri bermakna kita menempah laluan sukar kerana mereka cukup kebal
apabila bermain di gelanggang sendiri untuk aksi timbal balas. Saya fikir semua
pemain perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan itu,” katanya
ketika ditemui semalam.
Tambahnya, gol awal mungkin akan memberikan
kelebihan kepada pasukannya untuk memberikan tekanan kepada pasukan Sarawak
selain perlu menjaringkan lebih daripada dua gol serta mempertahankan gawang
daripada dibolosi untuk menjamin bekalan selesa ketika bertandang ke Kuching
nanti.
Katanya, beliau dan rakan sepasukan kini sedang
fokus untuk menyingkirkan Sarawak terlebih dahulu sebelum memikirkan lawan yang
akan ditentang pada saingan separuh akhir nanti.
“Sama ada Negeri Sembilan atau Terengganu yang
akan kita jumpa di separuh akhir itu tak penting. Ini bukan masa yang sesuai
untuk kita fikirkan perkara itu, apa yang penting kita perlu selesaikan
perlawanan satu persatu.
“Saya fikir Sarawak akan turun dengan aksi
terbaik mereka. Mereka adalah sebuah pasukan yang kuat musim ini terutama
dengan kombinasi pemain yang ada seperti Joseph Kalang Tie, Mafri Balang, dan
ketua pasukan mereka, Guy Bwele,” ujarnya.
Jelasnya, Joseph Kalang mempunyai kekuatan yang
tersendiri terutama menghidupkan jentera tengah selain mampu melakukan percubaan
yang berbahaya selain penyerang import Sarawak, Ivan Babic yang belum diketahui
sejauh mana keupayaan yang mampu memusnahkan impian Kelantan.
***
Piya Mahu TRW Kekal Momentum
KETUA Pasukan The Red
Warriors, Mohd Badhri Radzi mahu rakan sepasukannya mengekalkan momentum
kemenangan apabila melayan kunjungan Sarawak pada aksi suku akhir pertama
kempen Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, malam esok, lapor MAZRAM IDZAM
RIDZAL MAHMUD.
Mohd Badhri atau lebih dikenali panggilan Piya
berkata, prestasi cemerlang Kelantan ketika membelasah wakil Vietnam, SHB Da
Nang 5-0 pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) perlu diteruskan apatah lagi pasukannya mempunyai kelebihan beraksi di
gelanggang sendiri.
“Kalau aksi bertenaga seperti tempoh hari
ditunjukkan, saya percaya laluan Kelantan untuk mempertahankan kejuaraan kali
kedua menjadi lebih mudah. Dengan syarat kita perlu menyingkirkan Sarawak
dahulu sebelum memikirkan lawan seterusnya,” katanya, semalam.
“Kami hanya perlu memikirkan bagaimana cara
mendapatkan jaringan lebih banyak malam esok sebagai bekalan selesa sebelum
membuat perhitungan kedua di Kuching pada 16 April nanti.
Menurutnya, beliau berharap gawang Kelantan yang
dikawal Khairul Fahmi Che Mat tidak bolos pada pertemuan malam esok bagi
memastikan Sarawak tidak mempunyai kelebihan berdasarkan peraturan gol di
tempat lawan dalam penentuan pasukan yang layak ke separuh akhir.
Dalam perkembangan sama, Mohd Badhri mengakui
rekod tanpa kalah Sarawak dalam saingan Liga Premier musim ini membuktikan
skuad itu sememangnya berada dalam kelas tersendiri.
“Memang Sarawak beraksi dalam Liga Premier tetapi
sebenarnya kekuatan mereka sama seperti pasukan Liga Super. Buktinya mereka
kini menduduki tangga kedua liga dan tidak pernah tewas dalam 11 perlawanan
setakat ini,” katanya.
***
No comments:
Post a Comment