20 January 2013

Jangan Bawa Perkara Pelik



KOTA BHARU - Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menasihatkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim supaya tidak membawa perkara-perkara 'pelik' dalam Liga Malaysia kerana sistem yang ada sepatutnya sudah cukup baik sekiranya dipatuhi.
Annuar mengulas mengenai perkembangan mutakhir bola sepak negara terutama berhubung isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dan yang terbaru, apabila pasukan Johor Darul Takzim membawa Anggota Rejimen Ke-21 Gerak Khas Komando (GGK) di Stadium Sultan Muhammad IV.
Beliau berkata, tindakan mengambil pemain pasukan lain melalui 'pintu belakang' sepatutnya tidak berlaku dan bola sepak negara juga tidak pernah dilanda kegawatan sehingga memerlukan pengurusan menyediakan sepasukan askar untuk mengawal ketat pemain mereka.
Justeru, beliau menyeru Tunku Mahkota Johor yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) serta semua individu lain tidak kira pangkat sekiranya mahu menerajui sesebuah persatuan bola sepak perlulah mematuhi setiap peraturan dan undang-undang yang ada.
"Saya jarang hendak memberi komen secara terbuka kepada Tunku Mahkota Johor selaku Presiden PBNJ. Sekarang saya harus lebih terbuka supaya dia (Tunku Mahkota Johor ) faham.
"Sebelum ini belum pernah berlaku kegawatan dalam bola sepak negara. Sekarang timbul soal mengambil pemain secara pintu belakang, bawa masuk GGK dalam stadium, ini semua hanya dibawa oleh PBNJ sahaja.
"Sebagai orang lama, saya sebagai Presiden dan dia juga sebagai Presiden, saya mahu nasihat dia dan dia juga pernah menasihati saya sebelum ini.
"Tak perlu bawa benda pelik dalam bola sepak negara, buat seperti biasa sahaja," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan Sri Melor di sini, semalam.
Baru-baru ini pasukan Johor Darul Takzim membawa masuk GGK di stadium sehingga menimbulkan polemik adakah Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu tidak selamat.
Pertembungan antara Johor Darul Takzim dan Kelantan bukan sekadar di atas padang kerana sebelum liga bermula perbalahan telah timbul membabitkan perpindahan Norshahrul ke pasukan Harimau Selatan itu yang didakwa KAFA sebagai salah.
Bagaimanapun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui mesyuarat Jawatankuasa Pusat menjelaskan tindakan Norshahrul tidak salah. Selain itu, tindakan membawa GGK, FAM turut mengatakan tidak ada kesalahan. 
Dalam pada itu Annuar ketika ditanya mengenai keputusan FAM itu, secara sinis berkata, setakat ini Johor Darul Takzim tidak pernah melakukan kesalahan.
"Ambil Norshahrul runding pintu belakang tidak salah, bagi sijil perpindahan sebelum menyelesaikan hutang tidak salah, bawak masuk senjata pun tidak salah. Setakat ini yang saya tahu bagi FAM Johor tidak pernah salah. Kelantan sahaja yang salah," katanya lagi.
Utusan 
***
KAFA Nafi Dakwaan PBNJ
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) menafikan dakwaan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang mengatakan kawalan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu longgar ketika pertemuan melibatkan kedua-dua pasukan pada 15 Januari lalu.
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, bagi memastikan kawalan berada pada tahap terbaik, pihaknya telah mengadakan rundingan bersama PBNJ sebelum perlawanan tersebut berlangsung.
Menurutnya, rundingan bersama PBNJ itu turut disertai pasukan keselamatan seperti polis dan pasukan Ikatan Relawan Malaysia (Rela).
"Keseluruhannya saya mengucapkan terima kasih kepada pihak polis Kelantan dan juga Rela. Saya fikir dari segi keselamatan mereka telah buat yang terbaik dan tidak ada peristiwa di luar kawalan berlaku.

"Mengenai provokasi (di antara penyokong) seperti baling botol, kita tak boleh nak debatkan. Setakat yang kita mampu, KAFA telah pun mengambil tindakan dan kita tidak mengambil tindakan bersendirian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri mesyuarat tertutup Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu semalam.
Kosmo! kelmarin melaporkan, Annuar menasihatkan Tunku Mahkota Johor supaya menjalankan tugas presiden bola sepak negeri seperti mana yang dilakukan oleh presiden- presiden lain.
Annuar memberitahu, tindakan penyokong Kelantan yang menimbulkan provokasi terhadap penyokong Johor adalah di luar kawalan KAFA kerana ia berada di luar aspek keselamatan seperti yang telah diperbincangkan.
"Kita tak boleh halang orang menyokong ataupun bersorak provokasi. Yang kita cakap sekarang adalah mengenai keselamatan, bukan provokasi, bukan sorakan, bukan mengejek tetapi ini mengenai keselamatan," ujarnya.
THE RED WARRIOR'S  
***
Isu Kelantan -Johor Tak Wajar Dipanjangkan
KEMBALIKAN FOKUS DAN BERSATU DEMI THE RED WARRIORS...
Melihat reaksi semua pihak dari kedua-dua pasukan dan kehangatan isu ini dimainkan media, sewajarnya semua pihak termasuk media tidak memanjangkan lagi isu ini demi mengelakkan tercetus emosi yang lebih buruk daripada kedua-dua pihak dan demi kemaslahatan rakyat..
Penjelasan demi penjelasan dengan versi berbeza dari kedua-dua penyokong dan pemimpin makin menyebabkan isu ini makin bercelaru dan mengelirukan seluruh penyokong kedua-dua pasukan. Rasa tidak puas hati dan marah penyokong semakin memuncak, cacian dan makian menjadi senjata berbisa menghentam lawan masing-masing.
Keadaan amat merbahaya jika dibiarkan berterusan, pemimpin atasan yang lebih berkuasa seperti Menteri Belia dan Sukan perlu cepat mengawal keadaan ini sebelum ianya makin marak dibakar api-api anti kenegerian media massa dan kedua-dua penyokong.
Jika benar stesen tv terbabit ingin mengambil kesempatan daripada kehangatan isu ini, eloklah kiranya stesen tv ini memberi kedua-dua pemimpin menjawab isu ini. Andailah benar KAFA tidak menyediakan pihak keselamatan untuk mengawal kehadiran TMJ dan penyokongnya, perkara ini memang patut dilakukan kerana tindakan TMJ membawa askar sendiri menggambarkan TMJ dan PBNJ tidak yakin kepada pasukan keselamatan yang disediakan KAFA, lagipun pihak keselamatan yang disediakan hanya bersenjatakan pistol dan belatan sahaja, tidak seperti pasukan gerak khas yang membawa M-16 dan pistol lengkap baju kalis peluru bersedia untuk berperang dengan penyokong Kelantan yang bersenjatakan botol air, plastik air dan paling ganas pun mercun.
Untuk penyokong Johor yang baru melihat suasana penyokong fanatik bolasepak, selamat datang ke dunia sebenar bolasepak Malaysia. Mungkin sudah biasa melihat bola didepan kaca tv sahaja, inilah sebabnya terkejut melihat situasi sebenar bolasepak Malaysia. Syukurlah jika 3 tahun lalu hanya roh yang datang ke stadium kami, 15 januari 2013 menjadi saksi pasukan Johor sudah kembali bersama penyokong yang mempunyai roh dan jasad ke Kota Bharu.
Tindakan Tan Sri Haji Annuar Musa tidak mengulas lanjut kritikan TMJ ke atasnya satu tindakan bijak dan sewajarnya isu ini dimatikan dari dipolemik berlebihan. Seluruh penyokong Kelantan berharap penyokong-penyokong Kelantan menjadikan isu ini sebagai titik menyatukan hati dan sorakan penyokong kembali bersatu.
AYUH BANGKIT DAN BERSATU UNTUK PERJUANGAN YANG BELUM SELESAI......IANYA BARU SAHAJA BERMULA...JANGAN BIARKAN DIRI KITA ALPA DENGAN ISU-ISU REMEH INI....GOMO KELATE GOMO..

No comments: