Oleh : A Wahab Hamzah@Utusan Malaysia(9/12/2012)
KEJAYAAN pasukan bola sepak Malaysia memasuki separuh
akhir Piala AFF sekali lagi menjadikan sukan bola sepak tumpuan seluruh rakyat
Malaysia. Lebih menarik apabila sebuah telefilem tentang bolasepak bakal
ditayangkan, walaupun disiarkan bukanlah sempena pertandingan Piala AFF
tersebut.
Tetapi dalam keghairahan seluruh rakyat Malaysia terhadap pasukan Malaysia,
maka tayangan drama ini oleh Astro Prima dikira tepat pada masanya.
Telefilem yang berjudul Sebuah Piala Seekor Kambing adalah karya dan
arahan Sabri Yunus yang lebih kita kenali melalui watak-watak komedinya. Tetapi
kini giat menghasilkan telefilem berkualiti seperti Sanggul Beracun, Asy-Syura
dan yang terbaru Parut Ashikin. Sabri Yunus baharu sahaja menyiapkan
sebuah filem digital Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) yang
diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. HHTSS
diberitakan akan menyertai festival filem di Berlin dan bakal dibicarakan di
sebuah akademia di Paris.
Namun dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing, Sabri sebenarnya
membawa pendekatan komedi yang sinikal. Kita sering mendengar slogan sukan
untuk perpaduan. Tetapi Sabri dalam drama ini membawa sisi lain dalam
masyarakat di samping usaha murni perpaduan ini. Kita sebenarnya bukan tidak
pernah mendengar atau melihat bagaimana sukan mengakibatkan pergaduhan dan
permusuhan di kalangan para penyokongnya. Sukan yang seharusnya bersih juga
sering dikotorkan dengan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti dendam,
khianat, rasuah dan perjudian.
Inilah sesuatu yang menarik apabila Sabri Yunus menanyakan kepada kita semua
persoalan sinis ini dalam telefilemnya yang terbaru Sebuah Piala Seekor
Kambing, sebuah drama komedi yang melibatkan sukan bolasepak.
Telefilem ini mengisahkan tentang usaha seorang penggawa muda, iaitu
Penggawa Nawi yang baru dilantik ke jawatan itu untuk menyatukan orang-orang
muda di kampong Pantai Cherang Nipah dan kampung Bendang Kweng yang sering
bergaduh melalui perlawanan bola sepak.
Usaha murninya mendapat sokongan anak muda dan mereka bersedia berlatih
untuk pertandingan yang menyediakan seekor kambing sebagai hadiahnya. Walau
bagaimanapun keinginan untuk menunjuk kekuatan dan kemenangan dalam
pertandingan itu serta perasaan dendam sebelum itu menyebabkan beberapa pemain
menggunakan pendekatan yang salah seperti bomoh.
Bukan itu sahaja, para penyokong mereka juga membuat tindakan yang salah,
sehingga sanggup menggunakan rasuah. Namun di sebalik saingan pertandingan itu,
siapa menyangka wujud pula hubungan kasih antara anak muda di dua kampung yang
bertanding tersebut. Ini yang terjadi kepada Jani dan Shimah. Sungguhpun drama
ini mengangkat sukan bolasepak sebagai isu utamanya, tetapi penonjolan beberapa
isu kemasyarakatan menjadikan drama ini lebih menarik.
Menurut Sabri Yunus, tidak mudah sebenarnya menghasilkan drama ini kerana ia
melibatkan pelakon yang ramai serta banyak penggunaan teknik pengambaran dari
udara untuk merakamkan adegan perlawanan bolasepak.
Walaupun drama ini tentang bolasepak, tetapi Sabri memastikan lakonan yang
berkesan dan kuat daripada para pelakonnya. Telefilem ini dilakonkan oleh Syed
Aiman (Jani), Miera Amnas (Shima), Khusairi Chua (Dollah Jin), Isey Fazlisham
(Hasyim), Kamarol Hj. Yusuf (Penghulu Din), Sabri Yunus (Penghulu Che Kah) dan
hampir 30 orang lagi pelakon pembantu yang turut terlibat.
Malah hampir seluruh penduduk kampung Pantai Mek Mas di Kelantan turut
terlibat dalam menjayakan drama ini terutama yang melibatkan perlawanan bola
sepak. Apa yang menarik ialah kemunculan seorang bekas pemain bolasepak
kebangsaan dari Kelantan sebagai pelakon undangan istimewa, Mohd. Nor Yaakub
yang berlakon sebagai pengadil pertandingan bolasepak.
Drama ini juga turut dijayakan oleh kumpulan dikir Sri Murni Che Deris yang
terkenal di Kelantan.
The Red Warrior yang menaja pasukan Kelantan turut menaja jersey dua pasukan
bolasepak yang bertanding dalam drama ini. Jangan lupa saksikan drama satira
ini melalui saluran Astro Prima pada 10 Disember ini, pukul 10.00 malam.
P/s: Malam tadi (10/12/2012) Tayangan SPSK ini di Astro dibatalkan atas sebab2
teknikal, ditunda ke satu tarikh lain!!! Menyebabkan kemarahan melampau
peminat2 dilaman2 FB dll…..
1 comment:
folow niii.... kwe pmnat dollag jin hahahaha
Post a Comment