12 March 2013

Piala AFC 2013: Ayeyawady United Vs Kelantan

Misi Mengutip 3 Mata Di Tempat Lawan
YANGON, 12 Mac 2013- Skuad AFC Kelantan telah selamat tiba di Yangon pada jam 7 petang (waktu Malaysia) dengan penerbangan Air Asia terus dari LCCT KLIA. Pasukan menginap di Hotel Yangon yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari Stadium Youth Training Center, Yangon.
Pemain-pemain akan menjalani latihan kecergasan di hotel penginapan pada sebelah pagi 12 Mac.
Mesyuarat Koordinasi Perlawanan yang melibatkan Pengurus dan Pegawai Media Pasukan akan diadakan di stadium pada jam 11 pagi (waktu Myanmar) disusuli sidang media pra perlawanan sejam selepas itu.
Sesi latihan rasmi akan berlangsung mulai jam 5 hingga 6 petang di stadium tersebut.
Semua pemain berada dalam keadaan sihat, walaupun sedikit keletihan menempuh perjalanan jauh ke Yangon selepas bertemu Lions XII dalam saingan Liga Super 3 hari lalu.
Tan Sri Hj Annuar Musa yang turut bersama pasukan ke Yangon sempat mengadakan perbincangan dengan Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak, sewaktu pasukan berada di Kuala Lumpur, membuat persediaan ke Yangon. Perbincangan tersebut tertumpu kepada prestasi pasukan sekarang dan persediaan pasukan untuk mengharungi pusingan ke 2 Liga Super, selepas pendaftaran semula pemain pada bulan April nanti.
Kelantan akan bertemu Ayeyawady United pada 13 Mac 2013 di Stadium Youth Training Center untuk perlawanan peringkat kumpulan G. 
***
Hodak Tagih Kebangkitan Pemain
Kemaskini pada March 12, 201
“TIADA alasan untuk kami terus tercicir mata lagi.”
Demikian kata Ketua Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menjelang aksi perlawanan kedua peringkat kumpulan G, Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Ayeywady United di Pusat Latihan Belia, Yangoon, esok.
Pengendali berusia 42 tahun itu berkata, hanya kemenangan ke atas kelab dari Myanmar dilihat mampu memulihkan semangat juang barisan pemainnya yang masih kecewa ekoran kekalahan tipis 0-1 kepada Lions XII dalam saingan Liga Super, Sabtu lalu.
“Masanya sudah tiba untuk pemain ‘wake up call’. Kami terbang ke Myanmar dengan moral pemain sedikit menurun tetapi saya pesan kepada mereka kita harus bangkit meraih tiga mata meski pun beraksi di tempat lawan.
“Kami harus melupakan kekalahan kepada Lions XII. Ini bukan masanya untuk bercerita tentang kekalahan lepas dan kami perlu memandang ke depan apabila bertemu Ayeyawady United, Rabu ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurut Hodak, beliau akui kesulitan bakal dihadapi apabila terpaksa bermain di bawah cuaca terik, namun menyifatkan pengalaman menentang Ayeyawady United di gelanggang yang sama pada kempen Piala AFC musim lalu memberi sedikit kelebihan kepada barisan pemainnya menyesuaikan keadaan tersebut.
Pasukan juara tiga piala musim lalu itu terbang ke Yangoon petang semalam tanpa kelibat pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad yang terpaksa diketepikan akibat masalah kecederaan sambil dua tonggak utama iaitu Mohamad Zamri Ramli dan Obinna Nwaneri turut bergelut untuk pulih dalam masa yang singkat.
“Saya berharap gandingan Dickson Nwakaeme dan Dimitrios Pertratos yang kurang menjadi pada perlawanan sulung menentang Maziya SRC bangkit mempamerkan prestasi sebenar. Ini merupakan perlawanan kompetitif dan mereka perlu melakukan sesuatu (menjaringkan gol) buat Kelantan,” katanya.
Ditanya perasaan beliau setelah gagal membantu The Red Warriors mencipta kemenangan dalam beberapa perlawanan lalu, Hodak secara jujur mengakui mula merasa bahang tekanan ekoran prestasi merudum pasukannya sejak akhir-akhir ini.
“Semua jurulatih berdepan tekanan. Sesiapa yang melatih Kelantan juga pasti menghadapi tekanan. Itu perkara biasa dalam bola sepak dan saya sentiasa berfikiran positif. Saya buat kerja saya, anda buat kerja anda. Tugas saya belum selesai untuk membantu Kelantan meraih tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya.

No comments: