29 June 2013

Menjelang Final Piala FA 2013 - (3)

Ini Perang Besar - Fandi

KUALA LUMPUR - ''Ini bukan lagi sebuah perlawanan biasa tetapi adalah satu perang besar,'' Demikian tegas jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Fandi Ahmad menjelang perlawanan akhir Piala FA dengan Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Nada serius yang ditunjukkan oleh Fandi itu jelas menunjukkan yang mahukan kejayaan meraih Piala FA lebih daripada segalanya dengan membenam juara bertahan, Kelantan sebagai trofi sulung Johor DT pada musim ini malahan lebih selesa dengan gelaran underdog yang diberikan kepada pasukan bimbingannya.
Tidak cemas dengan tahap kecederaan yang dialami beberapa pemainnya, bekas pemain kebangsaan Singapura itu memberikan amaran jangan sesekali memperlekehkan semangat juang Harimau Selatan yang telah menunjukkan karakter tersendiri dalam beberapa perlawanan pusingan awal Piala FA sebelum ini semasa menentang Perak, Kedah, Selangor dan Pahang dalam perjalanan meniti ke perlawanan akhir.
''Biarlah mungkin ada orang kata pasukan kami ini banyak bernasib baik kerana menang dua kali melalui penentuan sepakan penalti, namun semangat semua pemain sebenarnya cukup tinggi dan mereka mempunyai kualiti untuk melawan.
''Lihatlah bagaimana mereka bangkit daripada ambang kekalahan beberapa kali, saya percaya dengan kerja keras dan tahap disiplin yang mereka pamerkan, kami telah bersedia untuk menghadapi perlawanan ini
''Misi kami adalah untuk menumbangkan Kelantan walaupun tahu mereka adalah pasukan pilihan tetapi kami telah bersedia untuk membuat kejutan kali ini," katanya pada sidang akhbar perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor DT di Bukit Jalil, semalam.
Tambah Fandi, dia tidak berasa cemas dengan tahap kecederaan beberapa pemain malahan mengakui dia hanya akan menurunkan mereka yang benar-benar bersedia dan tiada tempat buat mereka yang hanya berada di sekitar 60 ke 70 peratus tahap kecergasan.
''Selepas latihan kali terakhir, mungkin saya akan membuat keputusan siapakah yang akan berada kesebelasan utama dan hanya mereka yang berada di tahap kecergasan 100 peratus sahaja akan diturunkan, tiada tempat buat pemain yang tidak bersedia," katanya.
***
JDT Yakin Cipta Sejarah
JURULATIH Johor Darul Takzim (JDT), Fandi Ahmad  meletakkan keyakinan yang tinggi bahawa pasukannya mampu mencipta kejutan ke atas Kelantan dalam perlawanan akhir Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Fandi berkata, keyakinan itu dilihat berdasarkan semangat dan komitmen yang tinggi ditunjukkan pemain setakat ini.
"Kelantan adalah pasukan pilihan di final esok namun saya tetap  optimis dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pemain yang bakal diturunkan kelak.
"Bagaimanapun kami tidak akan memandang rendah terhadap kemampuan The Red Warriors (TRW) memandangkan pasukan itu telah beberapa kali beraksi di pentas final.
"Cuma apa yang boleh saya cakap, kami akan berjuang habis-habisan pada perlawanan akhir nanti," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bukit Jalil, semalam.
Mengulas mengenai barisan utama yang akan diturunkan hari ini, Fandi bagaimanapun memberitahu bahawa beliau belum membuat keputusan siapa barisan pemain yang akan beraksi dalam kesebelasan utama.
"Setakat ini (semalam) masih belum ada keputusan, saya ingin melihat dulu aksi latihan petang ini dan selepas itu saya akan membuat keputusan.
"Namun saya mengharapkan siapa sahaja akan diturunkan nanti akan mempamerkan aksi terbaik, berdisiplin dan bekerja keras sehingga ke akhir perlawanan.
"Ini kerana ini adalah masa terbaik untuk kami mencipta sejarah setelah 15 tahun menunggu," jelas beliau.
Dalam pada itu, Fandi juga mahu perlawanan menentang Kelantan malam ini akan ditamatkan dalam tempoh 90 minit.
Menyedari tentangan sengit bakal diberikan pasukan Kelantan, Fandi berharap barisan pemain memanfaatkan segala peluang dalam tempoh tersebut bagi membolehkan mereka mendakap trofi tersebut.
“Saya mahu perlawanan berakhir dalam tempoh itu. Penentuan pemenang tak perlu berakhir dalam masa tambahan atau sepakan penalti.
“Kita tiada pilihan selain perlu kalahkan mereka. Pemain tak boleh alpa, sebarang kesilapan hanya akan merugikan kita," ujarnya lagi.
***
Semangat Farhan Berkobar-Kobar
MUSIM lalu, beliau antara pemain yang menyumbang jumlah gol yang agak banyak untuk pasukan Kelantan pada saingan Piala FA namun, nasibnya tidak begitu baik apabila hanya sekadar menjadi penonton tatkala rakan sepasukannya meraikan kemenangan menewaskan Sime Darby untuk merangkul kejuaraan Piala FA.
Semuanya gara-gara memungut kad kuning kedua ketika aksi separuh akhir ketika menentang Selangor dan ia menyebabkan Norfarhan Muhammad terpaksa akur dengan peraturan yang ditetapkan menyebabkan dia digantung satu perlawanan sekali gus terlepas aksi final.
Musim ini, beliau antara watak penting dalam kesebelasan utama Kelantan yang berjaya membawa pasukan tersebut sekali lagi menjejakkan kaki ke pentas perlawanan akhir namun, skripnya berbeza apabila beliau tidak berdepan sebarang masalah untuk disenaraikan.
Beraksi pada perlawanan akhir ditambah pula lawan yang bakal ditentang antara pasukan terbaik dalam negara, nyata auranya cukup berbeza dan cukup untuk membuatkan beliau dan rakan-rakan sepasukan kini bersaing hebat untuk disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Menurutnya, ketua jurulatih, Bojan Hodak sudah pasti akan menurunkan pasukan terkuat bagi memastikan kemenangan musim lalu dapat diulangi sekali lagi selain beliau juga mahu melengkapkan detik penting sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak profesional untuk beraksi di pentas sebesar itu.
"Final kali ini cukup bermakna untuk saya sekiranya disenaraikan untuk beraksi, musim lalu saya terlepas peluang kerana digantung. Pada aksi final 2009, saya menjaringkan gol biarpun kita tewas kepada Selangor menerusi sepakan penalti dan kali ini, saya berhasrat untuk sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada perlawanan akhir.
"Pertembungan Kelantan dengan Johor DT merupakan detik yang sentiasa ditunggu peminat, kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan seimbang dan pertembungan ini akan membuktikan siapa lebih baik," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Katanya, beliau dan rakan-rakan kini sudah bersedia dan dua kemenangan Liga Super menentang Pahang dan Terengganu baru-baru ini melonjakkan lagi momentum pasukan dan berjanji untuk memberikan yang terbaik untuk seluruh peminat The Red Warriors.
Jelasnya, persediaan mental cukup penting untuk berdepan puluhan ribu penyokong sendiri dan lawan kerana secara fizikal tidak begitu banyak yang membezakan namun, pasukan yang memiliki kekuatan mental, mampu bertahan untuk memenangi perlawanan.
"Saya fikir semua pemain menyedari perkara tersebut. Bukan mudah beraksi pada tahap setinggi itu terutama apabila puluhan ribu penonton membanjiri stadium untuk melihat kita beraksi dan ia sudah tentu memerlukan kekuatan mental.
"Di sini, kita mempunyai sedikit kelebihan berbanding Johor DT biarpun mereka mempunyai ramai pemain bintang, pemain-pemain yang kita ada sebahagian besarnya pernah beraksi empat atau lima kali di pentas perlawanan akhir, ia mungkin membantu kita untuk lebih tenang," ujarnya.

No comments: