15 January 2013

Perhitungan di Kota Bharu Medan Terbaik Untuk Bangkit Dari Permulaan Hambar

Barisan Bintang Johor Darul Takzim FC

|
Kota Bharu bakal menjadi tumpuan peminat bolasepak tempatan malam ini dengan berlangsungnya pertembungan juara trebel musim lalu, Kelantan menentang barisan bintang dari selatan iaitu Johor Darul Takzim FC.
Permulaan kedua-dua pasukan di awal musim setakat ini tidaklah begitu meyakinkan. Tuan rumah Kelantan sekadar mencatatkan satu kemenangan tipis dan satu kekalahan. Begitu juga dengan DTFC, selepas tewas kepada Pahang di perlawanan pembukaan, pasukan kendalian Fandi Ahmad ini hanya mampu menang 1-0 keatas Perak walaupun berkelebihan 2 pemain diatas padang.
Situasi ini pastinya meresahkan peminat kedua-dua pasukan. Justeru, perlawanan malam ini menjadi medan terbaik untuk Bojan Hodak dan Fandi untuk membawa semula pasukan ke landasan yang tepat dalam misi mengukuhkan lagi kedudukan dalam liga.
Tambah menjadikan perlawanan malam ini lebih ‘panas’ semestinya kehadiran semula Nurshahrul Idlan Talaha ke Kota Bharu. Penyerang kebangsaan yang juga Pemain paling Bernilai 2012 ini diangkat sebagai hero bagi peminat The Red Warriors selepas membantu Kelantan menjulang 3 piala.
Namun, penghijrahannya ke Darul Takzim sehingga menimbulkan isu tebus kontrak Matyo dengan KAFA membuatkan peminat Kelantan sedikit kecewa dengan pemain kelahiran Besut ini.
Selain Matyo, turut kembali pulang ke Kota Bharu malam ini ialah Nurul Azwan Roya. Kelibat Matyo, Nurul Azwan serta gandingan bintang seperti Muslim Ahmad, Safiq Rahim, Dani Guiza, Aidil Zaquan dan Simone Del Nero menjadikan pasukan bergelar Harimau Selatan ini sebagai pilihan untuk memungut 3 mata malam ini.
Namun begitu, harus diingat Kelantan mempunyai kelebihan beraksi dihadapan ribuan penyokong setia mereka ditambah pula pemain-pemain mereka pasti mahu menebus kembali kekalahan kepada T-Team sebelum ini menerusi kemenangan keatas Dari Takzim FC. Rekod cemerlang mereka di kubu sendiri juga pastinya memberi petanda buat Fandi Ahmad bahawa anak buahnya akan menghadapi kesukaran sepanjang 90 minit beraksi nanti.
Sandaran Kelantan dijangka terletak pada bahagian tengah mereka dengan kapten pasukan Badri Radzi, Indra Putra dan Shakir Shaari akan menggalas tanggungjawab ini. Selain itu, peminat tempatan turut akan menumpukan perhatian kepada Keita Mandjou, penyerang import Kelantan yang dikecam hebat akibat prestasi hambarnya yang setakat ini masih belum mampu meledak sebarang jaringan.
Dalam pada itu, 5 lagi perlawanan Liga Super turut berlangsung antaranya Pahang menentang Negeri Sembilan di Kuantan, PKNS FC menerima kunjungan LionsXII di Shah Alam, Terengganu menentang Selangor, ATM bertemu T-Team dan juga Perak menentang Felda United di Lumut.
***
Kelantan Tetap Pertaruh Mandjou
Oleh KHAIRIMOHAMAD@khairi.mohamad@kosmo.com.my
Barisan Kelantan
BIARPUN gagal memberikan impak dalam tiga perlawanan sebelum ini, magis pemain dari Guinea, Keita Mandjou terus ditagih oleh Kelantan untuk memusnahkan impian Johor Darul Takzim (Johor DT) pada pertemuan Liga Super di Kota Bharu malam ini.
Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak memberitahu, pemain tersebut tetap berada dalam senarai kesebelasan utamanya dan akan mengetuai jentera serangan The Red Warriors walaupun prestasinya kini agak diragui.
Menurutnya, beliau perlu menggunakan khidmat Mandjou sehingga April depan walau apa cara sekalipun sebelum membuat keputusan sama ada khidmat pemain tersebut akan digantikan atau sebaliknya sebaik jendela perpindahan tersebut dibuka nanti.
"Saya tetap beri sokongan kepadanya dan saya harap dia akan menggunakan peluang dan menjaringkan gol malam esok (malam ini).
"Saya tidak boleh buat percaturan seperti jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang merehatkan dua pemain import mereka. Kita tak ada pemain tempatan seperti Pahang, kita ada masalah pemain tempatan. Jadi, kita terus menagih sentuhan Mandjou," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambahnya, pertembungan malam ini cukup penting terutama untuk membuktikan bahawa Kelantan adalah jaguh sebenar bola sepak Malaysia biarpun menyedari Johor DT diperkuatkan dengan ramai pemain kebangsaan dan berada pada kedudukan lebih baik dalam Liga Super.
"Ini adalah Kota Bharu. Kita merupakan pasukan pilihan apabila beraksi di sini dan kita bersedia untuk menewaskan mana-mana pasukan yang datang ke sini. Dengan sokongan padu peminat, saya rasa kerja kita akan lebih mudah.
"Saya tidak melihat aksi pertama Simone Del Nero (pemain import Johor DT) kerana dia tak bermain semasa mereka tewas 2-3 kepada Pahang tempoh hari tetapi saya tahu dia pemain penting untuk Johor DT.
"Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan David Guiza pemain yang berbahaya jika diberi ruang bergerak bebas.
"Kita akan cuba memberi tekanan kepada dua pemain ini. Kalau itu kita mampu lakukan, mereka pasti bermasalah untuk menembusi pintu gol kita," ujarnya.
Mengulas mengenai rombakan kesebelasan utamanya, Hodak berkata, beliau akan menyenaraikan semula Daudsu Jamaluddin yang direhatkan ketika aksi menentang T-Team, Sabtu lalu.
"Saya akan menyenaraikan semula Daudsu dan sekarang saya sedang fikirkan siapa yang akan digandingkan bersama Obinna Nwaneri di posisi pertahanan tengah. Siapa pemain yang akan diturunkan, akan saya nilai selepas latihan petang ini (petang semalam)," jelasnya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu pertelagahannya dengan jurulatih T-Team, Peter James Butler yang mendakwa beliau mengeluarkan kata-kata menghina mendiang ibu jurulatih dari Halifax, England itu, Hodak dilihat tidak begitu berminat untuk menjawabnya.
"Dia sepatutnya menghubungi saya dan bukan bercakap kepada media. Saya tidak mahu komen apa-apa. Dia boleh hubungi saya terus, mengapa pergi bercakap kepada media.
"Bagus juga jika dia mahu bawa benda ini ke Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), biar dia teruskan," katanya ringkas.
***
Misi Rantai Harimau Selatan

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB@utusan.com.my
KOTA BHARU - Ibarat 'buku bertemu ruas' - paling tepat menggambarkan pertarungan Kelantan dan Johor Darul Takzim dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
Pertembungan buat kali pertama, Kelantan yang menanti selaku juara treble musim lalu tidak sabar menerima kunjungan Harimau Selatan yang dibarisi pemain bintang termasuk bekas penyerang mereka, Norshahrul Ildan Tahala.
Bagi ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, beliau optimis pasukan bimbingannya mampu melakar kemenangan bergaya walaupun Johor Darul Takzim diwakili ramai pemain kebangsaan.
"Kita akan menggunakan kelebihan beraksi di Kota Bharu untuk menumbangkan Johor Darul Takzim pada perlawanan tersebut. Di sini (Stadium Sultan Muhammad IV) kita menjadi pilihan menewaskan mana-mana pasukan yang datang.
"Sokongan padu puluhan ribu penyokong setia pasti menyuntik semangat pemain untuk memperagakan aksi terbaik pada perlawanan itu seterusnya meraih tiga mata penuh," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Dalam pada itu, Bojan mengakui Johor Darul Takzim sebuah pasukan hebat dan dibarisi oleh ramai pemain kebangsaan dan pemain import seperti Daniel Guiza dan Simone Del Nero.
"Kita perlu menyekat mereka terutamanya gandingan Norshahrul dan Guiza kerana mereka ini akan memberi masalah sekiranya dibiarkan bergerak bebas.
"Kita akan memberikan tekanan kepada dua pemain ini. Jika ia berjaya dilakukan mereka pasti berdepan masalah untuk menjaringkan gol pada perlawanan tersebut," katanya.
Dalam pada itu, Hodak berkata, dia akan tetap menyenaraikan penyerang importnya, Keita Mandjou untuk mengetuai barisan serangan meskipun gagal menyerlah dalam dua perlawanan sebelum ini.
Katanya, Keita akan tetap mengetuai jentera serangan dan dia akan terus mengunakan pemain import berkenaan sehingga April ini.
"Saya tetap memberikan sokongan dan berharap dia dapat menjaringkan gol pada perlawanan yang begitu penting malam ini.
"Saya tak boleh guna seperti percaturan sebagaimana yang dilakukan oleh jurulatih Pahang dengan merehatkan dua pemain import kerana kita mempunyai masalah pemain tempatan," ujarnya.
***
Kota Bharu Jadi Medan Perang?
Kini tercipta satu lagi sejarah bolasepak Malaysia apabila buat julung kali perlawanan bolasepak melibatkan kawalan pihak Tentera Di Raja Johor yang dibawa untuk mengawal keselamatan Yang Mulia Tengku Mahkota Johor dan perlawanan terhebat 2013 ini.
Mungkin inilah antara tanda-tanda bolasepak akan terus dijadikan hamba kepada pembesar yang tidak mementingkan semangat kesukanan itu sendiri.
Perlawanan malam ini akan menentukan pasukan mana melakukan perbelanjaan paling berbaloi dalam pelaburan membina pasukan dan akan menentukan arah tuju persaingan hebat kedua-dua pasukan ini merebut mata sepanjang Liga Super berlangsung. Isu kehadiran tentera khas Johor ini dijangkakan tidak akan sedikitpun menggerunkan kebanjiran penyokong Kelantan pada malam ini.
Kehadiran tentera ini harus dipandang positif oleh seluruh penyokong Kelantan memandangkan mereka menjalankan tugas mereka menjaga kerabat diraja Johor. Seluruh penyokong Kelantan disaran tidak melakukan sebarang provokasi, kontroversi dan mengelakkan dari mencetus insiden yang tidak diingini. Buktikan kepada masyarakat Malaysia bahawa pengurusan PBNJ telah melakukan tafsiran salah kepada seluruh penyokong Kelantan.
Inilah perbezaan ketara antara rakyat Kelantan dengan rakyat dari negeri lain, rakyat Kelantan berani merantau ke mana sahaja atau menyaksikan perlawanan bolasepak Kelantan di mana sahaja tetapi apabila perlawanan melibatkan pasukan lawan di negeri Kelantan bermacam-macam alasan digunakan untuk tidak datang, jika datang pun mereka takut ancaman keselamatan mereka.
Sebagai anak jati Kelantan, tindakan pasukan johor ini amat memilukan tapi apakan daya sediakan payung sebelum hujan lebih baik sebelum dibasahi hujan kerana keadaan semasa tidak menentu. Diharap tiada lagi pihak yang cuba merosakkan imej bolasepak Kelantan yang sudah berada pada kelasnya tersendiri hasil ksungguhan Tan Sri Annuar Musa mencipta transformasi bolasepak Kelantan sejak 4 tahun lalu.
Buktikanlah yang terbaik demi rakyat dan bolasepak Kelantan pada malam ini, jadikanlah tanggapan ini semua sudah ketinggalan zaman dan di bumi Kota Bharu tidak akan berlaku insiden buruk lagi . GOMO KELATE GOMO. Ya Allah lindungilah perlawanan ini semoga berjalan lancar.
Ayuh penyokong berubah lah!
 
***
Kita mengalu alukan kedatangan pasukan DTFC Ke Kota Bharu sebagai pasukan sahabat LIGA M musim 2013..sebagai tetamu kita,kita akan cuba beri yg terbaik utk semua anggota rombongan..semoga cuaca baik dan kita dapat saksikan persembahan terbaik kedua dua pasukan..Semoga semua berjalan lancar.INSYAALLAH DYTM TENGKU MAHKOTA KELANTAN YG KITA SEMUA KASEHI AKAN BERANGKAT MENYAKSIKAN PERLAWANAN INI.SAYA JUGA TELAH MENGHUBUNGI S/U PBNJ MEMINTA MAKLUMAT KEPERLUAN APA APA YG BOLEH KAFA BANTU..KITA AKAN CUBA BERIKAN YG TERBAIK TERMAMPU OLEH KITA..SELAMAT DATANG..."THIS IS KOTA BHARU"!!....

No comments: