Malaysia
Miliki Peluang
Oleh KHAIRI
MOHAMAD@5-12-2012@khairi.mohamad@kosmo.com.my
HARIMAU Malaya masih mempunyai peluang untuk melayakkan diri ke perlawanan
akhir Piala Suzuki AFF 2012 biarpun Thailand menjadi penghalang paling besar
buat skuad negara mengekalkan kejuaraan yang dimenangi dua tahun lalu.
Bagaiamanapun, ranjau yang terpaksa dilalui sudah pastinya tidak mudah
berikutan Thailand dilihat cukup konsisten selepas berjaya menjadi juara
peringkat kumpulan selain mencatat tiga kemenangan berturut-turut.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa
memberitahu, perlawanan separuh akhir kali ini secara keseluruhannya adalah
berlainan berbanding perlawanan pada peringkat kumpulan menentang Indonesia dan
Singapura.
Harimau Malaya |
“Thailand bukan Indonesia, bukan Singapura. Tahap permainan mereka jauh
lebih baik daripada pasukan yang berada dalam kumpulan kita. Mereka juara
kumpulan, kita ada peluang yang baik tetapi sudah pasti laluannya bukan mudah.
“Saya ingat peluang kita adalah cerah, cuma kebimbangan ialah kita bermain
di laman sendiri terlebih dulu. Bila macam ini, kita kena main habis-habisan
untuk mendapatkan keputusan yang baik dan selesa,” katanya.
Tambahnya, pasukan kebangsaan mampu melakukan kejutan tetapi perlu mendapat
margin gol yang selesa terutama apabila beraksi di laman sendiri kerana cabaran
ketika beraksi di gelanggang lawan sudah tentunya sukar.
Namun, beliau tidak mahu pemain berasa terlalu yakin kerana ia boleh memakan
diri sendiri.
“Semua pemain lebih tenang menahan asakan selain berusaha memburu gol dan
tidak mensia-siakan peluang yang terhidang.
“Jangan kita bayangkan mudah untuk kita tewaskan mereka (Thailand) dengan
margin yang selesa walaupun main di laman sendiri. Kalau kita tidak menyusun
strategi yang betul keputusan sebaliknya mungkin berlaku.
“Macam saya tengok baru-baru ini, jentera tengah sudah diperbaiki dan
berjaya mengawal permainan. Apa yang penting, pemain hendaklah memberi komitmen
seratus peratus. Kesemuanya bergantung kepada pemain dan taktikal jurulatih.
“Secara jujurnya, Thailand tidak sama corak permainan dengan Indonesia
kerana mereka cukup seimbang di semua posisi. Saya lihat Indonesia tempoh hari
cuba bermain laju tetapi rentak mereka terjejas kerana hari hujan dan padang
pula licin. Kalau padang kering mungkin kita akan tengok corak permainan yang
berbeza daripada Indonesia,” ujarnya.
Jelasnya, Thailand bermain dengan lebih teratur terutama apabila mereka
dilihat kerap menggunakan hantaran pendek dan skuad kebangsaan berada dalam
bahaya terutama pada aksi separuh masa kedua sekiranya tidak mempunyai
keupayaan dari segi mental dan fizikal untuk bertahan.
Untuk rekod, Harimau Malaya melangkah ke pusingan separuh akhir selepas
muncul naib juara kumpulan di belakang Singapura.
Meskipun berkongsi enam mata dengan Singapura tetapi skuad negara dipisahkan
dengan perbezaan jaringan.
Pada aksi peringkat kumpulan, Harimau Malaya tewas 0-3 kepada Singapura
sebelum menewaskan Laos 4-1 dan Indonesia 2-0.
***
Wan
Zack Terlepas Aksi Separuh Akhir
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADIfazli.yadi@kosmo.com.my@7-12-2012
KEM skuad Harimau Malaya menerima tamparan hebat apabila Wan Zack Haikal Wan
Nor tidak dapat beraksi pada separuh akhir pertama dan kedua Piala Suzuki AFF
2012.
Berita buruk itu disahkan oleh jurulatih, Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan
kehilangan pemain kelahiran Maran, Pahang itu memang memberikan tamparan kepada
skuad kendaliannya menjelang pertemuan menentang Thailand di Stadium Nasional,
Bukit Jalil, Ahad ini.
Jelas jurulatih berusia 52 tahun itu, beliau berharap kehadiran semula S.
Kunanlan diharap dapat menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh Wan Zack
selain berharap barisan pemainnya bersedia sepenuhnya menghadapi apa juga
ancaman Thailand pada perlawanan tersebut kelak.
Wan Zack Haikal |
“Kecederaan Wan Zack agak teruk. Pada mulanya saya berpendapat kecederaan
itu masalah kecil sahaja, namun dia bakal terlepas dua aksi separuh akhir Piala
Suzuki AFF 2012 selepas ditimpa masalah kecederaan otot yang terkoyak.
“Ketiadaan Wan Zack memang dirasai oleh pasukan ini, malah Shakir Shaari
juga bakal menyertai Wan Zack yang akan terlepas aksi separuh akhir pertama
akibat kecederaan.
“Begitupun, Kunanlan telah menunjukkan persembahan positif manakala Safee
Sali dan Mohd. Khyril Muhymeen Zambri masih lagi dibelenggu masalah kecederaan
otot,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi latihan di Wisma
FAM, Kelana Jaya semalam.
Jelasnya, beliau membayangkan Safee bakal diletakkan dalam senarai pemain
simpanan selain mengakui cabaran skuad negara untuk mempertahankan kejuaraan
yang diraih dua tahun lalu semakin sukar selepas kehilangan beberapa tonggak
utama.
“Persiapan skuad negara berjalan seperti biasa. Namun, kemungkinan Safee
akan memanaskan bangku simpanan ketika menentang Thailand pada aksi pertama
nanti.
“Sukar buat kami apabila kehilangan ramai pemain utama dan saya berharap
kami berjaya mencatatkan keputusan positif pada perlawanan pertama nanti.
“Sudah tentu kami mahu menang tetapi kita juga perlu menyedari yang skuad
negara kini agak tempang mengharungi aksi separuh akhir pertama,” katanya.
***
Norshahrul Membara Akhiri Kemarau Gol
KUALA LUMPUR - Tidak menjaringkan sebarang gol dalam saingan Piala Suzuki
2012 setakat ini bakal membuatkan penyerang negara, Norshahrul Idlan Talaha
lebih membara menjelang perlawanan separuh akhir pertama bertemu Thailand Ahad
ini.
Penyerang skuad Johor yang kini dikenali Darul Takzim FC, mengakui, situasi yang
dihadapinya ketika ini sama seperti ketika aksi final Piala Malaysia Oktober
lalu ketika dia tidak diletakkan harapan untuk menyinar.
“Sama seperti saingan akhir Piala Malaysia yang lalu di mana saya kurang
menyinar pada peringkat kumpulan dan selepas ketiadaan Mohamed Ghaddar saya
rasa lebih bertanggungjawab seterusnya dalam meledakkan jaringan," katanya
di sini semalam.
Pada perlawanan akhir 20 Oktober lalu, penyerang yang dikenali dengan nama
gelaran Mat Yo itu menjaringkan dua gol untuk membantu Kelantan mengalahkan ATM
3-2 di Stadium Shah Alam.
“Saya begitu membara untuk menjaringkan gol, pertemuan dengan Thailand ini
saya mesti menjaringkan gol, seterusnya menamatkan kemarau jaringan," kata
penyerang kelahiran Besut, Terengganu itu.
Norshahrul mengakui dia tidak kisah untuk diletakkan tugas sebagai penyerang
utama jika Safee Sali tidak dapat beraksi kerana masalah kecederaan namun dia
lebih selesa dengan posisi penyerang kedua.
“Saya lebih suka untuk menjadi penyerang kedua di belakang Safee, dalam masa
yang sama saya mempunyai keyakinan tinggi untuk menjaringkan gol seperti final
Piala Malaysia tempoh hari.
“Jika ikut peratusan, masih ada baki lima peratus lagi untuk saya
melengkapkan diri menjadi penyerang yang sempurna, lima peratus itu adalah
jaringan gol," kata pemain berusia 26 tahun itu.
Tambahnya, dari segi kecergasan, kawalan bola dan juga hantaran sudah tidak
menjadi masalah buatnya menjelang perlawanan menentang Thailand nanti kecuali
masalah sentuhan jaringan.
***
Khyril Mahu Lebur Ego Thailand
Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADIfazli.yadi@kosmo.com.my@7-12-2012
“WALAUPUN beraksi selama lapan atau 10 minit, saya tetap akan berusaha
habis-habisan untuk menjaringkan gol buat skuad negara pada aksi menentang
Thailand kelak.”
Demikian tekad penyerang Harimau Malaya, Mohd. Khyril Muhymeen Zambri yang
semakin bersemangat untuk membantu skuad negara menjelang pertemuan menentang
Thailand pada aksi separuh akhir pertama Piala Suzuki AFF 2012 di Stadium
Nasional, Bukit Jalil, Ahad ini.
Khyril yang berjaya menjaringkan satu gol ketika membantu skuad kendalian
Datuk K. Rajagobal menewaskan Laos 4-1 pada aksi kedua Kumpulan B, disisihkan
daripada skuad kebangsaan sebelum ini selepas ditimpa kecederaan.
Khyril Muhymeen |
Perasaan pemain dari Kedah itu untuk kembali bersama skuad negara semakin
membara selepas menyaksikan kejayaan Harimau Malaya melangkah ke peringkat
separuh akhir ekoran kejayaan menewaskan Indonesia 2-0 pada aksi terakhir
peringkat Kumpulan B minggu lalu.
Begitupun, Khyril yang sekadar menjadi penonton ketika pasukan bimbingan
Rajagobal menewaskan Sang Garuda menerusi jaringan Azamuddin Akil dan Mahalli
Jasuli, menyedari perlu bekerja keras sekiranya berhasrat untuk menambat
perhatian jurulatih.
Ini kerana prestasi cemerlang Azamuddin selain S. Kunanlan dan Wan Zack
Haikal Wan Nor yang dijangka pulih sebelum bertemu Thailand, memberikan
pelbagai pilihan kepada Rajagobal untuk menyenaraikan kesebelasan utamanya.
“Bagi saya, ia agak susah untuk mendapatkan tempat dalam skuad utama dan
saya harus bekerja lebih keras, tambahan pula selepas ditimpa masalah kecederaan.
“Terpulang kepada jurulatih, kalau beliau bagi peluang lapan atau 10 minit
untuk saya beraksi, ia sudah memadai.
“Kalau saya diberikan peluang, saya akan mempamerkan aksi terbaik selain
bertekad membalas kepercayaan jurulatih,” katanya kepada pemberita ketika
ditemui semasa perlawanan persahabatan menentang pasukan Polis Diraja Malaysia
(PDRM) di Wisma FAM, Kelana Jaya malam kelmarin.
Pada aksi pemanas badan itu, skuad negara berjaya menewaskan PDRM 5-0
menerusi jaringan Norshahrul Idlan Talaha, Gary Steven Robbat, Safiq Rahim,
Mohd. Bunyamin Umar dan Baddrol Bakhtiar.
Mengulas lanjut, Kyhril, 25, mengakui, dia berhasrat untuk membantu skuad
negara dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua
tahun lalu.
Pada masa sama, dia menyedari Harimau Malaya perlu menggandakan usaha mereka
sekiranya berazam untuk menewaskan Thailand yang tampil selaku pasukan pilihan
pada aksi tersebut.
“Tidak dapat dinafikan, Thailand adalah sebuah pasukan yang cukup bagus.
“Namun, ia tidak bermakna kami akan memberikan laluan mudah kepada mereka
dan pada pendapat saya, kami akan menggunakan kelebihan beraksi di laman
sendiri untuk mencari bekalan selesa.
“Melihat perjalanan skuad negara dalam kejohanan ini, ‘skrip’ kami bagaikan
sama dengan edisi 2010. Saya berharap magis skuad negara akan berulang selain
menyeru kepada peminat agar datang memberikan sokongan kepada kami,” katanya.
No comments:
Post a Comment