KOTA BHARU - Persatuan
Bola Sepak Kelantan (KAFA) menerima tamparan hebat apabila salah satu penajanya
musim ini, Yusmira Trading Sdn. Bhd. mengumumkan untuk menarik diri daripada
menaja pasukan itu musim depan.
Keputusan untuk tidak
lagi menaja The Red Warriors diumumkan oleh Pengarah Urusan
syarikat itu, Datuk Azlan Muhammad dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini,
semalam.
Hadir sama adalah
peguam syarikat itu Mohd. Rafizi Abdullah daripada Tetuan Rafizi Zubairi &
Co.
Azlan berkata,
keputusan untuk tidak meneruskan tajaan dibuat selepas mengkaji implikasi
perpindahan tonggak utama The Red Warriors, Norshahrul Idlan Talaha
atau Mat Yo yang mengambil keputusan untuk mengubah haluan ke Johor musim.
Yusmira oh Yusmira!!! |
"Mat Yo merupakan
ikon besar dalam industri bola sepak Kelantan dan keputusannya mahu berhijrah
ke pasukan lain membuatkan kami berada dalam dilema (sama kekal atau menarik
diri sebagai penaja).
"Akhirnya kami
buat keputusan untuk tidak bersama Kelantan pada musim depan. Keputusan ini
memang begitu sukar tetapi kami tidak mempunyai pilihan lain.
"Kami orang
berniaga, sudah tentu kami tidak mahu pelaburan (penajaan) ini memberi kerugian
kepada syarikat kami," katanya.
Berita penghijrahan
Norshahrul yang mendapat jolokan The Linesman membantutkan
hasrat syarikat produk kesihatan berasaskan halia yang terkenal itu untuk terus
menaja The Red Warriors untuk musim keempat berturut-turut.
Selain Yusmira Trading,
turut menaja pasukan Kelantan pada musim ini ialah Sinar Harian, Kumpulan
Al-Jabbar, Umbro, Warriors, Masterskill, RW Energy Plus selain Happy selaku
penaja utama.
Azlan memberitahu,
pihaknya sudah mengadakan perbincangan lanjut dengan peguamnya berhubung isu
berkenaan.
Katanya, pihaknya akan
menghantar surat untuk tidak menyambung kontrak penajaan kepada pihak KAFA
dalam masa terdekat.
"Sejak tiga tahun
menjadi penaja untuk The Red Warriors, kami sudah membelanjakan
hampir jutaan ringgit semata-mata membantu menyemarakkan senario bola sepak
Kelantan.
"Kalau pemain
beritahu awal tidak mahu bersama Kelantan enam bulan lalu, itu kami tidak
kisah. Tapi tiba-tiba jadi macam ini (mahu berhijrah) sedangkan kontrak masih
ada, ia sedikit sebanyak memberi kesan kepada penaja seperti kami,"
ujarnya.
Tambahnya, tindakan
terburu-buru dan tidak profesional sesetengah pemain boleh menyebabkan penaja
mengalami kerugian.
"Pemain bukan
sahaja perlu akur kontrak mereka bersama pasukan tetapi juga kena hormati
barisan penaja yang berada di belakang tabir selama ini," katanya.
No comments:
Post a Comment