16 April 2013

Piala FA 2013: Suku Akhir 2 (Sarawak Vs Kelantan)

Kelantan Mahu Ubati Luka

Kemaskini pada April 16, 2013
KOTA BHARU – Selepas tumbang 1-3 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada saingan Liga Super di tempat sendiri, Sabtu lalu, Kelantan mahu bangkit melupakan kekecewaan dengan menjadikan Sarawak sebagai mangsa apabila kedua-dua pasukan berentap pada suku akhir kedua Piala FA di Stadium Negeri, Kuching malam ini.
Pasukan Red Warriors menganggap bekalan satu gol, hasil kemenangan 2-1 pada suku akhir pertama sebelum ini menjadi tonik berguna untuk dibawa ke Kuching.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, meskipun bakal berdepan laluan sukar, beliau optimis pasukannya mahu meraih kemenangan ke atas Sarawak.
“Kita akan cuba dapatkan gol awal pada perlawanan tersebut. Jika kita berjaya menjaringkan gol awal, ia pasti memberikan kelebihan kepada Kelantan sekali gus menyukarkan tugas mereka.
“Begitu, berhadapan Sarawak bukan satu tugas mudah. Mereka mempunyai pertahanan yang bagus dan terbukti hanya lima gol sahaja dilepaskan dalam saingan Liga Perdana setakat ini,” katanya semalam.
Hodak memberitahu, pasukanya bakal mendapat semula sentuhan tonggak kentalnya Obinna Nwaneri yang terpaksa diketepikan akibat penggantungan ketika bertemu ATM, Sabtu lalu.
Selain itu, beliau turut gembira apabila mendapat semula sentuhan seorang lagi tonggak pertahanan, Farisham Ismail yang pulih selepas berehat panjang akibat kecederaan.
“Meskipun kehilangan Daudsu Jamaluddin yang mengalami kecederaan hamstring (pelipat lutut) pada perlawanan Sabtu lalu, kembalinya dua tonggak ini memantapkan lagi benteng pertahanan Kelantan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak berkata, beliau masih belum memutuskan siapakah yang akan digandingkan di bahagian serangan Kelantan selepas penyerang importnya, Dickson Nwakaemi mengadu sakit belakang.
“Bagaimanapun, saya mempunyai banyak pilihan di bahagian serangan dengan adanya pemain seperti Norfarhan Mohammad, Indra Putra Mahyuddin atau Ahmad Fakri Saarani,” tegasnya.
***
Malam ni 16/4/2013 jam 8.15pm TRW akan menentang Sarawak di Stadium Negeri, Kuching bg perlawanan ke-2 pusingan suku akhir Piala FA 2013 dgn bekalan 2-1 game di Kota Bharu, dgr khabar tiada live di Astro - abe yie www.kelate.net

No comments: