Kelantan Temui Sentuhan Kemenangan
Oleh : Madzram@Sinar Harian
KOTA BHARU – Setelah mengalami dua kekalahan berturut-turut,
The Red Warriors (TRW) akhirnya kembali menemui sentuhan kemenangan setelah
mengatasi T-Team 3-1 pada aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di
Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Tiga mata yang diimpikan Kelantan hadir tepat pada masanya malah kemenangan ke
atas pasukan berstatus kelab itu sekali gus turut berjaya melunaskan dendam
apabila tewas 0-1 dalam perlawanan pusingan pertama, pada 12 Januari lalu.
Kemenangan berharga itu membantu skuad kendalian Bojan Hodak mengumpul 17 mata,
namun terlalu jauh untuk mengejar pendahulu liga, Lions XII yang cukup selesa
menerajui takhta dengan 28 mata.
Begitu pun, kemenangan yang dilakar
itu dilihat mampu memadamkan kekalahan terbesar TRW 6-1 pada saingan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia minggu lalu apatah lagi turut mendapat suntikan
semangat dengan kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan
Sri Annuar Musa di sebalik kesibukan beliau berkempen pada Pilihan Raya Umum
ke-13 ketika ini.
Kelantan hampir berada di depan ketika perlawanan baru memasuki minit kelima
apabila apabila Ahmad Fakri Saarani bijak melakukan hantaran silang
mengelirukan namun tampanan Mohd Faiz Subri sedikit tersasar di sebelah kiri
pintu gol T-Team.
Begitu pun, pasukan pelawat nyaris mengejutkan tuan rumah empat minit kemudian
menerusi serangan balas pantas yang dicetuskan oleh Antwi George Boateng namun
rembatan penyerangnya, Ahmad Syamim Yahya terkena palang gol meski pun Khairul
Fahmi Che Mat tertewas di posisinya.
Dickson Nwakaeme yang tersisih dalam dua perlawanan lalu mencetuskan situasi
kelam-kabut pada minit ke-11 di depan gawang T-Team apabila memperdayakan tiga
pemain lawan namun tolak ke belakang beliau berakhir dengan rembatan tinggi
oleh Indra Putra Mahayuddin.
Menuju minit ke-16, kali ini giliran anak buah Che Ku Marzuki Che Ku Nor pula
mencemaskan pintu gol Kelantan. Menerusi gerakan satu dua menarik oleh
Damir Ibric Yuskel yang menolak bola ke belakang pantas disambar Mohd Shazlan
Alias namun percubaannya diselamatkan Khairul Fahmi.
Dua minit berselang, Nwakaeme sekali lagi mempunyai peluang untuk mencetak nama
selaku penjaring gol namun percubaannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar
di sebelah kanan pintu gol T-Team.
Penantian hampir 6,000 penyokong setia tuan rumah bagaimana pun terlerai
apabila Kelantan memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-31 menerusi
sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Nwakaeme.
Pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaakob tidak teragak-agak menghadiahkan
sepakan tersebut setelah pemain pertahanan T-Team, Hassan Basri Ahmad Ridzuan
menjatuhkan Indra Putra di dalam kotak penalti sebelum itu.
Tiga minit berselang, Indra Putra hampir menjarakkan kedudukan buat Kelantan
menerusi sepakan bebas yang menembusi benteng dibina pemain T-Team namun hanya
tersasar di sebelah kiri pintu gol pelawat.
Gerakan lincah Nwakaeme yang lakukan larian pantas pada minit ke-40 sekali lagi
hampir mencipta jaringan kedua buat Kelantan namun Mohd Faiz harus menyalahkan
diri sendiri apabila mensia-siakan peluang tersebut setelah merembat tinggi
meski pun hanya berdepan Mohd Iqbal Mohd Suhimi di gawang T-Team.
Minit-minit akhir babak pertama, Kelantan terus melancarkan serangan namun
rembatan separa voli Indra Putra singgah di tiang gol kanan T-Team sementara
percubaan susulan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi tinggi melewati pintu gol.
