WAWANCARA MINGGUAN MALAYSIA BERSAMA TAN SRI ANNUAR MUSA@27-1-2013
Sebaik
sahaja menerajui bola sepak Kelantan, TAN SRI ANNUAR MUSA telah menunjukkan
perubahan yang amat menakjubkan daripada beraksi dalam Liga FAM sehingga muncul
Juara Trebel dalam tempoh yang amat singkat.
Transformasi yang dilakukannya mengingatkan kembali kepada Allahyarham Datuk
Ahmad Basri Akil yang berjaya mengangkat martabat bola sepak Kedah. Namun
kedua-dua tokoh tersebut mengalami nasib yang sama digantung oleh Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menegur badan induk tersebut.
Biarpun digantung Annuar tidak mengalah malah beliau tetap meneruskan
perjuangan dan skuad The Red Warriors menjadi fenomena di negeri Cik Siti Wan
Kembang ini.
Ketika ditemui wartawan Mingguan Malaysia, AZRAN FITRI RAHIM dan RODELIO
JUNJUN TAUCAN bersama jurugambar, ROSNI MASRI, Annuar tanpa gentar akan terus
bersuara bagi menjelaskan semua kekaburan dan kekusatan dalam dunia bola sepak
negara dengan apa disifatkannya sebagai masalah pentafsiran.
Annuar berkata: "Saya reda, biarlah saya digantung dua kali atau
digantung seumur hidup kerana jika saya tidak lakukan perkara ini ia akan
berterusan."
Pada pertemuan itu juga, bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga menjelaskan
mengenai insiden Mat Yo dan Komando di Stadium Sultan Muhammad IV.
MINGGUAN: Tan Sri telah melakukan pelbagai
transformasi dalam bola sepak Kelantan daripada tiada apa-apa sampai ke tahap
sekarang. Sejak Tan Sri terlibat secara langsung dalam bola sepak negara
bagaimana Tan Sri melihat bagaimana tahap profesionalisme pengurusan bola sepak
di Malaysia?
ANNUAR: Kalau kita lihat di Malaysia
pengurusan bola sepak secara am, bolehlah saya katakan kita masih lagi
menguruskan bola sepak sama seperti 10 atau 20 tahun ke belakang. Berdasarkan
kepada amalan yang biasa, yang sedang dilakukan, anda uruskan satu pasukan 25
pemain dan jurulatih, turun latihan di padang kemudian mengambil bahagian dalam
pertandingan, biasanya kos dan pembiayaan datang daripada sumber tertentu yang
lazimnya dari kerajaan atau satu entiti lain. Sekarang ini kebanyakan kaedahnya
masih macam itu. Sebenarnya itu bukanlah sesuatu yang boleh kita katakan
sebagai pengurusan bola sepak profesional berdasarkan kepada norma
antarabangsa. Maksud saya norma antarabangsa ini adalah bola sepak di
negara-negara yang lebih kehadapan dan liga-liga yang lebih hebat dari kita.
Misalnya di Eropah banyak liga seperti BPL, Bundesliga dan Seri A serta
disebelah Asia yang jelas J-League, K-League, A-League dan juga sebahagian
daripada negara Asia Barat yang saya lihat telah melakukan banyak transformasi
pengurusan. Sedangkan kita sebenarnya tidak ada beza dalam menguruskan bola
sepak pada masa sekarang dengan 15 tahun dulu, tetap sama. Tetapi keadaan
sekarang jauh berubah, misalnya pemain-pemain mula bercakap tentang nilai gaji
yang lebih tinggi dan memerlukan kelab mencari dana yang lebih besar. Kalau
dulu barangkali RM500,000 atau RM1 juta sudah cukup untuk uruskan satu pasukan,
sekarang ia mencecah RM10 juta. Sudah tentu pengurusan dana sebesar, hasil
perolehan sudah tidak lagi sesuai dengan cara-cara yang lama. Jadi kalau tanya
saya pada keseluruhannya pengurusan bola sepak dari atas sampai bawah
berbanding dengan norma yang dipakai di negara yang maju bola sepaknya kita
sangat jauh berbeza.
Secara umumnya FAM perlu mengikut panduan yang
dikeluarkan FIFA. Namun apakah Tan Sri melihat perkara ini berlaku atau sebaliknya?
ANNUAR: Dalam soal ini saya nampak ia
lebih melibatkan soal penafsiran. Ada banyak kelemahan dalam aspek ini, pertama
di peringkat FAM sendiri tidak ada jabatan undang-undang FAM sangat bergantung
sepenuhnya kepada individu-individu tertentu sedangkan peraturan dan
undang-undang sukan adalah subjek yang khusus. Ia mesti diuruskan oleh seorang
profesional. Bukan orang biasa tetapi profesional yang mempunyai pengalaman
luas. Kebetulan di negara ini aspek undang-undang sukan tidak banyak pihak yang
mendalaminya. Satu benda yang baharu, kalau orang nak belajar undang-undang di
universiti misalnya jarang yang akan ambil pengkhususan dalam undang-undang
sukan. Mereka lebih berminat kepada undang-undang komersial, jenayah, kontrak
dan sebagainya sedangkan sukan itu sendiri ada undang-undang.
Sepatutnya ada mahkamah sendiri, tribunal sendiri, ada jawatankuasa rayuan
dan ia mampu memberi implikasi kepada industri bernilai berbilion ringgit.
Apabila FAM tidak ada satu jabatan menyelaraskan semua ini maka kita dapati
banyak berlaku kepincangan dari segi penafsiran, aplikasi, kepincangan, macam
mana nak selesaikan pertikaian sehingga akhirnya menimbulkan banyak
ketidakpuasan hati. Kelemahan yang kedua, persatuan negeri dan juga pengurus
sukan biasanya tidak mendalami undang-undang dan peraturan. Kadang-kadang latar
belakang mereka tidak berkaitan dalam sukan. Mungkin bekas guru, bekas pemain,
dia mungkin sesiapa sahaja dan tiba-tiba menjadi presiden persatuan atau
pengurus pasukan dan sebagainya. Bila dia tidak mendalami peraturan dia juga
tidak ada peluang mahu belajar seperti hadir seminar atau bengkel tentang
peraturan secara terperinci. Maka timbul masalah orang melihat mereka ini tidak
mempunyai pengetahuan.
Jadi akhirnya dia tidak ikut peraturan kerana tiada pengetahuan, begitu juga
orang-orang yang menguruskan bola sepak dalam semua peringkat pengurusan
termasuk ahli sukan sendiri. Ramai ahli sukan kita tidak belajar peraturan
contohnya orang mahu pinjam kereta bagi dokumen dia terus tandatangan bila
kereta mahu ditarik baru dia baca dokumen sebab apa ditarik. Ahli sukan pun
macam itu, tidak ambil peduli atau keadaan itu tidak mendidik dia untuk belajar
mengikut peraturan. Sebab itu saya menekankan profesionalisme dalam semua
peringkat. Pengurusan dan pemain kena faham peraturan, jadi sekurang-kurangnya
bila semua orang faham peraturan maka semakin kurang pertikaian yang timbul.
Sekarang ini sudahlah kita tidak rangka kerja mentadbir undang-undang secara
sistematik, kemudian orang yang terlibat mentadbir tidak ada pengetahuan.
Akhirnya kesemua perkara berkaitan peraturan menjadi perkara yang paling tidak
diberi keutamaan.
Dalam soal isu perpindahan Mat Yo, Tan Sri
melihat adakah ia dilakukan mengikut peraturan atau tidak?
ANNUAR: Sekali lagi saya kata ia adalah
soal penafsiran dan sekarang penafsiran itu terletak pada FAM. Bila ada
pertikaian akhirnya yang mentafsirkan ialah FAM. Jadi di sini satu perkara yang
menimbulkan percanggahan bukan sahaja pentafsiran tetapi undang-undang yang
digubal sendiri pun ada konflik. Sebab itu dalam menyediakan draf kontrak
daripada pengalaman saya dengan Mat Yo, kita kena tengok balik. Sebagai contoh
dalam kontrak itu jelas Mat Yo tidak boleh berhenti kalau nak berhenti kena
bagi tempoh yang cukup. Kelab pula tidak boleh nak buang, kalau nak buang pun
kena bagi tempoh yang cukup. Jadi klausa memberi tempoh yang cukup itu penting
untuk masa depan pemain, kalau berhenti mendadak macam mana nak cari pasukan.
Kelab pun macam itu juga kalau berhenti mendadak macam mana mahu mencari ganti.
Kalau pemain yang kritikal bukan soal dia sahaja malah seluruh pasukan boleh
jatuh daripada segi duit, penajaan, keupayaan pasukan macam yang Kelantan lalui
sekarang.
Jadi semangatnya adalah tidak boleh berhenti secara tiba-tiba. Di Eropah pun
tidak macam itu tetapi dalam draf kontrak yang kita dipaksa pakai adalah draf
yang orang lain buat sama ada suka atau tidak. Tiba-tiba ada satu terma kontrak
boleh dibatalkan atas kehendak bersama. Sepatutnya kena bagi tempoh sebulan
kerana banyak benda perlu dilakukan secara berperingkat tetapi semua ini
terhapus dalam satu klausa. Buat apa ada semua perincian itu kalau pemain boleh
berkata, saya boleh berhenti, saya boleh batalkan kontrak, jadi benda seperti
ini perlukan kajian. Selepas itu ada pula peraturan tidak tertulis dalam
kontrak tetapi terdapat dalam FIFA sebab kita ada satu klausa umum bahawa apa
sahaja kita buat undang-undang induknya adalah FIFA. Itu adalah segalanya dan
kita tahu amalan dalam FIFA itu jelas. Contohnya, bagi FIFA seseorang pemain yang
ada kontrak dengan mana-mana kelab dalam tempoh kontrak itu masih berjalan dan
belum menjadi ejen bebas iaitu terlepas dalam semua ikatan, maka dia mesti ada
tuan punya secara asasnya. Mereka adalah aset kepada kelab tertentu, jadi dalam
tempoh itu tidak ada kelab boleh menghubungi secara langsung pemain berkenaan.
Mahu panggil, jumpa, makan, runding semua tidak boleh dan undang-undang FIFA
itu sangat jelas.
Kedua, kalau mana-mana kelab mahu mengambil pemain, wajib minta kebenaran
kelab asal. Tidak boleh ada hubungan langsung kecuali hantar permintaan pada
kelab dan kalau kelab kata tidak setuju berunding maka tiada apa-apa urusanlah
sehingga kontrak dia tamat. Ini kunci yang diwujudkan untuk menjaga industri
jika tidak timbul masalah dalam sistem perpindahan pemain sedangkan kelab
sekarang buat duit melalui pemain itu kerana dia adalah aset. Pemain daripada
tidak popular menjadi popular maka diletakkan harga pada pemain itu, jadi bila
pindah itulah wang yang diperolehi atas segala pelaburan yang dilakukan. Jadi
bila pemain boleh dicuri dari belakang tidak payahlah bayar yuran perpindahan
dan pemain pula boleh keluar sebegitu mudah. Daripada membayar RM1 juta lebih
baik saya bayar RM300,000, lebih murah tetapi akhirnya industri itu yang rosak.
Segala pelaburan oleh kelab terhadap pemain tidak akan ada pulangan sedangkan
kelab habis berpuluh juta setahun. Macam-macam yang dilaburkan kepada pemain
dan dalam FIFA kalau kita ambil di luar peraturan, pemain dan kelab akan
digantung minimum empat bulan.
Undang-undang dibuat sebegitu rupa sebab kalau dibiarkan ia akan merosakkan
dan Kelantanlah negeri pertama yang sedang melalui perkara ini. Kesannya kita
boleh lihat, kenapa pasukan juara treble tiba-tiba terkapai-kapai. Jawapannya
mudah kami kehilangan empat pemain tunggak, S. Chanturu, Nurul Azwan Roya,
Mohamad Ghaddar dan Mat Yo. Empat ini kesemuanya adalah kes berbeza yang
berkaitan dengan undang-undang yang dalam perancangan kita. Mereka tidak
sepatutnya pergi pada tahun ini. Semua perpindahan ada kes undang-undang kerana
mereka lari di luar perancangan kita.
Jadi kalau begitu adakah FAM terlibat kerana ada
tangan-tangan yang boleh campur tangan?
ANNUAR: Ada guna (tangan), tiada guna
(tangan) pun, itulah yang berlaku. Itulah azab yang Kelantan lalui sekarang
dalam kes Mat Yo terlalu banyak masalah timbul, soal cara beliau dirunding dan
sebagainya. Saya tahu dia dibayar, diberi duit poket dulu dan ditawarkan gaji
lebih awal. Selepas itu barulah, dia bersungguh-sungguh mahu keluar, sebelum
itu dia tidak mahu keluar. Kalau dia mahu keluar tiga bulan sebelum dia kena
beritahu, jadi saya ada masa cari pemain lain. Ini tidak dia hantar surat 30
Oktober 2011 tetapi mahu tamat kontrak 1 Novermber 2011, tidak sampai 48 jam.
Macam mana saya nak cari pemain lain, bulan itu bulan pendaftaran, musim baru
sudah bermula dia beri saya enam hari untuk cari pemain lain sedangkan pemain
lain sudah ikat kontrak dengan pasukan lain. Adakah FAM mahu galakkan saya
pergi 'curi' pemain lain pula dengan cara bayar kontrak mereka. Tentu tidak begitu
bukan.
Tan Sri isu di antara KAFA dan PBNJ semakin
panas apabila muncul komando yang lengkap bersenjata dan beruniform pada
perlawanan di antara Kelantan dan Johor Darul Takzim FC, ini memberi gambaran
seolah-olah Kelantan terlalu 'jahat'. Apa komen Tan Sri?
ANNUAR: Saya tidak mahu bagi komen
berdasarkan kepada tanggapan saya. Saya dengan PBNJ tiada apa-apa masalah
peribadi, apa lagi saya Timbalan Presiden FAM, bodohlah saya mahu bergaduh
dengan ahli-ahli badan gabungan. Saya sebagai rakyat biasa, Tengku Mahkota
Johor sebagai Tengku Mahkota tidak eloklah pada orang Melayu kalau saya
bergaduh secara peribadi. Cuma saya kena bagi satu garis panduan yang saya
sedang bercakap sekarang ini adalah soal peraturan jadi kalau anda tanya adakah
PBNJ menganggap begitu? Bagi saya, menganggap itu adalah satu persepsi saya
tidak mahu prejudis yang saya cakap ini soal peraturan.
Tetapi tindakan membawa askar adakah itu dalam
peraturan?
ANNUAR: Itulah dia bila saya tegur kerana
saya rasa benda itu menyalahi peraturan. Bukan saya anggap PBNJ anggap kita
jahat ke atau tidak, itu anggapan. Yang saya boleh cakap membawa senjata api ke
dalam stadium selain pasukan keselamatan yang diakreditasikan. Anda boleh jadi
polis dan askar tetapi kalau anda tidak dipilih untuk bertugas oleh tuan rumah
atau penganjur, membawa senjata api adalah salah. Bolehkah anda seorang askar,
anda sokong Kelantan datang ke stadium bawa senapang. Saya kata saya peminat
Mohd. Badri Radzi saya datang saya kata mahu kawal dia, memang tidak boleh
sebab dalam peraturan hanya orang yang dilantik sahaja termasuk pegawai
keselamatan yang ditauliahkan oleh tuan rumah. Orang lain sama ada dia askar ke
atau polis tanpa kebenaran penganjur tidak boleh apa lagi membawa senjata api
adalah kesalahan besar dalam stadium.
Alasan yang diberikan adalah Sultan Johor atau
Tengku Mahkota Johor mahu datang?
ANNUAR: Kalau sultan mahu datang pun
mereka kena maklumkan, kami yang akan atur. Kalau mereka mengiringi sultan pun
hanya sampai ke luar stadium. Masuk stadium selepas sahaja pagar kuasa kami,
tanpa tiket tidak boleh masuk, tanpa kebenaran jangan masuk. Anda sebagai
wartawan, anda ada hak untuk buat liputan semua berita di bawah kebebasan media
tetapi kalau anda tidak ditauliahkan anda tidak boleh masuk stadium. Tidak boleh
kata saya wartawan itu hak saya tapi kalau anda tidak dibenarkan maka tidak
bolehlah masuk. Keselamatan sultan anda boleh uruskan di luar tapi di dalam
mesti ada kebenaran. Masa saya bincang dengan mereka, tidak diberitahu mereka
akan datang bawa senjata api berat. Kami bagi mereka pas tapi bukan datang
dengan senapang. Saya tanya rombongan berapa orang, mereka beritahu 18 anggota
keselamatan, 200 penyokong dan enam orang kenamaan. Jadi kami keluarkan pas
berdasarkan itu. Pegawai keselamatan itu, saya kata duduk di astaka, dia minta
nak duduk belakang tempat duduk pemain simpanan. Saya kata itu tidak boleh kena
ada kawalan berasingan tapi boleh pergi astaka dua. Kami sediakan tempat di
situ dan bincang tetapi bila datang dengan senjata nak masuk dalam padang mana
boleh, apa perlunya. Dia bagi alasan sultan mahu datang, itu memang bohong
sebab dalam mesyuarat secara rasmi dia maklumkan tidak datang. Jadi kalau tidak
datang, askar tidak payahlah datang. Kita tanya secara rasmi dua hari sebelum,
dia beritahu saya tidak datang.
Mungkin mereka gunakan pengalaman lepas sebagai
contoh insiden membakar kereta polis pada 2009?
ANNUAR: Walau apa pun mereka kena datang
bincang dengan kami, jangan bawa askar sendiri. Betullah benda itu berlaku
tetapi macam mana dengan 2010 dan 2011, negeri lain datang tidak bawa senjata
api pun tiada apa berlaku. Dan yang berlaku ini bukan sahaja di Stadium Sultan
Muhammad Ke IV tetapi di Terengganu pun teruk, di Selangor sampai pecah muka
masuk hospital sehingga FAM sendiri kendalikan kerana seorang budak buta. Benda
ini berlaku dalam bola sepak yang penting bagi kami sebagai tuan rumah ialah
apa langkah yang perlu dilakukan. Benda nak berlaku mana kita tahu sebab 20,000
punya perangai, tetapi apa yang kita buat kita mengambil langkah-langkah yang
mencukupi atau hanya biar sahaja.
Akhir sekali, apakah harapan Tan Sri untuk bola
sepak Malaysia?
ANNUAR: Saya fikir kalau kita serius dan
berminat nak tengok bola sepak maju, baik menteri, badan induk yang jaga sukan
dan juga orang-orang yang terlibat dalam sukan, mestilah bersedia meniru apa
yang dilakukan oleh Jepun iaitu mengadakan satu perancangan yang jelas dan
proses mahu melaksanakan. Mungkin melalui siri perbincangan yang mendalam dan
panjang yang melibatkan semua pihak. Kumpul segala pandangan daripada semua
pihak kemudian gubal satu pelan jangka panjang itu adalah kunci utama. Sebelum
dikenakan hukuman saya tinggalkan satu dokumen kepada Tengku Mahkota, Timbalan
Presiden FAM mengenai pandangan saya yang dibuat secara hitam putih antara
perkara yang perlu dilakukan dalam konteks Liga Malaysia.
Jadi perancangannya, tentukan apakah peranan Kementerian Belia dan Sukan,
peranan FAM, badan-badan gabungan dan semua pihak yang terlibat, biarlah semua
jelas apa yang perlu dilakukan dan ke manakah arah tuju. Kedua, dalam mana-mana
negara pun cermin kepada kemajuan bola sepak itu adalah liga tempatannya dalam
konteks kita Liga M. Pada pandangan saya Liga M mesti dirombak sama sekali
macam mana? Peraturan antarabangsa FIFA kalau mahu buat secara profesional,
liga tidak boleh dikendalikan oleh persatuan. Adalah salah bagi FAM terus
menerus mengendalikan dan akan timbul konflik. Dalam liga profesional, liga
mesti dimiliki oleh pasukan yang mengambil bahagian. FAM peganglah 20 peratus
tetapi bakinya mesti milik semua pasukan yang bertanding dan dikendalikan
secara berasingan. Ini bukan cadangan saya, ini adalah cadangan FIFA. Satu
sebab Malaysia tidak boleh menyertai Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak
Asia (AFC Champions League) adalah kerana syarat ini tidak dipenuhi. Kita hanya
boleh masuk AFC CUP kerana sikap kita, ikut separuh dan tidak ikut separuh.
Kalau mahu menyertai tahap tertinggi kita kena lepasi dulu kriteria ini iaitu
liga tidak boleh dianjurkan oleh FAM. Sepatutnya apa sahaja keuntungan dalam
liga FAM boleh simpan sebahagian tetapi selebihnya mestilah untuk liga termasuk
pasukan yang bermain.
Sudahlah tidak dapat duit daripada FAM tetapi negeri pula kena 'cekik',
sudahlah geran RM300,000 sahaja dari dulu sampai sekarang. Sekarang ini stesen
televisyen buat duit melalui siaran langsung tetapi kelab tidak dapat apa.
Dalam bola sepak dunia, penyiaran itulah sumber pendapatan tetapi kami tidak
dapat apa-apa. Jadi kenapa ini berlaku, sebabnya adalah FAM pegang Liga M.
Sekarang menjadi semakin teruk apabila Malaysian Super League (MSL) ditutup
yang dulu saya jadi pengerusi. Dulu buang saya, selepas itu tutup MSL. Jadi ke
mana kita mahu pergi tetapi inilah realitinya. Satu lagi semua kementerian
perlu bersama-sama melibatkan diri dalam pembangunan bola sepak, duduk bersama
berbincang. Apa yang dilakukan Kementerian Belia dan Sukan pun tidak cukup
komprehensif mereka cuma belanjakan RM10 juta yang Perdana Menteri berikan
tetapi tidak cukup komprehensif. Sebab itu saya kata paling senang adalah tiru
J-League sebab mereka sudah melalui proses itu. Sekarang negara Myanmar pun
sudah meniru apa yang Jepun lakukan cuma kita sahaja yang masih bodoh sombong
sendiri. Seterusnya cermin kita adalah Liga M. Liga M kita teruk kena
pembaharuan secara total tentang cara pengendalian, kalau tidak semakin ramai
pasukan akan mati. Sekarang sudah lima negeri mati termasuk Kuala Lumpur yang
sudah parah. Kemudiannya pasukan kebangsaan, ia berkait dengan perancangan,
macam mana kita mahu membina pasukan negara.
Kalau pasukan tidak bagus keseluruhan bola sepak juga akan jatuh. Jadi
bagaimana kita membentuk pasukan negara, saya sendiri tidak tahu tetapi dalam
FAM ada jawatankuasa berhubung pembangunan pasukan kebangsaan. Tetapi setakat
yang saya tahu tidak pernah ada mesyuarat. Anda pergi tanya Exco FAM sejauh
mana mereka tahu macam mana bola sepak negara dikendalikan anda tanya pasti
tiada siapa tahu sebab mereka tidak pernah terlibat. Sewaktu saya dalam FAM
saya sepatutnya jadi pengerusi tetapi saya tidak boleh panggil mesyuarat. Jadi
bagaimana?
Sumber : Utusan Malaysia
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment