27 March 2013

Perlawanan Amal:Malaysia Vs Palestin

Malaysia Kalah 0-2 Kepada Palestin

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISAshofi.isa@utusan.com.my
KUANTAN - Skuad Harimau Malaya tewas 0-2 pada perlawanan amal antarabangsa menentang Palestin di Stadium Darul Makmur di sini, semalam.
Dua jaringan masing-masing satu daripada Khaled J.A. Salem pada minit ke-39 dan Ashraf N.O. Alfawaghra minit ke-90 cukup untuk meranapkan harapan tuan rumah untuk mencari penyamaan.
Malah, skuad negara yang baharu mencatat kemenangan 2-1 menentang Yemen dalam saingan kelayakan Piala Asia 2015, baharu-baharu ini seolah-olah hilang rentak dengan persembahan kurang memberangsangkan sepanjang perlawanan.
Bermula separuh masa pertama, kedua-dua pasukan dilihat menguji benteng pertahanan masing-masing dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan.
Pada minit ke-27, pemain pasukan pelawat, Iyad A.S. Gharqoud nyaris mencipta jaringan menerusi rembatan kencang bagi menguji kekebalan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Farizal Marlias.
Biarpun hanya berdepan dengan penjaga gol Palestin, Tawfiq A.Y. Abuhammad pada minit ke-30, pemain negara, Amri Yahyah gagal menggunakan peluang tersebut untuk menjaringkan gol.
Pada minit ke-39, gawang Malaysia akhirnya bocor apabila pemain Palestin, Khaled J.A. Salem melakukan sepakan libas cantik menewaskan Mohd. Farizal, meletakkan pelawat mendahului 1-0.
Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K. Rajagobal membuat pertukaran ketiga penjaga gol pada minit ke-90 dengan memasukkan Ahmad Syihan Hazmi Mohamad menggantikan Norazlan Razali.
Belum pun sempat satu minit Ahmad Syihan Hazmi memasuki padang, Palestin dihadiahkan sepakan percuma dan berjaya menjaringkan gol kedua pasukan itu hasil jaringan Ashraf N.O. Alfawaghra.
Tiga minit dalam masa tambahan, pengadil, Sivakorn Puudom menghadiahkan sepakan penalti kepada Palestin namun, Husam I. A. Abusalah gagal menyempurnakannya apabila diselamatkan Ahmad Syihan Hazmi.
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah dan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah berkenan menyaksikan perlawanan tersebut.
Yang turut hadir, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Setiausaha Agung FAM, Datuk Aizuddin Ahmad dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong.
Turut hadir, Duta Palestin ke Malaysia, Abdul Elaziz Abu Ghoush.
Sebelum perlawanan yang dihadiri oleh kira-kira 30,000 penonton itu bermula, Sultan Ahmad Shah menerima beberapa sumbangan daripada pelbagai pihak untuk mengisi Tabung Bantuan Rakyat Palestin dan Tabung Wira Negara Lahad Datu dengan jumlah keseluruhan RM910,000 tidak termasuk jumlah jualan tiket.
Antara yang memberikan sumbangan adalah IOI Group RM100,000, Yayasan Sime Darby (RM100,000) dan Akademi Bola Sepak Frenz United (FUFA) dengan sumbangan RM100,000.
***
Malaysia Tewas Di Tangan Palestin
Skuad Harimau Malaya terpaksa menelan pahit setelah diaibkan oleh Palestin 2-0 pada perlawanan amal antarabangsa di Stadium Darul Makmur.
Skuad bimbingan Datuk K. Rajagobal, yang sebelum ini dikritik kerana persembahan hambar, bagaimanapun bertindak agresif sebaik sahaja perlawanan bermula dengan melancarkan beberapa serangan ke kubu lawan.
Namun, Palestin membalas serangan dan hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-27 apabila rembatan kencang Iyad A.S.Gharoud berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang tuan rumah, Mohd Farizal Marlias.
Tiga minit kemudian, Mohd Amri Yahyah hampir memberikan gol pendahuluan apabila gagal melakukan penyudah semasa berdepan dengan penjaga gol Palestin Tawfiq A.Y.Abuhammad.
Kelekaan benteng pertahanan negara dihukum oleh Palestin menerusi jaringan pertama Khaled J.A.Salem pada minit ke-39.
Percaturan Rajagobal pada separuh masa kedua dengan menukar penjaga gol pada saat-saat akhir mengundang padah apabila Ashraf N.O. Alfawaghra berjaya meledakkan gol kedua pelawat pada minit ke-90.
Palestin hampir menambah satu lagi jaringan pada masa tambahan menerusi sepakan penalti namun sepakan Husam I.A. Abusalah namun ia berjaya ditepis oleh penjaga gol gantian, Ahmad Syihan Hazmi Mohamad.
Perlawanan itu turut disaksikan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Menteri Belia Dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Duta Palestin ke Malaysia Abdul Elaziz Abu Goush.
Sebelum perlawanan bermula, Sultan Ahmad Shah menerima sumbangan berjumlah RM910,000 daripada pelbagai pihak untuk Tabung Lahad Datu dan Palestin.
Jumlah sumbangan itu tidak termasuk jualan tiket perlawanan.
***
Shabery Kecewa Malaysia Tewas
PUTRAJAYA 27 Mac 2013- Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya terhadap aksi longlai skuad Harimau Malaya yang tewas kepada Palestin di Stadium Darul Makmur, Kuantan, kelmarin.
Sambil menyifatkan aksi tersebut sebagai antara terburuk dipamerkan oleh anak buah Datuk K. Rajagopal, beliau berkata, pemain negara seperti bermain sambil lewa dan tidak fokus.
Secara sinis, katanya, biarpun aksi itu merupakan perlawanan amal, cara skuad negara bermain seperti bermurah hati untuk 'menderma' gol kepada pasukan Palestin.
"Banyak kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai contoh penjaga gol yang menyepak bola betul-betul kepada pemain lawan.
"Selain itu, cara jurulatih membuat percaturan taktikal ketika menukar penjaga gol sewaktu menerima sepakan percuma di minit akhir perlawanan hingga menghasilkan gol kedua Palestin turut menimbulkan persoalan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Portal Pemetaan Belia Malaysia di bangunan Kementerian Belia dan Sukan di sini, semalam.
Beliau mengulas kekalahan terbaharu skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan menentang Palestin semalam, yang bertujuan mengisi Tabung Bantuan Rakyat Palestin dan Tabung Wira Negara Lahad Datu.
Menurut Ahmad Shabery, skuad negara seharusnya berasa malu tewas kepada pasukan Palestin yang diketahui sebagai sebuah pasukan yang serba kekurangan terutamanya dari segi persediaan dan fasiliti.
Sebaliknya, katanya, pasukan negara yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan sukan bermutu tinggi di samping mendapat perhatian badan sukan negara seperti Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) gagal menghasilkan keputusan positif.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya pasukan negara segera bangkit dan menilai semula betapa rendahnya mutu permainan bola sepak negara berbanding pasukan lain.
Sementara itu, beliau turut menyelar sikap pemain negara yang tidak menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi biarpun tewas apabila tidak mengendahkan penonton selepas perlawanan itu berakhir.
"Semalam pemain Palestin yang jaga hati peminat dengan pergi mengucapkan terima kasih tetapi pemain Malaysia tidak menghormati peminat dengan berlalu begitu sahaja.
"Saya bimbang sekiranya Harimau Malaya terus menyajikan aksi buruk seperti ini menyebabkan peminat marah dan tiada lagi sesiapa akan datang menyaksikan skuad negara bermain," katanya.
***
Palestin 'Ajar' Malaysia
Ketika skuad negara beraksi longlai, tetapi barisan Palestin menunjukkan semangat juang tinggi untuk memastikan kemenangan walaupun ia sekadar perlawanan persahabatan amal yang bukan berkelas A.
Pada perlawanan itu, Palestin yang dilatih Jamal Mahmoud lebih banyak menguji pertahanan Harimau Malaya.
Ia dapat disaksikan pada minit ke-27 apabila Iyad A.S Gahrqoud hampir meletakkan pasukannya di depan tetapi sepakan lambung tersasar di sebelah kiri ketika penjaga gol negara, Mohd Farizal Marlias sudah tertewas.
Peluang terbaik skuad negara hadir menerusi Mohd Amri Yahyah tetapi penjaga gol Palestin, Tawfiq A Y Abuhammad berjaya menangkap kemas pada minit ke-30.
Akhirnya gol yang dicari-cari Palestin berjaya disempurnakan Khaled J A Salem enam minit sebelum tamat separuh masa pertama.
Taktik Raja dipertikai
Bersambung babak kedua, barisan Rajagobal sedikit menyerlah namun dinafikan kekentalan jentera pertahanan Palestin yang bijak mematahkan serangan Harimau Malaya.
Selepas itu, tidak banyak yang dapat dilakukan pemain negara untuk memecah kebuntuan, sebaliknya Palestin yang jarang menguji pertahanan negara berjaya menambah jaringan pada minit terakhir permainan menerusi Ashraf Alfawaghra hasil sepakan percuma.
Bagaimanapun, Rajagobal harus dipersalahkan atas jaringan itu kerana memasukkan penjaga gol muda, Ahmad Syihan Hazmi menggantikan Norazlan Razali ketika lawan mendapat sepakan percuma di luar kotak penalti.
Lawan bagaimanapun mendapat penalti di hujung perlawanan tetapi Ahmad Syihan memastikan gawang negara tidak lagi dibolosi. 
***
Ada Yang Tak Akan diPanggil Lagi - Rajagobal
BEBERAPA pemain tidak akan dipanggil untuk menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya.
Ketua jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk K. Rajagobal berkata, beliau membuat keputusan itu selepas mereka gagal memberi aksi terbaik pada perlawanan-perlawanan sebelum ini.
Para pemain tersebut tidak menggunakan peluang selepas diberi kesempatan untuk bermain bersama pasukan kebangsaan.
 “Ada pemain-pemain yang tidak menggunakan peluang dengan baik. Saya sudah kenal pasti pemain-pemain itu dan saya tidak akan memberikan peluang kepada mereka lagi.
“Para pemain itu sendiri harus tahu (jika tidak dipanggil) kerana mereka gagal memberi aksi yang sepatutnya,” katanya yang enggan mendedahkan nama-nama pemain tersebut.
Rajagobal mendedahkan perkara tersebut pada sidang media selepas perlawanan persahabatan amal antarabangsa menentang Palestin di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang kelmarin.
Perlawanan itu diadakan bagi mengutip dana Tabung Perwira Lahad Datu dan Tabung Palestin.
Sebanyak RM910,000 berjaya dikumpul bagi kedua-dua tabung tersebut tidak termasuk hasil kutipan tiket daripada kira-kira 30,000 penonton.
Mengulas mengenai kekalahan 0-2 Harimau Malaya, Rajagobal berkata, ketiadaan beberapa tonggak utama turut mempengaruhi rentak permainan namun ia bukan menjadi penyebab utama.
“Kami tahu pada malam ini (kelmarin), pasukan tidak dapat bermain seperti mana yang diharapkan kerana ketiadaan beberapa pemain utama.
“Sebab itu kami beri peluang kepada pemain-pemain lain tetapi apa yang berlaku ialah mereka tidak memberi aksi yang sepatutnya,” katanya.
Bagaimanapun, Rajagobal enggan menyalahkan penjaga gawang, Ahmad Syihan Hazmi Mohamad yang menjadi punca pasukan pelawat memperoleh gol kedua hasil satu sepakan percuma sejurus menggantikan Norazlan Razali pada minit ke-90 akibat kecederaan.
“Dia (Ahmad Syihan) masih muda dan bermain dengan baik. Penjaga gol itu mempunyai kecergasan fizikal yang baik dan kami akan beri peluang kerana yakin dia ada potensi,” ujarnya.
Sementara itu, jurulatih Palestin, Abdalla Alfara berkata, mereka tidak mementingkan keputusan perlawanan.
“Kami seronok bermain di sini dan sangat menghormati pasukan Malaysia yang terdiri daripada pemain-pemain profesional.
“Perlawanan ini diadakan atas semangat setiakawan antara Malaysia dan Palestin. Kami juga mengucapkan selamat berjaya kepada pasukan Malaysia pada kempen kelayakan Piala Asia,” katanya.
Gol-gol Palestin pada perlawanan itu dihasilkan melalui sepakan kencang Khaled J.A Salem pada minit ke-39 dan tendangan percuma yang disempurnakan Ashraf N.O Alfawaghra pada minit ke-90.
Berangkat menyaksikan perlawanan itu ialah Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah.
Hadir sama ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Sharbery Cheek; Setiausaha Agung FAM, Datuk Aizuddin Ahmad dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Seri Zolkples Embong.
Turut hadir, Duta Besar Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Abughoush.
***
Beza Palestin dan Malaysia
Penulis tidak terkejut apabila Harimau Malaya tewas 2-0 kepada Palestin dalam perlawanan persahabatan di Kuantan Selasa lalu.
Ini kerana penulis menjadi saksi kepada kecundangnya pasukan negara pada pra-Piala Dunia di Hong Kong tanggal 11 Mac, 2001.
Masih segar dalam ingatan penulis bagaimana pasukan kebangsaan bimbingan bekas penolong pengurus Barcelona, Allan Harris diselubungi campuran rasa bersalah, gelisah dan sedih akibat satu kekalahan yang sukar ditelan.
Aneh bukan, bagaimana barisan yang dibentuk di kalangan pemain dalam liga bergelar profesional tersungkur di tangan pasukan yang tidak pernah beraksi di tanah air mereka sendiri.
Bagi berlaku adil, penulis mengakui Malaysia menguasai permainan di Stadium Hong Kong itu.
Bobby Pian pula mencipta sejarah tersendiri, menjadi anak Sarawak dan kaum Kelabit pertama dianugerah lilitan kapten di lengan.
Namun apabila Bobby tewas dalam pergelutan dengan Mohammed Aljeesh yang kemudian melambungkan bola dari jarak 25 meter yang singgah di palang sebelum menggegar jaring Mazlan Wahid, ia membawa pelbagai tafsiran.
Ia adalah kemenangan sulung buat pasukan Palestin dalam Pra-Piala Dunia, apatah lagi misi sulung mereka dalam pertandingan anjuran FIFA sejak diiktiraf pada 1998.
Wajah Harris merah padam cuba merungkai di mana silapnya, apatah lagi beberapa hari terdahulu dua jaringan Akmal Rizal Ahmad Rakhli menundukkan Hong Kong di gelanggang mereka sendiri.
Jurulatih Palestin, Moustapha Abdel Ghaly, menyimpulkannya sebagai kesudahan daripada semangat dan daya juang anak didiknya yang luar biasa.
Penulis sempat berbual di kamar hotelnya membincangkan bagaimana beliau membina pasukan di sebalik konflik yang tiada noktahnya.
"Seorang daripada pemain tengah kami Tareq Al-Quto terbunuh dalam satu pertempuran ketika Intifada kedua pada 2000," kata Moustapha yang berasal dari Mesir.
"Tidak mudah mengumpul pemain yang terpaksa beraksi sambil menyedari bahawa ada di kalangan keluarga mereka yang terpaksa bermalam di khemah pelarian dan ada pula yang terbunuh."
Kapten Palestin, Saeb Jendeya, pemain pertahanan bertubuh tegap dan bermisai tebal umpama Tom Selleck, mengenang saat semua kegiatan bola sepak terhenti ketika Intifada yang pertama pada 1987.
"Saya berhenti belajar pada berusia 12 tahun dan sebaliknya menyertai rakan-rakan membaling batu ke arah tentera Zionis. Takkan saya hendak duduk diam ketika penduduk lain dibunuh."
Berbanding pemain tempatan yang rata-rata harus bersyukur mendapat punca rezeki daripada industri bola sepak tempatan, pemain Palestin menjadikan bola sepak sebagai satu bentuk escapism dan 'political statement'.
Pemain negara khasnya dan atlet tempatan amnya harus mengambil iktibar daripada perjuangan atlet Palestin dan bagaimana mereka masih sanggup memberi komitmen 100 peratus biarpun dijajah, dihalau dan diseksa di halaman sendiri.
Kesusahan ini menjadikan mereka berdepan realiti berbeza lantas membuatkan mereka lebih bersemangat dan kuat dari segi mental.
Kekalahan 2-0 anak buah Datuk K. Rajagobal kepada Palestin menerusi jaringan lipat gunting Khaled J.A. Salem dan Ashraf N.O Al Fawaghra sekadar menyerlahkan hakikat Harimau Malaya budiman dan bermurah hati memberi kemenangan sempena perlawanan amal.
Namun dengan ada sesetengah pemain Harimau Malaya yang hidup mewah dengan gaji mencecah RM100,000 sebulan, Malaysia tidak boleh menyerah mudah apabila pra-Piala Asia 2015 bersambung semula Ogos depan.
Sumber: Astro Arena

No comments: