Satu gerakan gabungan penyokong bola sepak tempatan yang menggelarkan diri
mereka ‘Presiden FAM Sila Letak Jawatan’ (PFSLJ) menggesa rombakan
besar-besaran dilakukan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Mereka menggesa agar Presiden FAM Sultan Ahmad Shah meletak jawatan dan memberi peluang kepada pemimpin baharu yang mempunyai banyak visi dan idea
segar dalam memartabatkan kembali kegemilangan bola sepak negara.Wakil PFSLJ, Al Fadli Awaludin berkata pengurusan tertinggi FAM yang tidak pernah bertukar sejak 28 tahun lepas, perlu diberi nafas baru bagi meletakkan Malaysia dalam peta bola sepak dunia dan bukan lagi berada dalam pasukan Gred
D.
“Ini, bukan bererti pucuk pimpinan sekarang tidak cukup bagus untuk menguruskan bola sepak negara tetapi apabila sesebuah persatuan itu
dikendalikan orang yang sama dalam jangka masa panjang, mereka kehabisan idea.
“Idea yang sama akan terus diulang menyebabkan pasukan bola sepak kebangsaan kita tidak akan berubah dan membangun seperti negara lain yang sebelum ini setaraf dengan kita…sekarang mereka lebih maju,” katanya pada sidang media di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil di sini.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah wakil daripada penyokong skuad Harimau Malaya iaitu Ultras Malaya, Norazwan Mohamad. PFSLJ turut menyelar
kewibawaan FAM yang tidak mengatur banyak perlawanan kelas A untuk Harimau
Malaya sedangkan kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)
dikeluarkan setiap empat tahun bagi membolehkan semua Negara menyusun jadual
liga tempatan dan antarabangsa.
Al Fadli berkata gerakan itu turut membidas FAM kerana sering kali
meletakkan kesalahan ke atas jurulatih dan skuad bola sepak negara jika gagal dalam
sesuatu kejohanan dan tidak kepada badan induk bola sepak negara itu.
“FAM seharusnya bersama-sama memikul tanggungjawab dan bebanan yang
ditanggung pemain serta jurulatih setiap kali berakhirnya sesuatu kejohanan.
“Selama 28 tahun kami disajikan dengan plot kekalahan dan kemunduran skuad
bola sepak kebangsaan tanpa FAM dipersalahkan, sebaliknya pemain dan jurulatih
dipersalahkan sepenuhnya,” katanya.
PFSLJ yang ditubuhkan sejak 2009, hari ini buat pertama kalinya
memperkenalkan diri mereka kepada umum bagi memastikan nasib skuad bola sepak negara tidak terus merudum. – BERNAMA
memperkenalkan diri mereka kepada umum bagi memastikan nasib skuad bola sepak negara tidak terus merudum. – BERNAMA
***
FAM Juga Perlu Bertanggungjawab
Oleh AIZAWATI AHMADsukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sejak kegagalan skuad Harimau Malaya
mempertahankan kejuaraan Piala Suzuki AFF, suara-suara desakan agar Persatuan
Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak, semakin lantang.
Kekecewaan yang dirasai penyokong pasukan kebangsaan kini sudah tidak dapat
dibendung lagi.
Semalam, sekumpulan penyokong nekad meluahkan rasa tidak puas hati yang
telah lama bersarang di dalam dada kepada media tempatan.
Bagi mewakili suara tidak puas hati terhadap FAM itu, seorang penyokong
tegar skuad Harimau Malaya, Alfadli Awaludin tampil pada sidang akhbar di sini
semalam dengan menyuarakan pandangan mereka terhadap kegagalan bola sepak
Malaysia.
Alfadli berkata: "Kegagalan yang membelenggu skuad kebangsaan tidak
boleh diletakkan sepenuhnya di bahu jurulatih atau pun para pemain, tetapi
sebaliknya FAM perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan tersebut.
"Kegagalan yang saya maksudkan ini bukan semata-mata melibatkan
penyertaan kita pada Piala Suzuki AFF 2012, tetapi melibatkan keseluruhan
perjalanan bola sepak negara sejak berpuluh tahun dulu."
Menurutnya, bola sepak Malaysia tidak menunjukkan sebarang kemajuan
berbanding negara-negara lain di Asia yang dahulunya merupakan saingan terdekat
negara ini.
Jelas Alfadli, perkembangan bola sepak negara tidak berkembang dengan betul
dan kegagalan itu bermula daripada liga tempatan yang langsung tidak mempunyai
daya saing.
"Selama 28 tahun, daripada liga amatur kita beralih ke liga semi-pro
pada 1989, kemudian ke liga profesional pada 1993, namun hasilnya liga kita
kini hanya berada dalam gred D. Liga J yang datang berguru dengan kita telah
menjadi liga gred A hari ini.
"Kesannya pasukan dari Liga Malaysia (Liga M) tidak layak untuk beraksi
dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) mahupun untuk perlawanan playoff,"
ujarnya.
Tambahnya, badan induk bola sepak negara pernah menyatakan melalui
Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad bahawa ranking tidak penting.
"Jadi kalau ranking tidak penting, ke mana sebenarnya hala tuju kita,
apa objektif kita?
"Negara-negara yang lebih kecil dari kita pun menitik beratkan soal
ranking, ini kerana ranking akan menentukan hala tuju bola sepak kita.
"Saya juga difahamkan kalendar FIFA dikeluarkan empat tahun sekali, jadi
kelebihan ini membolehkan FAM menyusun jadual liga tempatan dan perlawanan
persahabatan antarabangsa dengan lebih terancang.
"Tetapi timbul persoalan, mengapa FAM gagal mendapatkan perlawanan
kelas A untuk Harimau Malaya sedangkan jadual telah keluar empat tahun lebih
awal, apakah hala tuju pasukan kebangsaan kita, adakah masih berpaksi kepada
Sukan SEA dan Piala AFF sahaja?," tegasnya.
Alfadli turut mempertikaikan apakah rasionalnya FAM apabila memiliki
bilangan pegawai berdaftar di negara ini yang lebih ramai iaitu 11,810 orang
berbanding 9,930 orang pemain berdaftar seperti yang direkodkan oleh FIFA.
***
Desakan Undur Tidak Relevan
Oleh IFQDAR RAHMAN@ifqdar.rahman@utusan.com.my
JOHOR BAHRU - Desakan supaya Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),
Sultan Ahmad Shah berundur daripada jawatannya tidak relevan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim berkata, ini kerana
Sultan Ahmad Shah mempunyai rangkaian bola sepak yang bagus, bukan sahaja pada
peringkat Asia, malah global.
Menurut beliau, sekalipun baginda meletakkan jawatan dan digantikan dengan
individu lain, ia belum tentu mampu mengubah senario dalam industri bola sepak
negara.
“Saya tidak menyebelahi mana-mana pihak tetapi perlu diakui bahawa Presiden
FAM sekarang mempunyai banyak kelebihan memandangkan pengalaman dan
pengetahuannya dalam arena bola sepak menjangkaui peringkat antarabangsa.
“Tambahan pula bola sepak adalah sukan yang paling mahal untuk dikendalikan.
“Jadi, kita memerlukan seseorang yang benar-benar faham tentang selok-belok
sukan ini," katanya di sini semalam.
Beliau mengulas desakan sekumpulan penyokong bola sepak negara supaya
kepimpinan tertinggi FAM dirombak termasuk Sultan Ahmad Shah berundur sebagai
Presiden.
Razali yang ditemui selepas melawat tapak ‘Fiesta Get Together’ di Dataran
MBJB, di sini semalam berkata, jika Sultan Ahmad Shah bersetuju untuk berundur,
perlu diingat bahawa bakal pengganti baginda kelak bakal memikul satu
tanggungjawab yang amat besar.
Menurutnya, masalah yang berlaku kini sebenarnya disebabkan FAM kekurangan
barisan pemain pelapis yang berbakat dan jika isu itu diatasi, ia mampu
meningkatkan mutu bola sepak tempatan.
“Justeru itu perlu adanya satu program atau projek khas bagi mencungkil
bakat-bakat tersebut kerana saya percaya terdapat ramai ‘pemain bintang’ dalam
kalangan peminat sukan ini di Malaysia," katanya.
Sementara itu, mengulas fenomena yang dicetuskan Persatuan Bola Sepak Negeri
Johor (PBNJ), Razali berharap agar ia dapat dijadikan contoh oleh persatuan
negeri lain dalam memartabatkan sukan bola sepak.
“Usaha yang dilakukan oleh Presiden PBNJ, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku
Ismail Sultan Ibrahim harus diberi pujian yang tinggi.
“Tindakan proaktif beliau bukan sahaja memberi impak kepada semangat
kesukanan di peringkat negeri, malah ia begitu memberi kesan sehingga ke
seluruh negara.
“Saya pasti peminat bola sepak Malaysia menanti-nantikan aksi pasukan
Harimau Selatan pada saingan musim akan datang," katanya.
No comments:
Post a Comment