Bersambung babak kedua, tuan rumah yang kehilangan sentuhan Nwakaeme akibat
kecederaan tampak sedikit tertekan sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah
setelah diasak bertali arus oleh pemain T-Team.
Tindakan Obinna Nwaneri yang gagal mengeluarkan bola dengan sempurnakan pada
minit ke-49 membolehkan Ibric Yuskel mencuri peluang di depan gawang Kelantan
namun rembatan penyerang import baharu Titans itu diselamatkan Khairul Fahmi.
Tiga minit kemudian, Nwaneri sekali lagi melakukan tampanan kurang cermat
sehingga membenarkan bekas pemain Nottingham Forest, George Boateng
memanfaatkan peluang tersebut namun rembatan derasnya mujur diselamatkan
penjaga gawang utama kebangsaan itu.
Kelantan diasak lagi pada minit ke-55 kali ini menerusi sepakan percuma Kapten
T-Team, Mohd Mazuki Yusoff pada jarak 40 meter tetapi hanya beberapa meter tinggi
melewati pintu gol tuan rumah.
Namun keghairahan pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan dipadamkan empat
minit kemudian apabila pemain gantian, Mohd Norfarhan Muhammad menanduk kemas
gol kedua Kelantan setelah menerima hantaran lambung daripada Mohd Badhri.
Seakan mendapat ‘tonik baharu’ dengan jaringan tersebut, tuan rumah kembali
memperkemaskan corak permainan mereka dan Mohd Badhri hampir menjelmakan
jaringan namun percubaan berbahaya beliau dari luar kotak penalti sedikit
tersasar pada minit ke-62.
Dua minit kemudian, Mohd Badhri yang terkenal dengan jolokan ‘Kapten Marvel’
sekali lagi berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan namun rembatannya hasil
serangan balas diilhamkan Mohd Faiz ditepis keluar Mohd Iqbal di pintu golnya.
Pasukan pelawat yang menduduki tangga kedua tercorot tetap tidak berputus asa
dan mereka nyaris merapatkan jurang seminit kemudian menerusi tandukan tajam
Mohamad Hasbullah Awang hasil hantaran lambung Azrul Hazran Amiludin Baki namun
diselamatkan Khairul Fahmi di atas garisan pintu golnya.
Kerja keras T-Team untuk memburu gol sulung mereka hadir lagi pada minit ke-75
menerusi sepakan bebas Mohd Mazuki pada jarak 35 meter memaksa Khairul Fahmi
melayangkan badan untuk menguis keluar bola di gawangnya.
Kebuntuan jaringan pasukan pelawat akhirnya terlerai pada minit ke-81 apabila
dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah Ahmad Fakri Saarani mengasari
Ahmad Syamim di dalam kotak penalti.
Ibric Yuskel, pemain kelahiran Turki dan pernah menyarung jersi skuad
kebangsaan Bosnia Herzegovina tenang merembat masuk ke penjuru kanan untuk
menjadikan kedudukan 2-1 tidak lama kemudian.
Begitu pun, sisa-sisa perjuangan T-Team yang melakarkan kejutan menewaskan
Perak minggu lalu akhir lebur apabila Indra Putra melengkapkan jaringan ketiga
Kelantan menerusi rembatan kencang setelah menerima umpanan cantik daripada
Mohd Badhri dalam masa kecederaan.
***
Kelantan Bangkit Bergaya Selepas Tewas 2 Kali Berturut
KELANTAN berjaya bangkit dari dua kekalahan
berturut-turut selepas menundukkan T-Team 3-1 dalam saingan Liga Super di
Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Pelawat terlebih dahulu mencemaskan pintu gol
tuan rumah menerusi rembatan deras Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak penalti
pada minit ke-9, namun rembatannya sekadar menggegar palang gol walaupun
Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas.
Minit ke-15, pemain pertahanan T-Team, Shazlan
Alias mendapat peluang terbaik menghasilkan gol pertama apabila mendapat
hantaran cantik daripada Ibric Yuksel di dalam kotak penalti, namun rembatanya
berjaya ditampan Khairul Fahmi.
Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-31
menerusi Dickson Nwakaeme yang menyudahkan sepakan penalty, apabila tindakan
Hasan Basri menjatuhkan Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti di kesan
pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaakob.
Selang sembilan minit kemudian, pemain sayap,
Mohd Faiz Subri mendapat peluang terbaik untuk menambah gol buat Kelantan
apabila hanya berhadapan dengan penjaga gol T-Team, Iqbal Suhaimi, namun
rembatannya jauh melepasi palang gol.
Minit ke-45, Kelantan terus mengasak kubu
pertahanan T-Team dan Indra Putra hampir mendapatkan gol kedua buat The Red
Warriors (TRW), namun tampanannya sekadar singgah di palang gol selepas
menerima hantaran lintang daripada Mohd Faiz.
Bersambung babak kedua, Kelantan terus menguji
pertahanan pelawat menerusi Mohd Faiz yang membuat rembatan kencang dari luar
kotak penalti yang ditepis keluar Iqbal.
Minit ke-52, hasil daripada serangan balas,
George Boateng hampir mendapatkan gol penyamaan buat T-Team, namun rembatannya
dalam kotak penalti ditampan kemas Khairul Fahmi.
Tindakan ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak
menggantikan Dickson dengan Mohd Norfarhan Mohamad sebaik bermula babak kedua
akhirnya berbaloi apabila pemain itu bijak menanduk masuk hantaran lintang
ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-60 untuk gol kedua Kelantan.
Yuksel kemudian merapatkan jurang gol buat T-Team
apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 selepas Ahmad Fakri
Saarani menjatuhkan Ahmad Syamim di dalam kotak penalti.
Kelantan mengesahkan kemenangan apabila Indra
Putra mudah menampan masuk bola hantaran lintang daripada Mohd Badhri pada masa
kecederaan.
www.sports247.my
***
TRW Benam T-Team
Kota Bharu: Selepas tewas dua kali
berturut-turut, Kelantan kembali menceriakan peminat setia mereka apabila
melakar kemenangan 3-1 ke atas T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium
Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun masih belum cukup buat skuad kendalian Bojan Hodak
memburu tempat dalam kelompok lima teratas apabila sekadar menghuni tangga
kesembilan liga dengan 17 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Pada aksi malam tadi, penyerang import skuad The Red Warriors (TRW) , Dickson
Nwakaeme meletakkan pasukan itu di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti
minit ke-31 hasil terjahan kasar pemain T-Team, Hasan Basri ke atas Indra Putra
Mahayuddin di dalam kotak penalti.
Bersambung babak kedua, kemasukan penyerang Kelantan, Norfarhan Mohamad menggantikan
Dickson mencetuskan impak positif apabila dia meledak gol kedua pasukan selepas
menanduk masuk hantaran lintang daripada kapten, Badhri Radzi pada minit ke-60.
T-Team yang tertekan selepas ketinggalan dua gol berjaya merapatkan jurang
menerusi penyerang import, Ibric Yuksel pada minit ke-80. Namun, Indra Putra
melenyapkan harapan T-Team menyamakan kedudukan apabila melengkapkan gol ketiga
Kelantan minit-minit akhir permainan.
Bagi aksi seterusnya, Kelantan akan melayan kunjungan FELDA United di Stadium
Sultan Muhammad Ke-IV, 7 Mei ini.
Sumber : Bharian
***
SYABAS!!!!! TRW
3-1 TGANU T TEAM...TRW MEMPAMERKAN PERMAINAN CANTIK TAPI BOLEH PERBAIKI
LAGI..PERLAWANAN AKAN DATANG MENENTANG MYANMAR AYEYAWADY UTK MENENTUKAN JUARA
KUMPULAN..TERUSKAN KECEMERLANGAN KLATE KITA..