17 December 2012

Masih di Takuk Lama

Oleh Sukhairi Thani@17-12-2012

Zolkples anggap Harimau Malaya gagal tunjuk keserasian mantap
Kuala Lumpur: Andai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) 'masih menaruh kepercayaan' ke atas Datuk K Rajagobal mengendalikan skuad kebangsaan, kenyataan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong semalam harus mendesak badan induk berkenaan berfikir semula!
Mengenai prestasi pasukan, saya dapati tidak banyak perubahan berlaku berbanding Thailand, Singapura, Vietnam atau Myanmar yang menunjukkan peningkatan ketara," Datuk Seri Zolkples Embong, Ketua Pengarah MSN
Seperti majoriti peminat bola sepak negara, nada Zolkples sama apabila menyifatkan prestasi keseluruhan skuad Harimau Malaya yang gagal mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF selepas tewas 3-1 kepada Thailand di separuh akhir, tidak banyak perubahan dan masih berada di takuk lama.
Menurutnya, kebanyakan pemain yang dipilih adalah barisan lama ketika menjuarai Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki 2010 tetapi apa yang mengecewakan mereka gagal menunjukkan keserasian sebagai satu pasukan mantap meskipun sudah hampir tiga tahun bersama.
“Saya tidak mahu mengulas sama ada Rajagobal perlu dikekalkan atau tidak kerana ia di bawah kuasa FAM. Tetapi mengenai prestasi pasukan, saya dapati tidak banyak perubahan berlaku berbanding Thailand, Singapura, Vietnam atau Myanmar yang menunjukkan peningkatan ketara.
“Pasukan kita dibarisi pemain lama, sepatutnya mereka jauh lebih meningkat tetapi tidak banyak yang dapat dilihat padahal mereka banyak menerima kemudahan latihan dan pendedahan terutama di peringkat antarabangsa,” kata Zolkples ketika dihubungi semalam.
*** 
Teliti Laporan Rajagobal : Azlan Johar 
Oleh: Wan Fakhrul Bakar@bharian.com.my@17-12-2012
Azlan Johar
 Walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) masih menaruh kepercayaan terhadap jurulatih kebangsaan , Datuk K Rajagobal sehingga tamat kontraknya pada disember 2013, laporan penuh kegagalan pada Piala AFF Suzuki baru-baru ini perlu diteliti sebaik mungkin badan induk itu.
Memang benar, jasa Rajagobal membawa kejayaan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan kejuaraan Piala Suzuki AFF 2010 tidak wajar dilupakan, namun kegagalannya membentuk pasukan mantap dalam tempoh 2 tahun bagi mempertahankan piala Suzuki perlu diambil kira menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2015 Februari depan.
Pandu Kepada Statistik
FAM perlu lihat dengan teliti laporan penuh dari Rajagobal. Kena betul-betul berpandukan kepada statistik setiap perlawanan. Jika Rajagobal tidak dapat memberikan alasan cukup konkrit, FAM perlu fikir panjang mengenai masa depannya.
“Benar, Rajagobal Berjaya mengubah suasana bolasepak Negara selepas 20 tahun kita kemarau kejayaan. Tapi Allahyarham Jalil Che Din pernah bawa Malaysia ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan Datuk M Kuppan membawa pingat gangsa Sukan Asia 1974. Itu yang patut jadi ukuran, bukan sekadar tahap Sukan SEA atau Piala AFF Suzuki. 
Saya lihat Rajagobal, terang-terang dia ada tempoh 2 tahun selepas muncul juara 2010 dan sudah tentu dia tahu apa kelemahan pasukan. Jadi, apabila gagal kali ini, dia perlu bertanggungjawab’ kata bekas pemain kebangsaan dan juga penganalisis bolasepak negara, Azlan Johar ketika dihubungi semalam.
Jangan Bagi Alasan
Statistik menunjukkan dalam aksi berstatus A sepanjang tahun 2011 dan 2012, skuad Harimau Malayadi bawah kendalian Rajagobal hanya menang lapan kali, seri sembilan kali dan tewas sembilan kali dalam keseluruhan 26 perlawanan sehingga ranking kini jatuh ke 163 dunia.
Azlan turut menganggapalasan yang diberikan Rajagobal selepas gagal ke final terutama menyalahkan pengadil dan masalah kecederaan sebagai alas an mudah seorang jurulatih untuk menyelamatkan kedudukannya.
“Rajagobal sudah tentu tahu kejohanan berbentuk sebegini, situasi kad merah, penggantungan pemain dan kecederaan akan sentiasa berlaku dan dia sepatutnya perlu siap sedia. Sebagai jurulatih, tugasnya bukan untuk mencari alasan tapi cari jalan mengatasi kepincangan,” jelas Azlan.    
***  
Sebegeth Cadang Ong Kim Swee

Ong Kim Swee
 BEKAS pemain kebangsaan dan pengkritik bola sepak, Serbegeth Singh berpendapat sudah tiba masanya tugas mengendalikan skuad Harimau Malaya diserahkan kepada Ong Kim Swee berikutan kegagalan ketua jurulatih, Datuk K Rajagobal mempertahankan kejuaraan Piala AFF 2012.
Menurut Serbegeth atau turut dikenali dengan panggilan Shebbie, pandangan disuarakan itu bukan hanya berasaskan kepada kegagalan di Piala AFF baru-baru ini, sebaliknya ia mengambil kira prestasi skuad negara yang merosot selepas bergelar juara rantau Asia Tenggara dua tahun lalu.
Bagi Penasihat Global kelab Liga Kejuaraan, Blackburn Rovers itu, skuad kebangsaan sepatutnya meningkat ke satu tahap yang lebih tinggi namun ia sebaliknya berlaku di bawah pimpinan Rajagobal.
“Selepas kita menjuarai Piala AFF, kita masih lagi dalam era eksperimen pemain, sepatutnya kita sudah melangkah ke satu tahap lagi, tapi sebaliknya kita seperti masih ‘meraba-raba’.
“Kita melakukan eksperimen dengan mengharapkan kita boleh berada di kemuncak prestasi dua tahun kemudian. Untuk maju ke depan, kita harus memiliki jurulatih yang boleh meningkatkan prestasi pasukan yang kita miliki sekarang dan bukannya membentuk pasukan baru.
“Jangan fikir pandangan saya ini satu kritikan, sebaliknya ia satu persoalan yang harus kita bincangkan bersama, adakah Rajagobal mampu meneruskan tugas sebagai ketua jurulatih kebangsaan?” katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.
Shebbie yang kini berada di London mengakui tidak boleh memberi ulasan terperinci mengenai permainan skuad kebangsaan dalam kejohanan AFF kali ini kerana hanya melihat sebahagian aksi menerusi YouTube.
Namun berdasarkan pemerhatiannya dalam tempoh dua tahun selepas Malaysia menjadi juara kali pertama Piala AFF, skuad kebangsaan berada dalam era kemerosotan selepas gagal melayakkan diri dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2014, kejatuhan ranking negara berikutan beberapa aksi buruk dalam aksi persahabatan antarabangsa yang dianggap tidak penting oleh Rajagobal.
Rajagobal, 56, dianggap jurulatih tempatan paling berjaya apabila membimbing skuad negara memenangi pingat emas Sukan Sea Laos 2009 serta Piala AFF 2010 di Jakarta dengan menewaskan Indonesia menerusi agregat 4-2.
Biarpun menyaksikan anak buahnya tersingkir di peringkat separuh akhir menerusi agregat 3-1 di tangan Thailand pada kejohanan Piala AFF Khamis lalu, Rajagobal masih mahu meneruskan misi utamanya iaitu kelayakan Piala Asia 2015 bermula Februari depan.
Manakala Kim Swee yang terkenal dengan kepakarannya menggilap pemain muda seperti Mohd Nazmi Faiz Mansor, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Gary Steven Robbart pula menggalas misi mempertahankan pingat emas Sukan Sea Myanmar tahun depan selepas kejayaan di Jakarta tahun lalu.
“Dua masalah timbul jika Rajagobal terus menjadi jurulatih iaitu adakah pemain percaya dengan kemampuannya serta tekanan daripada penyokong sendiri,” jelas Shebbie.
Ketika ditanya kenapa jurulatih Harimau Muda A, Kim Swee yang menjadi pilihannya, bekas pemain pertahanan kebangsaan itu berkata: “Sudah tiba masanya untuk Kim Swee diberikan tanggung jawab lebih besar. Kita kena tahu, kejayaan bola sepak negara berasaskan kepada sistem pembangunan bola sepak di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
“Kim Swee cukup arif dengan sistem ini kerana beliau membimbing Harimau Muda A yang memiliki ramai pemain yang bagus. Jika beliau diberi peluang, beliau boleh menggabungkan dua pemain dari dua generasi iaitu generasi pemain Rajagobal dan generasi pemain Harimau Muda A yang ada sekarang.
Dengan dua generasi ini kita boleh memiliki satu pasukan yang mantap. Tapi masalahnya siapa yang boleh menggantikan tempat Kim Swee bersama Harimau Muda? Bagaimanapun, Shebbie mengingatkan agar sumbangan dan kepakaran yang dimiliki Rajagobal tidak boleh diketepikan begitu saja.
“Rajagobal banyak berjasa kerana sudah membawa kita ke satu tahap baru, mungkin beliau boleh dilantik menjadi penasihat teknikal untuk melihat keseluruhan sistem termasuk skuad belia. Kerana beliau juga pernah membimbing skuad belia sebelum ini,” jelasnya.
*** 
Kim Swee Kunci Mulut
Oleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE@@hidayat.azmie@kosmo.com.my
NAMA pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika ini cukup laku bagaikan ‘pisang goreng panas’ dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.
Ia ekoran pengendali kelahiran Melaka itu dikatakan calon paling sesuai mengambil alih tugas pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal ekoran kegagalan skuad Ha rimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini sebaik ditewaskan Thailand menerusi agregat 1-3 pada peringkat separuh akhir di Stadium Supachalasai Bangkok, minggu lalu.
Biarpun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) masih mempercayai kredibiliti Rajagobal sehingga kontraknya berakhir pada Disember 2013, sebahagian besar penyokong tempatan dilihat sudah mula kurang sabar dan mendesak supaya Rajagobal meletak jawatan ataupun dipecat serta-merta.
Pada masa sama, rata-rata mereka mahu Harimau Malaya diambil alih oleh Kim Swee berdasarkan reputasi jurulatih itu mempertahankan ibu emas temasya Sukan SEA di Jakarta, Indonesia tahun lalu.
Begitupun, Kim Swee lebih gemar mengambil pendekatan ‘mengunci mulut’, selain membayangkan mahu kekal menerajui Harimau Muda bagi mempertahankan emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar, tahun depan.
DKRG
 “Biarlah beliau (Rajagobal) teruskan dahulu kerja beliau (selaku jurulatih).
“Senang cerita, fokus utama saya ialah mempertahankan emas Sukan SEA,” kata Kim Swee ringkas kepada Kosmo! semalam.
Semalam, Kosmo! Ahad melaporkan kedudukan Rajagobal selaku jurulatih Harimau Malaya masih terjamin sekurang-kurangnya sehingga kontraknya tamat penghujung tahun depan.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad dilaporkan berkata, Rajagobal perlu diberikan sokongan biar pun gagal mempertahankan Piala Suzuki AFF kali ini.
Dalam pada itu, Kim Swee yang baru sahaja menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-42 pada 11 Disember lalu menegaskan, beliau sentiasa akur dengan arahan yang dikeluarkan FAM berhubung perkara itu.
“Saya hanya ikut arahan FAM,” jelas Kim Swee.

No comments: