20 June 2013

MSL: # 19 Terengganu Vs Kelantan

Azizi Idam Kesebelasan Utama

TONGGAK pertahanan The Red Warriors, Azizi Matt Rose bersedia beraksi berdepan Terengganu, Jumaat ini selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
Beliau yang cedera pada hamstring ketika pertemuan separuh akhir pertama Piala FA, Kelantan menentang Terengganu di Kota Bharu, pada 25 Mei lalu, juga bersedia merampas posisi yang lama ditinggalkan.
“Tempoh rehat selama tiga minggu membolehkan saya mendapat rawatan dan pulih dalam jangka masa ditetapkan.
“Saya cukup bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama Kelantan malam esok. Namun bergantung kepada jurulatih untuk tentukan sama ada saya disenaraikan atau tidak,” katanya.
Menjelang pertemuan Liga Super menentang Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam esok, TRW terpaksa beraksi tanpa kelibat pertahanan Mohd Daudsu Jamaludin dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim yang digantung perlawanan.
Bagi Azizi, pertembungan itu amat penting sebagai tonik berharga sebelum membuat perhitungan dengan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA, 29 Jun ini.
“Kami bukan sahaja mahu menebus kekalahan 2-4 pada separuh akhir kedua Piala FA yang menyaksikan Kelantan hampir tersingkir, tetapi juga mahu perbaiki kedudukan liga,” katanya.
***
Info # Game 19
Terengganu vs Kelantan
Stadium Sultan Nasiruddin Shah,Kuala Terengganu,
21 Jun 2013, (Jumaat)
8.45 mlm
***
Kelantan tanpa 'Kereta Kebal"
Kota Bharu: Kelantan akan turun tanpa kelibat pemain pertahanan kental yang juga dianggap sebagai ‘kereta kebal’, Mohd Daudsu Jamaluddin kerana mengutip enam kad kuning menjelang pertemuan Liga Super menentang pasukan jiran, Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, malam ini.
Selain Mohd Daudsu, seorang lagi pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab Halim juga tidak dapat diturunkan kerana turut digantung satu perlawanan selepas mengutip enam kad kuning dalam perlawanan sebelum ini.
Skuad kendalian Bojan Hodak itu dilihat semakin parah selepas pemain berpengalaman, Indra Putra Mahayuddin juga mungkin tidak dapat diturunkan dalam perlawanan malam ini kerana masih dibelenggu masalah kecederaan buku lali.
Daudsu berharap rakan sepasukan dapat beraksi pada tahap terbaik dalam perlawanan malam ini dan mampu memberi mata kepada skuad The Red Warriors (TRW).
Harus sekat Penyu
“Saya yakin pemain yang bakal menggantikan tempat saya dan Nik Shahrul (Azim) di barisan pertahanan dapat bermain baik dan sekali gus tidak memberi tugas mudah kepada barisan serangan Terengganu melancarkan serangan.
“Kelantan sangat memerlukan kemenangan dalam baki empat perlawanan liga untuk memperbaiki kedudukan dan sebagai pemain, memang tidak dinafikan perasaan kecewa apabila tidak dapat membantu pasukan di saat khidmat kita diperlukan,” katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Azman Ibrahim berkata, ketiadaan dua tonggak pertahanan itu sedikit membimbangkan tetapi yakin Hodak ada ramuan terbaik memperkuatkan barisan pertahanan.
“Memang tidak dinafikan ketiadaan Daudsu dan Nik Shahrul Azim sedikit tambahan Indra Putra yang mungkin tak dapat diturunkan. Tapi kami masih ada ramai ramai pemain hebat menggantikan tempat mereka. Saya juga yakin, Hodak akan membuat perubahan terbaiki memastikan kita tidak pulang dengan tangan kosong dari Kuala Terengganu,” katanya.
***
Kelantan Yakin Jinakkan Penyu
BERAKSI tanpa tiga tonggak utama, Kelantan optimis mampu menjinakkan Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, 21/6/2013 ini.
Tanpa kelibat Mohd Daudsu Jamaludin dan Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim digantung perlawanan serta Indra Putra Mahayuddin mengalami kecederaan, pengendalinya, Bojan Hodak percaya  mereka mampu menghadiahkan tiga mata penuh.
“Terengganu terpaksa meletakkan harapan tinggi kepada barisan pemain tempatan, tetapi kami bertandang ke Kuala Terengganu dengan barisan terkuat termasuk kehadiran import, Obinna Nwaneri dan Dickson Nwakaeme.
“Saya tahu rekod Kelantan beraksi di sana tidak begitu bagus namun itu tidak bermakna kami terpaksa tunduk kali kedua kepada mereka musim ini. Paling penting, pemain fokus 100 peratus.
Sementara itu,  kehadiran Azizi Matt Rose dan Nwakaeme yang pulih sepenuhnya daripada kecederaan menguatkan lagi jentera pertahanan dan serangan pasukan.
Namun, Hodak tetap mengingatkan pemain agar tidak memandang rendah kemampuan Terengganu yang pasti menyandarkan harapan kepada Mohamad Ashari Samsudin selaku penyerang berbisa untuk merobek gawang pasukannya.
Terengganu yang akan beraksi buat pertama kali pada sebelah malam dilihat tertekan untuk meraih tiga mata setelah hilang sentuhan Jean Emmanuel Effa Owona dan Abdul Manaf Mamat akibat kad merah dalam aksi separuh akhir Piala FA sementara Vincent Bikana mengumpul enam kad kuning dalam saingan liga.
Menurut Hodak, kekalahan 2-4 pada separuh akhir kedua Piala FA bulan lalu tidak sesekali dijadikan motif membalas dendam, sebaliknya, matlamat utama ialah meraih mata maksimum pada baki empat perlawanan liga itu.
“Matlamat utama adalah pertahanan Piala FA. Tetapi kami mahu akhiri saingan Liga Super di kedudukan terbaik. Semua perlawanan cukup penting, dan kemenangan ke atas Terengganu dan Pahang (Liga Super) bakal menyuntik semangat pemain sebelum bertemu Darul Takzim FC pada 29 Jun ini,” katanya. 

No comments: