30 November 2012

AFF Suzuki 2012: Malaysia vs Indonesia

Kekalkan Tempo - M. Karathu  
Harimau Malaya 2012

KUALA LUMPUR 30-11-2012- Ulangi kemampuan menguasai bola dan kerap membuat umpanan pendek, malah melebihkan percubaan gol dari dalam kotak penalti, maka Malaysia bakal meneruskan rentak kejayaan ke atas Indonesia pula, esok seperti mana mereka membenam Laos 4-1, kelmarin.Saranan ini diberikan bekas jurulatih Perak dan Kelantan, Datuk M. Karathu selepas menilai persembahan Harimau Malaya dalam aksi kedua Kumpulan B.

''Corak umpanan pendek Mohd. Shakir Shaari menepati trend bola sepak moden. Dia mengawal bahagian tengah dengan baik, membina gerakan pasukan dan jarang kehilangan bola, jadi Laos tidak boleh menyerang balas atau menjaringkan gol.
"Saya dapati pasukan kita lebih rajin dan pertahanan pula tersusun baik (berbanding menentang Singapura). Sayap kita juga banyak digunakan untuk membuka laluan ke kotak penalti lawan," katanya yang turut pernah melatih Negeri Sembilan, Sri Lanka dan kelab Woodlands Wellington Singapura.
Namun, Karathu menuntut lebih ketajaman daripada barisan depan negara terutamanya 'Harimau Berantai Malaya', Mohd. Safee Mohd. Sali yang mendapat tidak kurang daripada empat peluang keemasan mencipta gol selain mahukannya lebih mara ke dalam kotak penalti apabila melakukan rembatan.
"Kita sepatutnya boleh jaringkan sehingga enam gol jika lebih tajam dalam kotak penalti. Penyerang kita pun patut lebih ke dalam kotak penalti apabila membuat percubaan gol kerana kadar ketepatannya 60 hingga 80 peratus, jauh lebih baik daripada jika di luar kawasan itu, 10 atau 20 peratus sahaja," katanya.
Karathu turut menyeru barisan bimbingan Datuk K. Rajagobal ini kembali menyerap tekanan seperti mana mereka melakukannya untuk menewaskan Laos, apabila kembali turun ke Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam memburu tiket separuh akhir Piala Suzuki AFF dengan berdepan pendahulu kumpulan, Indonesia.
Jangan gentar jumpa Indonesia - Sathia

KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih negara, B. Sathianathan menyifatkan pasukan Indonesia pada kali ini tidaklah sehebat ketika mereka bergelar naib juara dua tahun lalu.
Katanya, hal ini dibuktikan dengan cuma gol tunggal sepakan bebas Sang Garuda yang mampu menjinakkan Singapura 1-0, malah mereka nyaris dikejutkan Laos yang akhirnya diikat 2-2 di Stadium Nasional, Bukit Jalil biarpun mereka kini memimpin Kumpulan B.
Prestasi sederhana anak buah Nil Maizar itu kata Sathianathan, sekali gus mencerahkan peluang Harimau Malaya untuk menewaskan lawan dan mara ke separuh akhir dengan enam mata selepas membenam Laos 4-1 dan tewas 0-3 kepada Singapura.
Timnas Indonesia

Pada edisi 2010 pada peringkat kumpulan di Jakarta, tuan rumah membelasah Malaysia 5-1 sebelum ditundukkan 3-0 pada pusingan pertama perlawanan akhir di Bukit Jalil dan akhirnya kecundang dengan agregat 4-2 biarpun menang ulangan 2-1 di Stadium Utama Gelora Bung Karno.
"(Kekuatan) Indonesia kurang sedikit daripada skuad 2010 mereka dan saya percaya, pasukan kita mampu ke separuh akhir (dengan kemenangan kedua ini). Tekanan untuk menang berbanding seri yang diperlukan lawan, bukan masalah besar kita selepas membuktikannya dengan menewaskan Laos.
"Sebagai juara bertahan dan tuan rumah pula, memang bukan mudah untuk kembali bangkit dan menang ke atas Laos (bagi menghidupkan semula peluang ke separuh akhir). Jadi dengan Indonesia, saya rasa kita tidak bermasalah cuma tetap kena tingkatkan mutu persembahan (esok)," katanya.
Tegas jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini, walaupun lebih agresif dan jelas meningkat kelmarin jika dibandingkan menentang Singapura, kemenangan Harimau Malaya ke atas Laos turut dipengaruhi kegagalan lawan mencapai tahap pemulihan kecergasan selepas berhempas pulas melawan Indonesia.
"Pemain Laos didapati tidak kembali cergas sepenuhnya dalam tempoh dua hari selepas berhabis-habisan dengan Indonesia. Pasukan kita pula memiliki tahap kecergasan perlawanan yang lebih baik (untuk menang menerusi jaringan Safiq Rahim, Mohd. Safee Mohd. Sali, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri).
"Laos juga tidak mampu menyerang balas kerana mutu permainan Mohd. Shakir Shaari yang lebih bertenaga (daripada Amar Rohidan menghadapi Singapura). Dia banyak mematahkan serangan. Gol Laos pun saya kira, cuma nasib kerana ada tampanan (Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak)," katanya.
Sathianathan juga tetap percaya dengan kemampuan Mohd. Safee, penjaring terbanyak Piala Suzuki AFF 2010, untuk kembali meledakkan gol ke atas Indonesia biarpun dia lebih banyak membazirkan peluang keemasan sebelum ditukarkan dengan Mohd. Khyril Muhymeen, kelmarin.

No comments: