16 December 2012

Perlu Lakukan Perubahan!

Skuad Malaysia 1990-an
Oleh HUSSAINI AMRAN (16-12-2012)@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kegagalan Malaysia melepasi separuh akhir Piala Suzuki AFF menuntut ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal melakukan pembaharuan terhadap skuad Harimau Malaya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Rajagobal perlu menggunakan pendekatan dan corak permainan baharu bagi memastikan skuad bola sepak negara mempamer prestasi lebih baik apabila menghadapi kelayakan Piala Asia, Februari nanti.
Tegasnya lagi, perubahan harus dibuat untuk mengekalkan keyakinan rakyat terhadap skuad Harimau Malaya yang memuncak selepas kejayaan merangkul tiga kejuaraan sejak beberapa tahun lalu (Sukan SEA 2009, 2011 dan Piala AFF 2010).
''Pada masa ini, kita dapat melihat penggunaan corak permainan ala Sepanyol membantu prestasi pasukan Filipina dan Vietnam naik secara mendadak.
"Begitu juga dengan pemain Thailand yang lebih cekap mengawal bola dan memiliki kemahiran individu tinggi berbanding kita.
''Rajagobal seharusnya menggunakan kaedah baharu bagi memperbaiki prestasi pasukan bola sepak negara.
"Beliau tidak boleh menyerah dengan mengatakan pasukannya pernah menang dahulu, maka mereka boleh menang lagi pada masa akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis perkahwinan anak perempuannya di Kompleks Sukan Bukit Kiara di sini semalam.
Ahmad Shabery turut meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menambah baik program pembangunan bola sepak tempatan termasuk sistem liga yang digunakan sekarang.
Namun, beliau berpandangan adalah tidak adil bagi mana-mana pihak untuk mendesak Rajagobal meletak jawatan susulan kegagalan membawa skuad Harimau Malaysia ke peringkat akhir Piala AFF Suzuki tahun ini.
''Rajagobal telah membuktikan kecemerlangan secara berterusan dengan kejayaannya membimbing Malaysia menjuarai pertandingan bola sepak dalam temasya Sukan SEA sebanyak dua kali selain berjaya membawa pulang Piala AFF Suzuki pada 2010," ujarnya.
*** 
Turun Padang Raja!
KUALA LUMPUR - Bekas jurulatih negara, Abdul Rahman Ibrahim menasihatkan Datuk K. Rajagobal agar lebih kerap berinteraksi secara bersemuka dengan jurulatih Liga Malaysia apabila memilih dan memanggil anak buah mereka ke kem latihan skuad negara.

Katanya, jurulatih Harimau Malaya itu perlu mendapatkan maklum balas terus daripada jurulatih pasukan pemain yang mahu disenaraikan dan bukan sekadar datang menonton aksi mereka dari jauh di tempat duduk stadium, apatah lagi cuma yang berlangsung sekitar di Lembah Klang.
Kata Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia, semalam, “Ibaratkan kami jurulatih Liga M ini penolongnya. Dapatkan maklum balas mengenai pemain kerana kami lebih dekat dengan mereka.
“Selalulah juga berinteraksi dengan kami dengan turun padang meninjau sesi latihan secara menyeluruh.
“Janganlah asyik berlegar di Shah Alam, Kuala Lumpur dan Bukit Jalil dengan cuma menonton perlawanan mereka, tetapi pergilah ke lebih banyak tempat atau secara menyeluruh yang melibatkan pasukan lain juga," katanya yang pernah melatih skuad negara dari 1998 hingga 2000.
Abdul Rahman, 66, mengulas kegagalan Harimau Malaya mempertahankan Piala Suzuki AFF 2012 selepas disekat Thailand secara agregat 3-1 pada separuh akhir, Khamis lalu yang dianggap ramai pengkritik banyak berpunca daripada kesilapan dalam pemilihan pemain.
Namun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad kelmarin mempertahankan Rajagobal untuk terus menerajui Harimau Malaya sehingga kontraknya berakhir Disember tahun depan termasuk bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia mulai Februari ini.
Kata Abdul Rahman, Rajagobal lebih terdedah dengan suasana perlawanan antarabangsa tetapi maklum balas dan pendapat daripada lebih ramai jurulatih Liga M mungkin mampu membantunya dalam menyaring pemain yang benar-benar terbaik untuk menyarung jersi negara.
“Selaku jurulatih yang lebih dekat dengan prestasi semasa pemain tempatan, kami mahu menolongnya.
“Kami berharap dia selalu turun padang (menemui jurulatih Liga M) tetapi kalau dia yang tidak mahu, tidak mengapalah," kata bekas jurulatih Terengganu, Perlis, Selangor, TNB Kelantan, Deltras Sidoarjo Indonesia dan kini PKNS.
Beliau berpendapat, kebanyakan pemain skuad negara sekarang khususnya Piala Suzuki AFF 2012 yang dipilih hanya kerana mereka sudah dikenali Rajagobal sejak bermain di bawah bimbingannya dalam skuad bawah umur kebangsaan kira-kira lapan tahun lalu.
“Jadi mana perginya eksperimennya dengan lebih 50 atau 70 pemain yang dipanggil (menjalani latihan dan siri persahabatan antarabangsa, tahun ini)?
“Kenapa balik-balik orang yang sama, diturunkan bermain walaupun mereka yang tetap gagal menyerlah?" kata Abdul Rahman.
***
Rajagobal Kena 'Buka Mata'
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN@dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Perjuangan Harimau Malaya dalam Piala Suzuki AFF 2012 berakhir setakat separuh akhir kepada Thailand di Stadium Supachalasai Bangkok, Khamis lalu setelah tersingkir dengan agregat 1-3.
Bukan satu yang mengejutkan Harimau Malaya tidak mampu melakar satu lagi sejarah kerana banyak kelemahan ketara telah dipamerkan sebelum kejohanan bermula selain kekuatan skuad Gajah Perang seyang mengalahkan Malaysia 2-0 pada aksi separuh akhir kedua tempoh hari.
Biarpun nada Datuk K. Rajagobal tetap berpuas hati dengan layak ke separuh akhir, hakikatnya perlu ada pembaharuan besar salam skuad.
Perkara utama ialah soal pemilihan pemain yang sesuai terutama dalam menghadapi kelayakan Piala Asia 2015, Februari ini.
Jika beliau masih mahu menggunakan pemain yang berdasarkan reputasi semata-mata tanpa mengambil kira prestasi semasa, tiada apa lagi yang boleh diharapkan pada kejohanan lain nanti.
Perancangan taktikal Rajagobal juga boleh dipersoalkan semasa bertemu Thailand baru-baru ini apabila Rajagobal lambat mengeluarkan S. Kunanlan yang tidak berfungsi pada sayap kiri selain berani mempertaruhkan Amar Rohidan di posisipertahanan tengah selepas Mohd. Fadhli Shas dikenakan kad merah.
Keputusannya itu membantu Thailand mendapatkan gol sulung melalui Teerasil Dangda pada minit ke-59 hasil kesilapan Amar yang gagal mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.
Kelemahan utama Harimau Malaya sepanjang kempen Piala Suzuki AFF adalah bahagian tengah yang diterajui oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan dan dua pemain ini juga paling kurang menyerlah ketika menentang Thailand di Stadium Supachalasai.
Memegang watak selaku jeneral di atas padang, Safiq tidak mampu memainkan peranan selaku perancang malahan gagal membantu Norshahrul Idlan Talaha yang terkapai-kapai berseorangan pada bahagian serangan.
Hantaran Safiq kepada rakan sepasukan kurang tepat dan kemerosotan prestasi bakal pemain Johor itu menimbulkan tanya tanya, selain hanya berperanan ketika sepakan percuma dan sepakan sudut.
Amar masih tidak mampu memberikan sebarang impak dan kehadirannya di atas padang tidak ubah selaku pemerhati, kecuali sesekali membantu ketika keadaan bertahan.
Selain daripada itu, faktor kecederaan pemain utama seperti Safee Sali, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Shakir Shaari menjejaskan Harimau Malaya, selain kekurangan pengganti yang setanding.
Azamuddin Akil jelas tidak mampu menandingi apa yang dilakukan oleh Wan Zack pada bahagian sayap kanan.
Gary Steven Robbat masih memerlukan masa jika hendak mempamerkan keberkesanan yang ditunjukkan oleh Shakir.
Kunanlan, yang baru sembuh daripada kecederaan pangkal paha sebelum bertemu Thailand juga menghampakan kerana tidak mempamerkan prestasi seperti kejohanan dua tahun lalu.
Penggantungan Rajagobal terhadap Safee begitu ketara apabila bekas penyerang Pelita Jaya itu bergelut dengan masalah kecederaan, dia masih tidak mahu mengambil risiko menggunakan khidmat Ahmad Hazwan Bakri atau Ahmad Fakri Saarani.
Norshahrul memainkan peranannya dengan cukup baik selaku penyerang tunggal dalam dua perlawanan separuh akhir serta aksi peringkat kumpulan kecuali semasa bertemu Singapura.
Cuma satu sahaja masalahnya ialah kelajuan Norshahrul di atas padang tidak sama lagi seperti dahulu.
Kurang mendapat hantaran berkualiti, tidak banyak harapan boleh disandarkan kepada Norshahrul.
Satu boleh dipuji ialah barisan pertahanan yang diterajui Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd. Fadhli Shas selain Mahalli Jasuli, Bunyamin Umar dan Zubir Azmi kerana persefahaman mereka cukup mantap.
Selepas bocor sebanyak tiga kali ketika bertemu Singapura, tiada lagi sebarang kelemahan terlalu ketara dipamerkan apabila menang ke atas Laos, Indonesia dan separuh akhir pertama dengan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Prestasi Mohd. Farizal Marlias wajar diberikan pujian terutama dalam dua aksi separuh akhir dan membuktikan mengapa dia wajar diangkat sebagai penjaga gol No. 1 negara.
Apa-apa pun, kuasa memilih pemain tetap terletak di tangan Rajagobal.
Beliau lebih bijak memilih pemain yang dirasakan berhak berada dalam skuad kebangsaan dan jika pemain itu kurang menonjol, dia sepatutnya tahu mengapa ia berlaku.
Rajagobal perlu lebih membuka mata mencari pemain bersesuaian kerana masih ada permata dalam Liga Malaysia, selain beliau perlu lebih bijak merencanakan taktikal bersesuaian.
Semoga kita tidak berputih mata sekali lagi pada kelayakan Piala Asia 2015 kerana ia menjadi sasaran utama pengendali berumur 56 tahun berkenaan.
Jika gagal untuk layak, dia juga mungkin berputih mata apabila menyentuh masa depannya selaku jurulatih Harimau Malaya.
Sumber : utusan.com.my
***
Apa Tunggu Lagi ... 

Syukor Salleh
Kuala Lumpur: "Jika seseorang itu tahu erti tanggungjawab dan perasaan bersalah, dia akan letak jawatan," demikian tegas bekas pemain negara, Shukor Salleh semalam ketika mengulas desakan ramai yang mahu pengendali skuad kebangsaan Datuk K Rajagobal meletak jawatan.
Desakan itu timbul selepas skuad Harimau Malaya tunduk 3-1 secara agregat kepada Thailand di separuh akhir sekali gus gagal mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu.
Shukor yang menjadi pemain kedua di belakang Datuk Soh Chin Aun yang paling banyak mewakili negara dengan 215 kap mengakui sebenarnya tidak ada peningkatan dipamerkan skuad Harimau Malaya sejak menjulang Piala Suzuki AFF.
Saya lihat pasukan tidak menunjukkan sebarang peningkatan baru, baik dari segi corak permainan dan keyakinan diri. Berbeza dengan Thailand, mereka mempunyai keyakinan tinggi” Shukor Salleh, Bekas pemain kebangsaan.
“Saya lihat pasukan tidak menunjukkan sebarang peningkatan baru, baik dari segi corak permainan dan keyakinan diri. Berbeza dengan Thailand, mereka mempunyai keyakinan tinggi dan sebab itu mereka mampu beraksi dengan hantaran cantik serta pada masa sama melancarkan serangan.
“Semua elemen itu kita masih tidak ada, apalagi, berdepan situasi bermain dengan 10 pemain, usaha perlu dipertingkatkan dan strategi bertahan seharusnya tidak digunakan, perlu ada taktik serta serangan,” katanya semalam.
Jurulatih wajar undur
Shukor yang pernah digelar ‘Mr Cool’ kerana ketenangan dalam mengemudi jentera tengah skuad kebangsaan dan pernah dinobatkan Olahragawan Kebangsaan 1977 mengakui setiap jurulatih harus bertanggungjawab atas kekalahan skuad bimbingannya.
“Gagal itu tanggungjawab jurulatih tetapi kalau tidak silap dia (Rajagobal) masih ada KPI (Indeks Prestasi Utama) dengan Persatuan Bola Sepak (FAM) untuk layak ke Piala Asia 2015. Jadi, terpulang kepada individu, sama ada tahu erti tanggungjawab atau tidak,” katanya.
Rajagobal, 56, yang sebelum ini melakar dua saat manis bola sepak negara dengan memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 masih mempunyai baki kontrak bersama FAM sehingga hujung 2013.
Sumber : Bharian 
***  
Ada yang minta saya komen KEGAGALAN MSIA PERTAHAN SUZUKI CUP...Jawapannya TAK PERLULAH SAYA KOMEN SEKARANG...Ada pula yg tanya apakah Dato K RG patut di tukar...Jawapannya NO COMMENT...dan ada yg tanya ADAKAH KITA KALAH KERANA REFEREE...JAWAPANNYA...he..he..he..Auuuuum!!......

No comments: