11 December 2012

Sebuah Piala Seekor Kambing Penuh Sinikal

Oleh : A Wahab Hamzah@Utusan Malaysia(9/12/2012)

KEJAYAAN pasukan bola sepak Malaysia memasuki separuh akhir Piala AFF sekali lagi menjadikan sukan bola sepak tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Lebih menarik apabila sebuah telefilem tentang bolasepak bakal ditayangkan, walaupun disiarkan bukanlah sempena pertandingan Piala AFF tersebut.
Tetapi dalam keghairahan seluruh rakyat Malaysia terhadap pasukan Malaysia, maka tayangan drama ini oleh Astro Prima dikira tepat pada masanya.
Telefilem yang berjudul Sebuah Piala Seekor Kambing adalah karya dan arahan Sabri Yunus yang lebih kita kenali melalui watak-watak komedinya. Tetapi kini giat menghasilkan telefilem berkualiti seperti Sanggul Beracun, Asy-Syura dan yang terbaru Parut Ashikin. Sabri Yunus baharu sahaja menyiapkan sebuah filem digital Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (HHTSS) yang diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara Anwar Ridhwan. HHTSS diberitakan akan menyertai festival filem di Berlin dan bakal dibicarakan di sebuah akademia di Paris.
Namun dalam telefilem Sebuah Piala Seekor Kambing, Sabri sebenarnya membawa pendekatan komedi yang sinikal. Kita sering mendengar slogan sukan untuk perpaduan. Tetapi Sabri dalam drama ini membawa sisi lain dalam masyarakat di samping usaha murni perpaduan ini. Kita sebenarnya bukan tidak pernah mendengar atau melihat bagaimana sukan mengakibatkan pergaduhan dan permusuhan di kalangan para penyokongnya. Sukan yang seharusnya bersih juga sering dikotorkan dengan perbuatan yang tidak sepatutnya seperti dendam, khianat, rasuah dan perjudian.
Inilah sesuatu yang menarik apabila Sabri Yunus menanyakan kepada kita semua persoalan sinis ini dalam telefilemnya yang terbaru Sebuah Piala Seekor Kambing, sebuah drama komedi yang melibatkan sukan bolasepak.
Telefilem ini mengisahkan tentang usaha seorang penggawa muda, iaitu Penggawa Nawi yang baru dilantik ke jawatan itu untuk menyatukan orang-orang muda di kampong Pantai Cherang Nipah dan kampung Bendang Kweng yang sering bergaduh melalui perlawanan bola sepak.
Usaha murninya mendapat sokongan anak muda dan mereka bersedia berlatih untuk pertandingan yang menyediakan seekor kambing sebagai hadiahnya. Walau bagaimanapun keinginan untuk menunjuk kekuatan dan kemenangan dalam pertandingan itu serta perasaan dendam sebelum itu menyebabkan beberapa pemain menggunakan pendekatan yang salah seperti bomoh.
Bukan itu sahaja, para penyokong mereka juga membuat tindakan yang salah, sehingga sanggup menggunakan rasuah. Namun di sebalik saingan pertandingan itu, siapa menyangka wujud pula hubungan kasih antara anak muda di dua kampung yang bertanding tersebut. Ini yang terjadi kepada Jani dan Shimah. Sungguhpun drama ini mengangkat sukan bolasepak sebagai isu utamanya, tetapi penonjolan beberapa isu kemasyarakatan menjadikan drama ini lebih menarik.
Menurut Sabri Yunus, tidak mudah sebenarnya menghasilkan drama ini kerana ia melibatkan pelakon yang ramai serta banyak penggunaan teknik pengambaran dari udara untuk merakamkan adegan perlawanan bolasepak.
Walaupun drama ini tentang bolasepak, tetapi Sabri memastikan lakonan yang berkesan dan kuat daripada para pelakonnya. Telefilem ini dilakonkan oleh Syed Aiman (Jani), Miera Amnas (Shima), Khusairi Chua (Dollah Jin), Isey Fazlisham (Hasyim), Kamarol Hj. Yusuf (Penghulu Din), Sabri Yunus (Penghulu Che Kah) dan hampir 30 orang lagi pelakon pembantu yang turut terlibat.
Malah hampir seluruh penduduk kampung Pantai Mek Mas di Kelantan turut terlibat dalam menjayakan drama ini terutama yang melibatkan perlawanan bola sepak. Apa yang menarik ialah kemunculan seorang bekas pemain bolasepak kebangsaan dari Kelantan sebagai pelakon undangan istimewa, Mohd. Nor Yaakub yang berlakon sebagai pengadil pertandingan bolasepak.
Drama ini juga turut dijayakan oleh kumpulan dikir Sri Murni Che Deris yang terkenal di Kelantan.
The Red Warrior yang menaja pasukan Kelantan turut menaja jersey dua pasukan bolasepak yang bertanding dalam drama ini. Jangan lupa saksikan drama satira ini melalui saluran Astro Prima pada 10 Disember ini, pukul 10.00 malam.
P/s: Malam tadi (10/12/2012) Tayangan SPSK ini di Astro dibatalkan atas sebab2 teknikal, ditunda ke satu tarikh lain!!! Menyebabkan kemarahan melampau peminat2 dilaman2 FB dll…..

1 comment:

Budak Kacak Nak Mampus said...

folow niii.... kwe pmnat dollag jin hahahaha