Mat Yo puah doh main dgn Kelate!
KETIKA
Kelantan masih mengharapkan Norshahrul Idlan Talaha terus kekal bersama mereka,
penyerang berbisa yang kini menjadi buruan Johor itu pula tanpa berselindung
mahu mencari angin baru musim depan.
Dengan
nilai ‘saham’ dirinya yang semakin bertambah selepas merangkul Anugerah Pemain
Paling Bernilai (MVP) dan Penyerang Terbaik Kebangsaan 2012 buat kali ketiga
berturut-turut, Norshahrul berasakan sudah tiba masanya dia mengharungi cabaran
baru selepas tiga tahun bersama skuad Red Warriors itu.
“Johor
akan mengadakan perbincangan dengan Kafa (Persatuan Bola Sepak Kelantan) sama
ada mahu mengambil saya musim depan atau tidak tapi setakat ini belum ada
sebarang berita.
“Saya
ingin mencuba pasukan baru dan mencari pengalaman untuk membantu meningkatkan
prestasi saya. Saya mahu mencari angin baru untuk melihat sejauh mana kemampuan
saya,” katanya kepada pemberita pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan
2012, semalam.
Norshahrul
atau turut dikenali dengan panggilan Mat Yo mencuri perhatian Johor yang
bersedia berbelanja besar kali ini selepas mempamerkan aksi mantap dengan
menjaringkan dua gol ketika membantu Kelantan menjulang Piala Malaysia dengan
menewaskan ATM 3-2 di pentas final.
Pemain
kelahiran Besut, Terengganu itu juga adalah tonggak utama Harimau Malaya ketika
memenangi Piala Suzuki AFF 2010.
Sebelum
ini, dilaporkan Johor bersedia menebus kontrak setahun Norshahrul bersama
Kelantan dan menawarkan gaji lumayan sehingga RM80,000 sebulan bagi
memancingnya menyarung jersi Harimau Selatan, musim depan.
Mengulas
kejayaannya melakukan hatrik MVP sejak 2010 dengan menewaskan rakan sepasukan
Norfarhan Mohamad dan Mohd Amri Yahyah kali ini, dia berkata: “Saya berterima
kasih kepada keluarga yang banyak memberi dorongan. Ini hadiah untuk cahaya
mata saya yang pertama yang bakal lahir tidak lama lagi.”
Setiausaha
Kehormat Kafa, Azman Ibrahim yang diminta mengulas mengenai perkembangan
terbaru isu perpindahan Norshahrul itu berkata, pihak persatuan masih belum
bersedia melepaskan ayam tambatan itu.
“Semalam
(kelmarin) Setiausaha Kehormat PBNJ (Persatuan Bolasepak Negeri Johor, Suhairi
Hashim) menghubungi saya memaklumkan bahawa beliau akan menghantar surat buat
kali kedua untuk menawarkan pampasan bagi melepaskan Norshahrul.
“Kami
akan membincangkan status Norshahrul dalam mesyuarat jawatankuasa pasukan yang
akan diadakan tidak lama lagi,” katanya yang turut hadir pada majlis itu bagi
menerima anugerah Persatuan Bola Sepak Terbaik.
|
No comments:
Post a Comment