12 January 2013

MSL: #2 Kelantan vs T-Team

Keita Mandjou
Mandjou Pilihan Hodak
JUARA trebel, Kelantan akan mempertaruhkan gandingan bekas penjaring terbanyak Liga Super musim 2005-2007, Keita Mandjou dan Mohd. Haris Safwan Mohd. Kamal bagi merobek benteng pertahanan T-Team pada saingan aksi Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu petang ini.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kedua-dua pemain tersebut memperagakan aksi cemerlang ketika menumbangkan PKNS pada perlawanan pembukaan liga Rabu lalu.
“Mohd. Haris beraksi cemerlang tempoh hari, begitu juga dengan Mandjou. Walaupun ramai yang mempertikaikan kredibiliti dia (Mandjou) tetapi saya harus bersikap jujur dan adil terhadapnya
“Anda lihat Marlon Alex James (pemain Angkatan Tentera Malaysia). Dia pemain yang hebat tetapi gagal menjaringkan gol meskipun mempunyai banyak peluang ketika pasukannya tewas kepada Lions XII tempoh hari.
“Situasi ini mungkin dialami Mandjou, kita janganlah cepat menghukumnya,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu semalam.
Tambahnya, dia yakin Mandjou akan menemui semula sentuhannya sekiranya diberikan sokongan padu oleh peminat.
Dalam pada itu, Hodak membayangkan berkemungkinan besar dia akan menyenaraikan bekas pemain T-Team musim lalu, Zairo Annuar Zalani dalam kesebelasan utamanya.
Bagaimanapun, keputusan tersebut akan dibuat selepas sesi latihan terakhir sebelum berlepas ke Kuala Terengganu.
“Zairo Anuar mengetahui sedikit sebanyak kekuatan dan kelemahan pasukan lamanya. Saya perlukan khidmat dia dan saya fikir ini merupakan satu peluang baik untuknya membuktikan kehebatan jika diberi ruang beraksi nanti,” ujarnya.
Mengulas mengenai kekuatan T-Team yang pasti mahu mencatatkan kemenangan pertama setelah tewas tipis 0-1 kepada Perak, Hodak bagaimana pun tidak risau dengan kebangkitan kelab yang berpangkalan di Kuala Terengganu itu.
“Saya tidak mahu terlalu yakin, tetapi saya tetap optimis kami boleh memperolehi satu keputusan positif di Kuala Terengganu.
“Memang T-Team tidak dibarisi pemain yang hebat tetapi mereka merupakan sebuah pasukan yang sentiasa bekerja keras. Itu sesuatu yang baik dan kami sudah bersedia berdepan dengan mereka,” katanya.
Dicatat oleh THE RED WARRIOR'S 
***
Johor Darul Takzim Atasi Aksi 9 Pemain Perak
JOHOR BAHRU - Johor Darul Takzim melakar kemenangan sulung selepas menewaskan Perak 1-0 yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain pada separuh masa kedua pada saingan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, semalam.
Gol kemenangan Harimau Selatan diperoleh menerusi Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak pada minit ke-47 dan kejayaan meraih tiga mata itu ternyata menceriakan lebih 25,000 penyokong setia Harimau Selatan.
Selepas tewas 2-3 kepada Pahang baru-baru ini, jurulatih, Fandi Ahmad melakukan sedikit rombakan dengan meletakkan Aidil Zafuan dan Mohd. Faizal Mansor di posisi pertahanan bergandingan bersama Azmi Muslim dan Muslim Ahmad manakala Mohd. Zamir Selamat menggantikan Muhammad Al-Hafiz Hamzah sebagai penjaga gol.
Penguasaan tuan rumah bermula seawal minit keenam apabila Safiq Rahim hampir membuka tirai jaringan melalui sepakan lambung dari luar kotak penalti, namun sedikit tersasar dan tandukan Aidil selang empat minit hasil sepakan penjuru sekadar melepasi palang.
Tuan rumah memiliki dua peluang terbaik pada minit ke-24 dan ke-26 apabila diberikan sepakan percuma namun sepakan Safiq Rahim dinafikan penjaga gol pasukan pelawat, Mohd. Farizal Marlias.
Malang buat skuad kendalian Mohd. Azraai Khor Abdullah apabila Khairi Kiman dilayangkan kad merah kerana mengutip dua kad kuning pada minit ke-37 sebelum Mohd. Hisyamudin Mohd. Shaari muncul pemain kedua Perak mendapat kad merah, lapan minit kemudian.
Kelebihan dua pemain itu ternyata membuka peluang kepada tuan rumah mendapatkan gol dan Aidil Zafuan akhirnya muncul wira tuan rumah selepas berjaya menanduk masuk gol tunggal perlawanan hasil sepakan penjuru Safiq Rahim pada minit ke-47 menewaskan penjaga gol, Farizal Marlias.
Perak hampir mengejutkan tuan rumah dengan gol penyamaan, namun tandukan Rafael Souza Silva Novais pada minit ke-53 sekadar terkena palang dan tandukan susulan rakan sepasukannya Muhd. Shahrom Abd. Kalam melepasi palang gol.
Kemasukan Safee Sali pada minit ke-55 menggantikan Azmi Muslim tidak banyak memberikan impak kepada pasukan tuan rumah yang dilihat banyak mempersia-siakan peluang untuk menambah bilangan gol.
Nurul Azwan Roya gagal memanfaatkan peluang terbaik untuk menambah bilangan gol pada minit ke-90 apabila sepakan derasnya dari luar kotak penalti tersasar jauh.
Dalam satu lagi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan harus berterima kasih kepada kecemerlangan kepada penjaga golnya, Mohd. Hamsani Ahmad yang berjaya menyelamatkan maruah tuan rumah apabila berjaya mengikat Terengganu dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Bekas penyerang Negeri Sembilan, Jean-Emmanuel Effa Owona gagal menterjemahkan deretan peluang dalam perlawanan yang menyaksikan penguasaan lebih banyak tertumpu kepada pasukan pelawat.
***
Pahang Terus Gah Catat Kemenangan

Ghaddar diasak pemain Pahang
PETALING JAYA - Selepas cemerlang menewaskan pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim FC pada saingan sulung Liga Super lalu, Tok Gajah terus menampilkan sentuhan kemenangan apabila berjaya menewaskan Felda United 1-0 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), semalam.
Jaringan daripada pemain import dari Maghribi, Mohamed Borji, dua minit sebelum perlawanan berakhir membuatkan Felda tunduk kecewa kerana masih gagal meraih kemenangan sulung pada musim ini.
Di hadapan 5,000 penonton, Pahang sememangnya layak memenangi perlawanan yang dijalankan di sebelah petang itu apabila lebih banyak mengawal permainan ketika Felda lebih banyak mengharapkan serangan balas bagi meraih jaringan di samping terlalu bergantung harap kepada Mohammed Ghaddar.
Jurulatih Pahang, Dollah Salleh seperti dijangka tidak menurunkan kedua-dua pemain importnya, Borji dan Nikolce Kleckarovski dalam kesebelasan utama sebaliknya mempertaruhkan kepercayaan kepada kudrat pemain tempatan.
Beraksi dalam suasana padang becak, rentak perlahan ditampilkan oleh kedua-dua pasukan namun Pahang terlebih dahulu memberi ancaman menerusi percubaan pemain kebangsaan, Azamuddin Akil pada minit ke-28 tetapi sempat diadang oleh Kaironnisam Sahabudin.
Ghaddar tidak mampu menterjemahkan peluang terbuka walaupun sebelum itu bijak memperdayakan dua pemain pertahanan Pahang apabila bola rembatannya tersasar ke sebelah kiri pintu gol.
Pasukan pelawat semakin memperkemaskan rentak pada babak kedua yang menyebabkan penjaga gol Felda, Mohd. Helmi Eliza Elias terpaksa bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya Pahang terutama tandukan Saiful Nizam Miswan yang hampir menerjah jaring pada minit ke-54.
Akhirnya, gol yang dicari Pahang akhirnya menjelma pada minit ke-88 berpunca daripada gerakan lintang Mohd. Fauzi Roslan dari sebelah kanan dapat disambut oleh Borji yang masuk selaku pemain gantian untuk menewaskan Helmi yang tidak mampu berbuat apa-apa.
Dollah menyifatkan kemenangan dua kali berturut-turut itu membuktikan kehadiran Pahang dalam saingan Liga Super tidak boleh dipandang rendah oleh kebanyakan pasukan lain.
"Dua kemenangan awal ini tidak boleh membuatkan kami boleh berasa mendabik dada kerana segala-galanya masih terlalu awal.
"Cuma ini menunjukkan kami bukanlah sebuah pasukan belasahan seperti mana difikirkan oleh kebanyakan orang pada awal saingan Liga Super.
"Pasukan ini ada kualiti untuk menjadi tiga pasukan teratas Liga Super musim ini dan saya harap para pemain mampu mengekalkan aksi konsisten dalam setiap perlawanan, " katanya yang ditemui selepas perlawanan.

No comments: