Oleh Herman Hamid dan Shahrinnahar Latib@utusan.com.my
9-1-2013
9-1-2013
Mat Yo jaring 1 gol |
KUANTAN - Pahang membuktikan status bukan ukuran apabila
mengejutkan barisan bintang Johor Darul Takzim 3-2 pada aksi Liga Super 2013 di
Stadium Darul Makmur, semalam.
Mohd. Fauzi Roslan muncul wira Tok Gajah apabila menjaringkan dua gol
penting tuan rumah pada minit-minit ke-48 dan 72 sebelum R. Surendren
melengkapkan kemenangan pada minit ke-82.
Sekalipun dikejutkan dengan jaringan awal pelawat, tuan rumah tidak panik,
sebaliknya pertukaran taktikal oleh jurulatih Dollah Salleh pada babak kedua
ternyata membuahkan hasil.
Pahang yang turun sebagai pasukan bukan pilihan hampir membuka jaringan
menerusi pemain importnya, Nikolce Kleckarouski seawal minit kesembilan, namun
jaringan itu dibatalkan.
Walaupun mencipta banyak peluang di hadapan pintu gol lawan, namun barisan
serangan pasukan tuan rumah yang diketuai Jalalludin Jaafar gagal menembusi
gawang pasukan Harimau Selatan.
Kealpaan pertahanan skuad Tok Gajah akhirnya membawa padah apabila kapten
Harimau Selatan, Syafik Rahim meletakkan Johor Darul Takzim di hadapan selepas
menanduk kencang bola hantaran Daniel Guiza pada minit ke-10.
Tuan rumah bagaimanapun mendapat peluang terbaik menyamakan kedudukan
apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-24, namun bola sepakan Mohd.
Faizol Hussein melepasi palang gol.
Pahang sekali lagi dihukum apabila sepakan leret Guiza kepada Norshahrul
Idlan Talahan mudah disudahkan oleh bekas pemain Kelantan itu pada minit ke-25.
Tok Gajah yang kembali bersemangat dengan permainan lebih kemas pada babak
kedua akhirnya berjaya merobek gawang lawan menerusi Mohd. Fauzi Roslan pada
minit ke-66 dan 72.
Ketika benteng Pahang diasak bertubi-tubi, R. Surendren bijak mencari ruang
untuk melengkapkan kemenangan Pahang pada minit ke-82.
Cemas ketinggalan, Harimau Selatan memasukkan Safee Sali pada minit-minit
terakhir perlawanan tetapi tidak berjaya mengubah kedudukan sehingga wisel
penamat.
***Imej Harimau Selatan Tercalar
Oleh SHAHRULANOOR ISHAK@sukan@kosmo.com.my
Guiza |
IMEJ Johor Darul Takzim (Johor DT) sebagai pasukan yang gah dengan
pemain-pemain bertaraf bintang tercalar di Stadium Darul Makmur, Kuantan
semalam apabila tewas 2-3 kepada Pahang yang kembali bersaing dalam saingan
Liga Super musim ini.
Pahang yang hampir merayakan gol pertama menerusi tendangan Nikolche
Kleckaroski pada minit kesembilan bagaimanapun terpaksa berputih mata apabila
jaringan tersebut dibatalkan pengadil atas sebab penyerang Tok Gajah itu
merempuh Muhammad Al Hafiz Hamzah yang sudah menangkap bola sebelum ia terlepas
dan disambar oleh Nikolche.
Selang seminit kemudian, kekecewaan tersebut semakin dirasai apabila Johor
DT meledakkan gol pertama pada minit ke-10 menerusi tandukan Safiq Rahim.
Tekanan dihadapi skuad tok gajah terus bertambah apabila tendangan Norshahrul Idlan Talaha sekali lagi menggegarkan gawang tuan rumah pada minit ke-25.
Permulaan babak kedua pula menyaksikan cubaan Pahang memperkemaskan jentera
serangan dengan memasukkan R. Gopinathan bagi menggantikan Nikolche.
Langkah yang diambil oleh jurulatih Dolah Salleh itu berhasil meniup
kebangkitan Pahang apabila berjaya menjaringkan gol pertama pada minit ke-48
menerusi rembatan Fauzi Roslan.
Fauzi kemudian sekali lagi memanfaatkan peluang menghasilkan gol kedua
Pahang pada minit ke-72 untuk mengikat kedudukan 2-2.
Gol penyamaan itu ternyata meniup semangat pemain Tok Gajah yang semakin
ghairah melancarkan serangan dan hasilnya, R. Surendran berjaya meledakkan gol
kemenangan Pahang pada minit ke-82.
Skuad Harimau Selatan yang tertekan melihat kebangkitan Pahang kemudian cuba
memperkemas barisan serangan dengan memasukkan Mohd. Safee Sali pada
minit-minit akhir untuk digandingkan bersama Norshahrul.
Harapan Johor DT yang dibimbing ketua jurulatih, Fandi Ahmad bagaimanapun
lebur sebaik pengadil Shamsudin Ibrahim meniup wisel penamat.
***Selangor Tarik Nafas Lega
KUALA LUMPUR - S. Kunanlan muncul wira Selangor apabila
jaringan tunggalnya ke atas bekas pasukannya, Negeri Sembilan, memastikan tuan
rumah membuka tirai saingan bola sepak Liga Super 2013 dengan tiga mata
berharga, semalam.
Tolakannya pada minit ke-68 yang terkena seorang pemain lawan daripada
gerakan Francis Forkey Doe dan disambung Amri Yahyah, membolehkan Gergasi Merah
menarik nafas lega dengan kejayaan dalam perlawanan agak hambar di Stadium Shah
Alam itu.
Selangor yang meletakkan Doe sebagai penyerang tunggal, jelas kurang
berkesan sebaliknya pelawat membazirkan deretan peluang khususnya menerusi
pemain import dari Argentina, Emmanuel Deporas pada minit ke-23.
Dia sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Selangor apabila percubaan
jarak jauhnya pada minit ke-48 hampir memerangkap Norazlan Razali namun bolanya
sedikit melewati palang gol.
Perak pula hanya meraih tiga mata idamannya apabila dihadiahkan gol tunggal
jaringan sendiri pemain T-Team, Nur Aliff Zainal Abidin dalam masa kecederaan
babak kedua di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut.
Nur Aliff yang cuba menyelamatkan keadaan gawangnya yang kelam-kabut diasak
Perak, tertanduk masuk daripada satu sepakan sudut sekali gus membolehkan tuan
rumah menang 1-0.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pula, tuan rumah
diselamatkan jaringan penyamaan Ismail Farouqi pada minit ke-58 selepas
dikejutkan gol penyerang import Felda United, Mohamad Ghaddar, lima minit
sebelumnya.
No comments:
Post a Comment