29 April 2013

Piala AFC 2013: Kelantan Vs Ayeyawady United (Perlawanan Terakhir Peringkat Kumpulan)

Kelantan Mahu Menang Bertemu Ayeyawady United
KOTA BHARU 29 April 2013- Kelantan mahu menamatkan kempen saingan Kumpulan G Piala Konfedarasi Bola Sepak Asia (AFC) dengan meraih tiga pada pertemuan dengan wakil Myanmar Ayeyawady United FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, malam esok.
Kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi mengakui pasukannya perlu meraih kemenangan pada perlawanan itu bagi mengesahkan status juara kumpulan, sekali gus memberikan kelebihan beraksi di tempat sendiri dalam aski pusingan kedua nanti.
Menurutnya, kejayaan membenam T-Team dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu memberikan tonik berguna untuk berhadapan Ayeyawady United FC selepas dimalukan 1-6 oleh Maziya Sport and Recreation FC dalam Piala AFC sebelum ini.
"Meskipun sedikit keletihan selepas mengharungi jadual perlawanan, namun ia tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang meraih kemenangan pada perlawanan ini.
"Sekiranya menang, Kelantan akan menjuarai kumpulan dan mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri pada pusingan kedua nanti. Jadi peluang tersebut perlu digunakan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar perlawanan Piala AFC antara Kelantan dengan Ayeyawady United FC di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE
 ***
Kelantan Sasar Hos Untuk Pusingan Ke 2 Piala AFC
KOTA BAHARU 29 April 2013 - Kelantan perlu menang ke atas kelab Myanmar, Ayeyawady United di Stadium Sultan Muhammad IV di sini, esok, agar dapat mengambil kesempatan menjadi hos perlawanan mereka pada pusingan kedua bola sepak Piala AFC 2013.
Kelantan yang menerajui Kumpulan G dengan 10 mata, dijangka berdepan naib juara Kumpulan E, Kitchee FC dari Hong Kong, pada pusingan kedua yang melibatkan 16 pasukan iaitu dua pasukan teratas daripada setiap kumpulan.
Pada sidang media sempena perlawanan itu di sini hari ini, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak berkata, kesebelasan utamanya esok tetap sama seperti menentang T-Team dalam Liga Super, Sabtu lalu. - BERNAMA
***
TRWFC@29/4/2013
Sidang Media Piala AFC: Kelantan mln Ayeyawady United
 
Bojan Hodak akan menurunkan kesebelasan terbaik malam esok kecuali Dickson Nwakaeme yang terpaksa direhatkan akibat kecederaan.
Selain itu, Indra Putra dan Zamri Ramli juga tidak dapat diturunkan kerana menjalani pergantungan satu perlawanan.
Dimitri Petratos dan Norfarhan Muhammad dijangka akan bergandingan di posisi serangan.
Dalam perkembangan yang sama, kapten pasukan, Badhri Radzi menuntut rakan sepasukan beraksi berhabis-habisan untuk menggapai kemenangan sekaligus menjadi juara kumpulan
 

28 April 2013

Kelantan Bangkit Di Kota Bharu

Kelantan Temui Sentuhan Kemenangan
Oleh : Madzram@Sinar Harian 
KOTA BHARU – Setelah mengalami dua kekalahan berturut-turut, The Red Warriors (TRW) akhirnya kembali menemui sentuhan kemenangan setelah mengatasi T-Team 3-1 pada aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.
Tiga mata yang diimpikan Kelantan hadir tepat pada masanya malah kemenangan ke atas pasukan berstatus kelab itu sekali gus turut berjaya melunaskan dendam apabila tewas 0-1 dalam perlawanan pusingan pertama, pada 12 Januari lalu.
Kemenangan berharga itu membantu skuad kendalian Bojan Hodak mengumpul 17 mata, namun terlalu jauh untuk mengejar pendahulu liga, Lions XII yang cukup selesa menerajui takhta dengan 28 mata.
Begitu pun, kemenangan yang dilakar itu dilihat mampu memadamkan kekalahan terbesar TRW 6-1 pada saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia minggu lalu apatah lagi turut mendapat suntikan semangat dengan kehadiran Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa di sebalik kesibukan beliau berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-13 ketika ini.
Kelantan hampir berada di depan ketika perlawanan baru memasuki minit kelima apabila apabila Ahmad Fakri Saarani bijak melakukan hantaran silang mengelirukan namun tampanan Mohd Faiz Subri sedikit tersasar di sebelah kiri pintu gol T-Team.
Begitu pun, pasukan pelawat nyaris mengejutkan tuan rumah empat minit kemudian menerusi serangan balas pantas yang dicetuskan oleh Antwi George Boateng namun rembatan penyerangnya, Ahmad Syamim Yahya terkena palang gol meski pun Khairul Fahmi Che Mat tertewas di posisinya.
Dickson Nwakaeme yang tersisih dalam dua perlawanan lalu mencetuskan situasi kelam-kabut pada minit ke-11 di depan gawang T-Team apabila memperdayakan tiga pemain lawan namun tolak ke belakang beliau berakhir dengan rembatan tinggi oleh Indra Putra Mahayuddin.
Menuju minit ke-16, kali ini giliran anak buah Che Ku Marzuki Che Ku Nor pula mencemaskan pintu gol Kelantan.  Menerusi gerakan satu dua menarik oleh Damir Ibric Yuskel yang menolak bola ke belakang pantas disambar Mohd Shazlan Alias namun percubaannya diselamatkan Khairul Fahmi.
Dua minit berselang, Nwakaeme sekali lagi mempunyai peluang untuk mencetak nama selaku penjaring gol namun percubaannya dari luar kotak penalti sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol T-Team.
Penantian hampir 6,000 penyokong setia tuan rumah bagaimana pun terlerai apabila Kelantan memecahkan kebuntuan jaringan pada minit ke-31 menerusi sepakan penalti yang mudah disempurnakan oleh Nwakaeme.
Pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaakob tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan tersebut setelah pemain pertahanan T-Team, Hassan Basri Ahmad Ridzuan menjatuhkan Indra Putra di dalam kotak penalti sebelum itu.
Tiga minit berselang, Indra Putra hampir menjarakkan kedudukan buat Kelantan menerusi sepakan bebas yang menembusi benteng dibina pemain T-Team namun hanya tersasar di sebelah kiri pintu gol pelawat.
Gerakan lincah Nwakaeme yang lakukan larian pantas pada minit ke-40 sekali lagi hampir mencipta jaringan kedua buat Kelantan namun Mohd Faiz harus menyalahkan diri sendiri apabila mensia-siakan peluang tersebut setelah merembat tinggi meski pun hanya berdepan Mohd Iqbal Mohd Suhimi di gawang T-Team.
Minit-minit akhir babak pertama, Kelantan terus melancarkan serangan namun rembatan separa voli Indra Putra singgah di tiang gol kanan T-Team sementara percubaan susulan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi tinggi melewati pintu gol.
Bersambung babak kedua, tuan rumah yang kehilangan sentuhan Nwakaeme akibat kecederaan tampak sedikit tertekan sehingga melakukan beberapa kesilapan mudah setelah diasak bertali arus oleh pemain T-Team.
Tindakan Obinna Nwaneri yang gagal mengeluarkan bola dengan sempurnakan pada minit ke-49 membolehkan Ibric Yuskel mencuri peluang di depan gawang Kelantan namun rembatan penyerang import baharu Titans itu diselamatkan Khairul Fahmi.
Tiga minit kemudian, Nwaneri sekali lagi melakukan tampanan kurang cermat sehingga membenarkan bekas pemain Nottingham Forest, George Boateng memanfaatkan peluang tersebut namun rembatan derasnya mujur diselamatkan penjaga gawang utama kebangsaan itu.
Kelantan diasak lagi pada minit ke-55 kali ini menerusi sepakan percuma Kapten T-Team, Mohd Mazuki Yusoff pada jarak 40 meter tetapi hanya beberapa meter tinggi melewati pintu gol tuan rumah.
Namun keghairahan pasukan pelawat untuk menyamakan kedudukan dipadamkan empat minit kemudian apabila pemain gantian, Mohd Norfarhan Muhammad menanduk kemas gol kedua Kelantan setelah menerima hantaran lambung daripada Mohd Badhri.
Seakan mendapat ‘tonik baharu’ dengan jaringan tersebut, tuan rumah kembali memperkemaskan corak permainan mereka dan Mohd Badhri hampir menjelmakan jaringan namun percubaan berbahaya beliau dari luar kotak penalti sedikit tersasar pada minit ke-62.
Dua minit kemudian, Mohd Badhri yang terkenal dengan jolokan ‘Kapten Marvel’ sekali lagi berpeluang untuk mengukuhkan kedudukan namun rembatannya hasil serangan balas diilhamkan Mohd Faiz ditepis keluar Mohd Iqbal di pintu golnya.
Pasukan pelawat yang menduduki tangga kedua tercorot tetap tidak berputus asa dan mereka nyaris merapatkan jurang seminit kemudian menerusi tandukan tajam Mohamad Hasbullah Awang hasil hantaran lambung Azrul Hazran Amiludin Baki namun diselamatkan Khairul Fahmi di atas garisan pintu golnya.
Kerja keras T-Team untuk memburu gol sulung mereka hadir lagi pada minit ke-75 menerusi sepakan bebas Mohd Mazuki pada jarak 35 meter memaksa Khairul Fahmi melayangkan badan untuk menguis keluar bola di gawangnya.
Kebuntuan jaringan pasukan pelawat akhirnya terlerai pada minit ke-81 apabila dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil setelah Ahmad Fakri Saarani mengasari Ahmad Syamim di dalam kotak penalti.
Ibric Yuskel, pemain kelahiran Turki dan pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Bosnia Herzegovina tenang merembat masuk ke penjuru kanan untuk menjadikan kedudukan 2-1 tidak lama kemudian.
Begitu pun, sisa-sisa perjuangan T-Team yang melakarkan kejutan menewaskan Perak minggu lalu akhir lebur apabila Indra Putra melengkapkan jaringan ketiga Kelantan menerusi rembatan kencang setelah menerima umpanan cantik daripada Mohd Badhri dalam masa kecederaan.
***
Kelantan Bangkit Bergaya Selepas Tewas 2 Kali Berturut
KELANTAN berjaya bangkit dari dua kekalahan berturut-turut selepas menundukkan T-Team 3-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV.
Pelawat terlebih dahulu mencemaskan pintu gol tuan rumah menerusi rembatan deras Ahmad Syamim Yahya dari luar kotak penalti pada minit ke-9, namun rembatannya sekadar menggegar palang gol walaupun Khairul Fahmi Che Mat sudah pun tertewas.
Minit ke-15, pemain pertahanan T-Team, Shazlan Alias mendapat peluang terbaik menghasilkan gol pertama apabila mendapat hantaran cantik daripada Ibric Yuksel di dalam kotak penalti, namun rembatanya berjaya ditampan Khairul Fahmi.
Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-31 menerusi Dickson Nwakaeme yang menyudahkan sepakan penalty, apabila tindakan Hasan Basri menjatuhkan Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti di kesan pengadil, Mohd Amirul Izwan Yaakob.
Selang sembilan minit kemudian, pemain sayap, Mohd Faiz Subri mendapat peluang terbaik untuk menambah gol buat Kelantan apabila hanya berhadapan dengan penjaga gol T-Team, Iqbal Suhaimi, namun rembatannya jauh melepasi palang gol.
Minit ke-45, Kelantan terus mengasak kubu pertahanan T-Team dan Indra Putra hampir mendapatkan gol kedua buat The Red Warriors (TRW), namun tampanannya sekadar singgah di palang gol selepas menerima hantaran lintang daripada Mohd Faiz.
Bersambung babak kedua, Kelantan terus menguji pertahanan pelawat menerusi Mohd Faiz yang membuat rembatan kencang dari luar kotak penalti yang ditepis keluar Iqbal.
Minit ke-52, hasil daripada serangan balas, George Boateng hampir mendapatkan gol penyamaan buat T-Team, namun rembatannya dalam kotak penalti ditampan kemas Khairul Fahmi.
Tindakan ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menggantikan Dickson dengan Mohd Norfarhan Mohamad sebaik bermula babak kedua akhirnya berbaloi apabila pemain itu bijak menanduk masuk hantaran lintang ketua pasukan, Mohd Badhri Radzi pada minit ke-60 untuk gol kedua Kelantan.
Yuksel kemudian merapatkan jurang gol buat T-Team apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 selepas Ahmad Fakri Saarani menjatuhkan Ahmad Syamim di dalam kotak penalti.
Kelantan mengesahkan kemenangan apabila Indra Putra mudah menampan masuk bola hantaran lintang daripada Mohd Badhri pada masa kecederaan.
www.sports247.my
***
TRW Benam T-Team
Kota Bharu: Selepas tewas dua kali berturut-turut, Kelantan kembali menceriakan peminat setia mereka apabila melakar kemenangan 3-1 ke atas T-Team dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, malam tadi.
Kemenangan itu bagaimanapun masih belum cukup buat skuad kendalian Bojan Hodak memburu tempat dalam kelompok lima teratas apabila sekadar menghuni tangga kesembilan liga dengan 17 mata selepas mengharungi 14 perlawanan.
Pada aksi malam tadi, penyerang import skuad The Red Warriors (TRW) , Dickson Nwakaeme meletakkan pasukan itu di depan selepas menyempurnakan sepakan penalti minit ke-31 hasil terjahan kasar pemain T-Team, Hasan Basri ke atas Indra Putra Mahayuddin di dalam kotak penalti.
Farhan cetus impak
Bersambung babak kedua, kemasukan penyerang Kelantan, Norfarhan Mohamad menggantikan Dickson mencetuskan impak positif apabila dia meledak gol kedua pasukan selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada kapten, Badhri Radzi pada minit ke-60.
T-Team yang tertekan selepas ketinggalan dua gol berjaya merapatkan jurang menerusi penyerang import, Ibric Yuksel pada minit ke-80. Namun, Indra Putra melenyapkan harapan T-Team menyamakan kedudukan apabila melengkapkan gol ketiga Kelantan minit-minit akhir permainan.
Bagi aksi seterusnya, Kelantan akan melayan kunjungan FELDA United di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, 7 Mei ini.

Sumber : Bharian
***
SYABAS!!!!! TRW 3-1 TGANU T TEAM...TRW MEMPAMERKAN PERMAINAN CANTIK TAPI BOLEH PERBAIKI LAGI..PERLAWANAN AKAN DATANG MENENTANG MYANMAR AYEYAWADY UTK MENENTUKAN JUARA KUMPULAN..TERUSKAN KECEMERLANGAN KLATE KITA..  
Saturday at 27/4/2013  Kampong Bunut Payong, Kelantan