Semalam, Schafer secara terbuka mengutuk penyokong Harimau Malaya, selain
optimis pasukannya mampu menyambar slot final biarpun tanpa kehadiran beliau di
bangku simpanan gara-gara rayuannya tidak dilayan oleh pihak penganjur.
DKRG & Winfried Schafer |
Ketika aksi separuh akhir pertama lalu, Schafer diperintah meninggalkan
padang kerana didakwa mempertikai keputusan pengadil dari Iran, Torki Mohsen
Ramezanali.
Menjelang aksi separuh akhir kedua di Stadium Supachalasai malam ini,
Schafer memberitahu, penyokong di Thailand jauh lebih profesional berbanding
penyokong Malaysia.
"Di sini, tidak akan ada pancaran laser dan balingan mercun seperti di
Malaysia.
"Penyokong mereka (Malaysia) tidak profesional, penyokong kami jauh
lebih baik," kata Schafer pada sidang akhbar di Hotel Golden Tulip
Sovereign di sini semalam.
Ketika ditanya sama ada ketiadaan beliau bakal memberikan kelebihan buat
Harimau Malaya, Schafer menafikan perkara itu.
Menurut Schafer, pembantu jurulatih Thailand, Mano Polking akan mengambil
alih tempat beliau, seterusnya merancang strategi yang dirancangnya.
"Kami bukan bermain untuk seri, sebaliknya mahu menewaskan Malaysia di
sini.
"Pasukan saya tidak pernah tewas setiap kali saya tiada di tepi padang,
jadi saya tidak perlu bimbang," katanya.
***
Schafer Masih Simpan Dendam
BANGKOK - Jurulatih Thailand, Winfried Schafer rupa-rupanya masih menyimpan
dendam terhadap penyokong Harimau Malaya ekoran insiden penggunaan laser dan
membaling mercun pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF di Stadium
Bukit Jalil, Ahad lalu.
Lantaran itu, dia menjadikan sidang media praperlawanan separuh akhir kedua
di sini semalam sebagai peluang melepaskan geram terhadap penyokong Malaysia.
Schafer seolah-olah melabelkan sikap penyokong Malaysia di Stadium Nasional
tempoh hari seperti tidak bertamadun.
Untuk itu, dia memberikan jaminan bahawa penyokong Thailand akan menunjukkan
sikap yang murni pada perlawanan di Stadium Supachalasai hari ini.
"Saya harap penyokong Thailand akan memenuhi seluruh stadium esok (hari
ini) dan apa yang penting mereka tidak akan menggunakan laser atau membaling
mercun seperti mana penyokong Malaysia untuk mengganggu lawan.
"Ada penyokong kami tercedera kerana terkena mercun yang dibaling
penonton Malaysia namun saya jamin penyokong Thailand tidak akan bertindak sama
seperti mereka.
"Walaupun mungkin kapasiti stadium kami tidak sampai 80,000 ke 90,000
penonton seperti di sana (Malaysia) tetapi esok (hari ini) penyokong kami akan
menunjukkan sikap yang baik, " katanya ketika sidang media pengurus
pasukan menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala Suzuki AFF di Hotel
Golden Tulip Sovereign, semalam.
Perlawanan di Stadium Nasional pada Ahad lalu tergendala beberapa minit
selepas ada penyokong Malaysia menghalakan laser terhadap penjaga gol Thailand
dan pemain lain semasa perlawanan.
Walaupun masih berang dengan insiden di Stadium Nasional Bukit Jalil,
Schafer tetap bersimpati kepada nasib pasukan Malaysia kerana tidak mendapat
tempat latihan yang baik.
"Tindakan ini memang tidak bagus kerana mereka berhak mendapat tempat
latihan yang baik, saya harap ia tidak akan berlaku lagi," katanya.
Schafer tidak akan berada di bangku simpanan pemain pada perlawanan hari ini
selepas bersalah kerana membantah dan mengganggu pengadil pada separuh akhir
pertama.
Namun dia memberitahu ketiadaannya tidak mengganggu aksi pemainnya.
"Pasukan ini tidak pernah kalah walaupun saya tidak berada pada bangku
simpanan pemain sebelum ini," ujarnya.
***
Malaysia Tidak Panik
BANGKOK - "Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan pemain-pemain saya.
Kita tunggu sahaja perlawanan (malam ini)."
Itu reaksi pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang kekal tenang
menjelang aksi separuh akhir kedua kempen Piala Suzuki AFF 2012 berdepan
Thailand di Stadium Supachalasai di sini malam ini.
Biarpun kelebihan peraturan tempat gol di tempat lawan dilihat lebih memihak
kepada Thailand selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi separuh akhir
pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Ahad lalu, Rajagobal tidak mahu anak-
anak buahnya tertekan dengan situasi itu.
Selain itu, perang psikologi lawan ekoran padang latihan yang teruk juga
disifatkan Rajagobal sebagai dugaan yang perlu dikendalikan dengan cukup matang
oleh anak-anak buahnya.
"Kami perlu berfikiran positif, kegagalan menjalani latihan sempurna
gara-gara masalah padang juga bukan satu alasan.
"Masih ada 90 minit buat kami. Bagi saya, tiada apa yang mustahil dan
perlawanan ini pastinya cukup mendebarkan," kata Rajagobal pada sidang
akhbar di Hotel Golden Tulip Sovereign di sini semalam.
Pada masa sama, Rajagobal juga percaya anak-anak buahnya tidak gentar dengan
sokongan lebih 20,000 penyokong Thailand yang dijangka membanjiri Stadium
Supachalasai malam ini.
"Kita sudah ada pengalaman beraksi menentang mereka dalam perlawanan
persahabatan di Bangkok (7 November lalu), jadi ia bukan satu masalah buat
kami," katanya.
Mengenai status barisan kesebelasan utamanya, Rajagobal memberitahu, setakat
ini setiap pemain bersedia untuk diturunkan kecuali Shakir Shaari dan Wan Zack
Haikal Wan Nor.
"Pemain seperti Khyril Muhymeen (Zambri) dan S. Kunanlan juga sudah
bebas daripada kecederaan," katanya yang masih berteka-teki mengenai
formasi dan kesebelasan utama Harimau Malaya malam ini.
Dalam pada itu, masalah padang latihan terus menyelubungi kem Harimau Malaya
apabila terpaksa menggunakan padang lain pada saat-saat akhir malam tadi.
Ia ekoran latihan akhir kedua- dua pasukan tidak dapat dijalankan di Stadium
Supachalasai bagi menjaga kualiti padang demi perlawanan malam ini.
Disebabkan itu, latihan Harimau Malaya malam tadi terpaksa diadakan di
Stadium Dhebhasadin yang terletak di sebelah Stadium Supachalasai manakala
lokasi sesi latihan skuad Thailand pula dirahsiakan daripada pengetahuan media.
No comments:
Post a Comment