27 April 2013

MSL: # 14 Kelantan Vs T-Team

Penyokong Mahu Kelantan Bangkit
KOTA BHARU, 27 April 2013– Kelantan akan meneruskan saingan mereka dalan pusingan ke 2 Liga Super malam ini bertemu pasukan dari negeri jiran, PBDK T-Team di Kota Bharu.
Kelantan memulakan saingan pusingan ke 2 Liga Super dengan keputusan yang kurang memberangsangkan apabila tewas kepada ATM 1-3 (13 April) dan PKNS FC 1-2 (19 April). Perlawanan terakhir pasukan di kejohanan AFC, menentang Maziya Sports and Recreational Club di Male juga tidak berpihak kepada mereka apabila tewas dengan jaringan yang agak besar 1-6 kepada pasukan lawan.
Kemenangan terakhir Kelantan adalah ketika melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala FA apabila menewaskan Sarawak 2-1 16 April lalu di Kuching. Kelantan layak mara ke pusingan separuh akhir dengan agreget kemenangan 4-1 ke atas Sarawak daripada dua perlawanan suku akhir berkenaan.
Walaupun bermain di gelanggang sendiri, pertemuan dengan T-Team tidak boleh dipandang mudah setelah rekod cemerlang Kelantan selama lebih 2 musim tanpa tewas di Kota Bharu, dipadam oleh ATM.
Sewaktu meninjau persiapan T-Team dalam sesi latihan di Kota Bharu petang semalam, mereka dilihat berada di tahap kecergasan yang baik. Manakala pemain import terbaru mereka Damir Ibric dari Bosnia Herzegovina menjadi sandaran untuk T-Team melakukan kejutan terhadap Kelantan setelah beraksi cemerlang dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
Ibric menggantikan pemain import sebelum ini, Caleb Folan yang ditamatkan kontrak selepas tamat pusingan pertama Liga Super.
Manakala di kem Kelantan, pengalaman pahit di Maldives dijadikan sandaran untuk bangkit semula ketika menentang  T-Team malam ini.
Kehadiran Dickson dan Obinna ditagih oleh penyokong-penyokong. Fakri Saarani dan Faiz Subri juga dilihat bersedia untuk berganding dengan rakan-rakan sepasukan. Norfarhan dan Indra Putra walaupun berkongsi rasa kecewa keputusan di Maldives tetap akan memberi yang terbaik dalam aksi malam nanti.
Daudsu Jamaludin walau bagaimanapun terpaksa melupakan hasrat untuk bermain dalam perlawanan tersebut kerana masih mengalami kecederaan “hamstring” yang dialami ketika beraksi dalam perlawanan menentang ATM di Kota Bharu. Melihat dari keadaan beliau, Daud mungkin akan dapat beraksi ketika pertemuan dengan Felda United 7 Mei nanti.
Perlawanan pusingan ke 2 Liga Super, Kelantan dan Terengganu PBDKT T-Team akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV Kota Bharu jam 8.45 malam ini. 

No comments: