Selangor Malukan Johor DT
KUALA LUMPUR 9 Mac 2013- Selangor yang bermain dengan 10 orang membelasah
Johor Darul Takzim FC 4-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam
sebentar tadi.
Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain apabila Peter Chrappan
dilayangkan kad kuning kedua pada awal babak kedua.
Sementara itu, Lions XII menundukkan Kelantan 1-0 di Stadium Jalan Besar,
Singapura. – UTUSAN
***
Selangor Belasah Harimau Selatan
Oleh FERZALFIE FAUZIferzalfie.fauzi@utusan.com.my
SHAH ALAM - Selangor membuktikan Johor Darul Takzim masih
lagi pasukan 'biasa' walaupun dengan kehadiran barisan bintang apabila mencatat
kemenangan besar 4-1 dalam saingan Liga Super di sini, semalam.
Stadium Shah Alam menjadi saksi kehebatan Selangor yang bukan sahaja meraih
tiga mata penuh tetapi memintas kedudukan Johor dan berkongsi mata dengan Angkatan
Tentera Malaysia (ATM) yang memiliki kelebihan jaringan.
Red Giants tidak menunggu lama untuk berada di depan apabila mereka
berjaya menjaringkan gol seawal minit keempat selepas hantaran lintang S.
Kunanlan dari sebelah kiri terus menerjah ke dalam gawang.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut pasukan bimbingan Fandi Ahmad mula
mengatur serangan bertali arus ke kubu Selangor, bagaimanapun percubaan demi
percubaan yang dilakukan mereka gagal membuahkan hasil.
Sebaliknya, tuan rumah selesa dengan jaringan kedua pada minit ke-32,
hantaran rendah Solihin Kanasian tepat menuju ke arah pemain import, Francis
Forkey Doe yang mudah menampan bola ke dalam pintu gol lawan.
Dua minit selepas itu Johor memperoleh sepakan percuma di depan kotak
penalti Selangor, namun rembatan Safiq Rahim berjaya diselamatkan penjaga gol
tuan rumah, Norazlan Razali.
Ketinggalan 0-2 memaksa Johor melakukan pertukaran pemain secara mendadak,
pemain import mereka, Simone Del Nero dikeluarkan dan digantikan dengan Muhd.
Azniee Taib pada minit ke-39.
Kehadiran Azniee memberi impak pada separuh masa kedua apabila dia sempat
menguji gawang Selangor pada minit ke-48, namun Norazlan sekali lagi bertindak
cemerlang dengan menepis keluar bola tersebut.
Serangan bertubi-tubi Johor memaksa Selangor hanya mencari ruang melalui
serangan balas pantas dan pada minit ke-54, mereka hampir menambah gol ketika
apabila sepakan sudut Amri Yahyah disambut dengan rembatan deras Mahali Jasuli
tetapi diselamatkan penjaga gol gantian pasukan pelawat, Muhd. Al-Hafiz Hamzah.
Selangor terpaksa beraksi dengan 10 pemain pada minit ke-56 apabila pemain
import mereka, Peter Charappan dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari
Norshahrul Idlan Talaha.
Beraksi dengan 10 pemain langsung tidak menyekat semangat luar biasa
Selangor, sebaliknya pada minit ke-67 dan 69 tuan rumah berjaya menyumbat lagi
dua gol menerusi Mahali dan Amri.
Johor seakan baru bangun tidur selepas ketinggalan 0-4 dan pelawat akhirnya
memperoleh gol sagu hati melalui gerakan solo Norshahrul yang menewaskan
beberapa pemain pertahanan sebelum masuk ke dalam petak penalti dan merembat
bola ke dalam gawang.
Di Stadium Jalan Besar,
Singapura, Lions XII mengalahkan penyandang juara, Kelantan 1-0.
***
Irfan Puas Aibkan Johor DT
KUALA LUMPUR - Mereka bukan sahaja berjaya mengalahkan
pasukan bintang, Johor Darul Takzim, malah mencatat kemenangan besar 4-1
walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Itulah semangat luar biasa yang ditunjukkan Selangor dalam aksi Liga Super
di Stadium Shah Alam kelmarin.
Kemenangan itu membuatkan pengendali Red Giants, Irfan Bakti Abu
Salim menarik nafas lega selepas gagal menjaringkan sebarang gol dalam tiga
perlawanan terakhir.
"Malam ini kemarau jaringan sudah berakhir buat Selangor tetapi saya
tidak menjangka kami mampu menjaringkan empat gol dalam usaha untuk mencari
tiga mata penuh di gelanggang sendiri," kata Irfan.
Selangor yang mendapat sokongan 40,000 penyokong setia memberi tekanan
kepada pelawat apabila mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Begitupun, mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas tonggak
pertahanan import, Peter Chrappan menerima kad kuning kedua di minit ke-56.
"Kemenangan ini membolehkan kami terus bertapak di atas liga. Antara
kekuatan kami mungkin kerana saya dapat mengumpul semua pemain dalam satu
pasukan, sukar untuk memperoleh kesemua 18 pemain dalam masa yang sama.
"Secara keseluruhan saya amat berpuas hati dengan pemain kerana dapat
mencatat kemenangan di tempat sendiri dan mengutip mata penuh ke atas pasukan
Johor DT," katanya.
Selain Chrappan, Selangor juga bakal kehilangan seorang lagi tonggak
pertahanan, Asraruddin Putra Omar yang sudah memungut tiga kad kuning.
Namun, dia masih mempunyai masa yang lama untuk mengatur semula pasukannya.
"Kita akan berehat panjang selepas ini, 29 Mac baru menyambung semula
saingan Liga Super menentang Felda Unied, jadi saya boleh atur kembali siapa
yang akan mengisi kekosongan tersebut. Kita masih mempunyai pemain seperti
Fairuz Abdul Aziz dan Bunyamin Omar.
"Perjalanan liga masih panjang namun kita harus menang dan mengutip
seberapa banyak mata yang mampu, kerana sekarang ini hanya dibezakan dengan
jumlah jaringan dengan pasukan tangga teratas liga Angkatan Tentera Malaysia
(ATM)," katanya.
***Kem Johor DT Bergolak?
KUALA LUMPUR - Kekalahan besar 4-1
kepada Selangor dalam perlawanan Liga Super kelmarin mencetus suasana panas
dalam bilik persalinan skuad Johor Darul Takzim, dan pertengkaran sesama pemain
mengejutkan sekumpulan wartawan sebaik sahaja tamat perlawanan di Stadium Shah
Alam.
Desas desus mengenai wujudnya
puak-puak dalam skuad yang dibarisi ramai bintang itu sudah kedengaran sejak
akhir-akhir ini dan insiden kelmarin hanya menguatkan dakwaan.
Sejurus tamat perlawanan, wartawan
menjalankan tugas dengan menemubual kedua-dua jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim
(Selangor) dan Fandi Ahmad (Johor DT).
Ketika pengendali pasukan pelawat
itu sedang menjawab soalan media, dia dipanggil oleh seseorang masuk ke dalam
bilik persalinan.
Sebaik sahaja pintu dibuka olah
Fandi, terdengar salah seorang menjerit: “Safiq!".
Ketika jurulatih tersebut masuk ke
dalam bilik persalinan, wartawan juga dapat mendengar dengan jelas pergaduhan
yang berlaku.
Sebaik keadaan reda, Fandi kembali
membuka pintu dan meminta maaf kerana terpaksa menamatkan temuramah tersebut
lebih awal.
Wartawan kemudian terpaksa menunggu
sekitar 15 hingga 20 minit sebelum keseluruhan pasukan Johor DT keluar dari
bilik persalinan, namun mereka tergesa-gesa menuju ke arah bas.
Berita mengenai kekecohan yang
berlaku dalam bilik persalinan Johor DT turut tersebar meluas di laman-laman
sosial dan portal sukan tempatan beberapa jam selepas tamat perlawanan.
Pengurus Safiq, Sharain Jalil dalam
portal tersebut berkata, bintang tengah kebangsaan itu tidak terlibat dalam
pergaduhan.
Sharain juga menegaskan, bekas
pemain Selangor itu yang diejek oleh penyokong tuan rumah sepanjang perlawanan
tidak ada kena mengena dengan pergaduhan tersebut.
Sementara itu pakar bola sepak Astro
Arena yang juga kolumnis Liga Super Utusan Malaysia, Hasnizam Uzir mendedahkan
dalam kolumnya hari ini bawah kekalahan besar pasukan Harimau Selatan itu
berpunca daripada wujud sikap berpuak-puak dalam skuad Johor DT.
“Dalam bilik persalinan sebaik
sahaja tamat perlawanan dikhabarkan pertelingkahan berlaku antara pemain dan
pengurusan.
“Diharap, pihak pengurusan Johor DT
dapat mengambil tindakan segera untuk mengembalikan kejernihan pasukan,"
katanya.
***
Johor DT Kecoh!
Shah Alam: Suasana bilik persalinan
Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Shah Alam, malam kelmarin difahamkan
‘menjadi panas’ apabila berlaku satu kekecohan yang kemudian tercetus khabar
angin kononnya skuad Harimau Selatan mula hilang persefahaman antara pemain.
Walaupun butiran sebenar kekecohan itu tidak diketahui tapi ia difahamkan lebih menjurus kepada rasa marah pemain dan pegawai selepas dipalit kecewa tewas 1-4 kepada Selangor dalam saingan Liga Super.
Walaupun butiran sebenar kekecohan itu tidak diketahui tapi ia difahamkan lebih menjurus kepada rasa marah pemain dan pegawai selepas dipalit kecewa tewas 1-4 kepada Selangor dalam saingan Liga Super.
Lebih perit, kedengaran ada yang
menjerit, “Safiq....” dalam bilik berkenaan. Wajah kapten pasukan itu tampak
kecewa dan seperti marah-marah selepas berjalan keluar dari bilik persalinan
berkenaan.
Tiada pergaduhan
Apa pun senario yang mencipta keraguan itu pantas ditepis jurulatih pasukan, Fandi Ahmad apabila berkata kekecohan itu tidak berlaku dan tidak ada sebarang pergaduhan dalam bilik persalinan seperti dihebohkan.
“Semua itu tidak benar dan tidak ada sebarang pergaduhan antara pemain selepas perlawanan.
Memang benar saya bergegas masuk bilik persalinan selepas sidang media perlawanan tetapi saya dapati pemain saya bergurau sesama mereka.
“Tidak ada apa-apa yang berlaku dan suasana bising dalam bilik persalinan kerana pemain melepaskan tekanan selepas tewas pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Apa pun senario yang mencipta keraguan itu pantas ditepis jurulatih pasukan, Fandi Ahmad apabila berkata kekecohan itu tidak berlaku dan tidak ada sebarang pergaduhan dalam bilik persalinan seperti dihebohkan.
“Semua itu tidak benar dan tidak ada sebarang pergaduhan antara pemain selepas perlawanan.
Memang benar saya bergegas masuk bilik persalinan selepas sidang media perlawanan tetapi saya dapati pemain saya bergurau sesama mereka.
“Tidak ada apa-apa yang berlaku dan suasana bising dalam bilik persalinan kerana pemain melepaskan tekanan selepas tewas pada perlawanan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
***
Johor Palsu Diterajang Bertubi-Tubi Di Shah Alam
Ahad,
Mac 10, 2013 (Blog Sokernet)
Perkara menerajang Johor ni bukanlah sesuatu yang
asing bagi bola sepak Selangor. Tambah lagi Johor palsu. Benda-benda power
macam ni memang tak boleh dilakukan oleh pasukan negeri lain. Shah Alam,
stadium keramat yang menjadi saksi pasukan yang dibarisi bintang-bintang,
dihentak berlipat oleh pasukan Selangor yang memang terkenal dengan permainan
menarik dan bergayanya sejak turun-temurun.
Bermula seawal minit ke-4, S Kunalan meletakkan
Selangor di hadapan menerusi satu permainan gaya senang yang tak boleh
dilakukan oleh pasukan Pahang. Through pass dari Forkey Doe dikejar bagai
peluru oleh Kunalan, seterusnya bertindak melambungkan bola masuk ke dalam gol,
membuatkan Zamir Selamat lemas terkapai-kapai di daratan. Tersentak dengan gol
awal itu, pasukan Johor Darul Takzim yang dilapisi ego penyokong-penyokongnya
cuba bertindak balas namun begitu mudah dikawal oleh barisan pertahanan
Selangor yang dengan tenang membuatkan Daniel Guiza berfikir dalam-dalam
tentang tujuannya bermain bola sepak di Malaysia.
Selepas itu Selangor menguasai bola sepenuhnya
sehinggakan budak-budak milo di tepi padang kelihatan seperti tiada kerja
hendak dibuat. Mereka bertindak bermain timbang-timbang sesama mereka untuk
menghiburkan hati yang bosan. Stadium Shah Alam kemudian bergegar lagi pada
minit ke-23 apabila Forkey Doe menolak masuk hantaran K Soley bagi menjadikan
kedudukan 2-0. Kali ini Zamir bukan sahaja lemas, malah rebah mengunyah rumput.
Selepas itu Selangor bermain tiki-taka tiki-taka tiki-taka tiki-taka tiki-taka
sampailah tamat separuh masa pertama.
Bermula separuh masa kedua, para pemain bintang
Johor Darul Takzim kelihatan takut-takut untuk masuk ke padang apabila melihat
pemain simpanan Selangor berlatih tendang bola deras-deras. Berbekalkan
semangat TMJ, mereka masuk juga meneruskan permainan mengejar bola mereka.
Melihatkan perlawanan yang tidak seimbang dan pasukan Johor beraksi
bukan-bukan, Irfan bakti mengarahkan pemain baru Selangor, Charappan (betul
ke?) mendapatkan kad merah bagi memberi semangat melawan kepada pasukan Johor.
Sesungguhnya ketakutan mereka memang berasas, kerana pada minit ke-67, Mahali
Jasuli yang berang dengan penggantungan enam bulan TMJ, menambah luka yang
sedia parah kepada pasukan Fandi Ahmad. One Two pass bersama Forkey Doe
disudahkan dengan baik oleh Mahali membuatkan penyokong Johor di seluruh negara
mengalirkan air mata. Selang seminit kemudian, Amri Yahyah yang tidak
kurang berangnya dengan keputusan FAM itu merembat kencang untuk menjadikan
kedudukan 4-0. 4-0???
Persembahan hebat Selangor malam tadi seharusnya
dijadikan tauladan oleh pasukan negeri lain untuk memantapkan permainan mereka.
Selangor sememangnya boleh menambah jaringan lagi selepas itu bagi merampas
kedudukan takhta liga, tetapi sebagai menghormati pejuang-pejuang negara di
Lahad Datu yang masih berperang ketika ini, mereka membenarkan ATM untuk
menduduki takhta sementara, dan cukup sekadar berpuas hati dengan empat gol
sahaja.
No comments:
Post a Comment