24 June 2013

MSL: # 20 Kelantan Vs Pahang

Kelantan Yakin Pintas Pahang
KOTA BHARU – Pemain sayap Kelantan, Mohd. Faiz Subri mengakui pasukannya kini berada pada landasan tepat untuk berada dalam kedudukan lima terbaik dalam saingan Liga Super musim ini.
Mohd. Faiz berkata, kemenangan 4-0 ke atas Terengganu dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, Jumaat lalu menghidupkan semula peluang Kelantan dengan baki tiga perlawanan sebelum saingan liga ditamatkan musim ini.
Menurut Mohd. Faiz, pertemuan dengan Pahang di Stadium Sultan Muhammad IV Selasa ini mahu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengutip mata penuh.
“Jumlah pungutan mata kita dengan pasukan Pahang tidak banyak beza. Kemenangan ke atas Pahang pada perlawanan ini membuka peluang kita untuk memintas mereka.
“Begitupun Pahang bukanlah pasukan mudah untuk ditundukkan. Mereka pasti akan bangkit selepas tumpas mengejut pada perlawanan tempoh hari,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Tambah Mohd. Faiz, dia dan rakan sepasukan sudah bersedia untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan itu, seterusnya menghadiahkan tiga mata buat Kelantan.
Kelantan yang berada di kedudukan keenam dalam carta liga berpeluang memintas Pahang jika menang pada perlawanan tersebut.
Kedua-dua pasukan ini hanya dibezakan dengan dua mata selepas Kelantan mengumpul 27 mata dan Pahang 29 mata.
Dalam perkembangan lain, anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu mengakui, jaringan yang dilakukan pada pertemuan dengan Terengganu tempoh hari menguatkan lagi azamnya untuk meledakkan lebih banyak gol pada perlawanan berikutnya.
“Sebagai pemain bola sepak, jaringan gol amat penting dan ia merupakan satu lonjakan semangat untuk terus memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas ini,” ujarnya.
***
Kelantan Tekad Tumbangkan Pahang
KOTA BHARU - Kelantan bertekad mahu menumbangkan Pahang pada aksi Liga Super di gelanggang sendiri malam ini, sebagai bekalan moral menjelang aksi final Piala FA, Sabtu ini.
Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, kemenangan ke atas Pahang amat penting sebagai motivasi kepada pasukannya menjelang pertemuan akhir Piala FA nanti.
Menurut Hodak, perlawanan ini merupakan sebahagian daripada rangka persiapan akhir pasukan menjelang perhitungan dengan Johor Darul Takzim bagi merebut kejuaraan Piala FA.
"Jadi kita perlu menang pada perlawanan ini. Kemenangan ke atas Pahang akan melonjakkan lagi semangat barisan pemain menjelang aksi akhir itu nanti.
"Selain itu, kita mahu mengekalkan rentak kemenangan pada perlawanan ini serta mengutip mata penuh bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga musim ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Dalam pada itu, Hodak, tetap waspada ancaman skuad Tok Gajah memandangkan mereka pernah tumbang dalam aksi sebelum ini.
"Pahang sebuah pasukan yang hebat, mereka ada ramai pemain berbakat dan mempunyai pengalaman luas dalam saingan liga," ujarnya.
***
Kelantan Makin Berselera
SELEPAS berjaya membelasah Terengganu 4-0 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Jumaat lalu, Kelantan semakin bersemangat meneruskan momentum kemenangan.
Kini The Red Warrios mahu menjadikan Pahang sebagai mangsa terbaharu apabila melayan kunjungan skuad Tok Gajah itu pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Bagaimanapun, jurulatih Kelantan, Bojan Hodak mengakui pertemuan menentang Pahang bukan tugas yang mudah, apatah lagi barisan kendalian Dollah Salleh itu pasti mahu bangkit selepas tewas mengejut 1-2 kepada Perak di Kuantan Sabtu lalu.
Hodak percaya Pahang sudah pasti mahu menebus kembali kekalahan itu ketika menentang Kelantan, sekali gus mengembalikan keyakinan penyokong Tok Gajah.
Menurutnya, Pahang memiliki kelebihan apabila mempunyai barisan pemain tengah yang cukup baik, seterusnya mampu memberi kesulitan kepada benteng pertahanan Kelantan.
“Pahang merupakan pasukan yang baik, pada saya mereka mempunyai barisan pemain tengah yang baik, mungkin yang terbaik di Malaysia.
“Penyerang mereka juga cukup baik dengan barisan pertahanan yang hampir sempurna. Saya melihat ini merupakan perlawanan yang agak sengit.
“Masalah besar saya adalah untuk memotivasikan para pemain supaya mental mereka fokus pada perlawanan ini kerana saya tahu sebahagian daripada mereka sedang menumpukan perhatian untuk persediaan perlawanan akhir Piala FA nanti,” kata Hodak ketika ditemui semalam.
Tambahnya, kehadiran Damian Stewart di barisan pertahanan Pahang juga menyulitkan kerja jentera serangan Kelantan.
“Walaupun pergerakan dia (Stewart) agak perlahan tetapi dia mempunyai pengalaman yang luas serta memiliki kekuatan ketika perebutan bola di udara.
“Dia juga memiliki kelebihan dalam situasi set pieces selain cekap mengendalikan barisan pertahanan Pahang,” kata Hodak.
Ketika ditanya sama ada akan mengekalkan kesebelasan utama ketika menentang Terengganu, Hodak tidak menolak kemungkinan bakal melakukan beberapa perubahan selepas kembalinya beberapa pemain daripada menjalani tempoh penggantungan dan masalah kecederaan.
“Saya perlu melihat keadaan beberapa pemain dan saya akan membuat keputusan. Kemungkinan Nik Shahrul Azim (Abdul Halim) dan Daudsu (Jamaluddin) akan kembali dalam pasukan selepas digantung.
“Farisham (Ismail) juga beraksi dengan baik, dia semakin cergas dan beraksi dengan baik.
“Saya akan mencari kesebelasan yang terbaik dan jika semua baik mungkin tidak perlu melakukan banyak perubahan,” ujarnya.
***
Kelantan Cari Bekalan Semangat
Penyandang juara, The Red Warriors mahu mencari bekalan semangat pada perlawanan akhir Piala FA, Sabtu ini dengan menewaskan Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, 25/6/2013 ini, lapor MAZRAM IDZAM RIDZAL MAHMUD.
Pengendalinya, Bojan Hodak berkata, kemenangan pada pertemuan ini bukan sahaja membolehkan Kelantan memintas skuad Tok Gajah, malah lebih penting menyuntik moral anak buahnya menjelang pertemuan menentang Johor Darul Takzim nanti.
“Semua orang tahu Pahang merupakan pasukan kuat dan seimbang di segenap posisi. Tetapi saya yakin, selepas menang besar ke atas Terengganu, kami mempunyai peluang cerah tamatkan saingan di kedudukan lima pasukan teratas selain pertahan kejuaraan Piala FA.
“Tetapi masalah besar saya ialah bagaimana mahu motivasikan semua pemain agar fokus pertemuan esok (malam ini) kerana fikiran mereka terarah pada perlawanan akhir Sabtu ini,” katanya.
Bagi merealisasikan hasrat itu, pengendali Croatia itu mengarahkan anak buahnya menyekat dua awang import Pahang, Damion Delano Stewart dan Matias Conti andai tidak mahu berputih mata di hadapan penyokong sendiri.

No comments: