25 March 2013

Piala FA 2013: Kelantan Vs PKNS FC

Piala FA 2013: Pusingan Ke-2 / Kalah Mati (Kelantan Vs PKNS Fc)
Tarikh : 25/3/2013 (Selasa)
Venue : Stadium Sultan Mohammad Ke IV Kota Bharu

Kelantan Yakin Ke Suku Akhir
PENYANDANG juara, Kelantan yakin mampu menyingkirkan PKNS FC apabila kedua-dua pasukan turun berentap pada aksi tunggal Pusingan Kedua  Piala FA di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Keyakinan itu disuarakan Ketua Jurulatih, Bojan Hodak yang menyifatkan pasukan kini berada pada prestasi terbaik setelah menewaskan Ayeyawady United 3-1 dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) baru-baru ini, sekali gus mempunyai kelebihan mengisi slot ke suku akhir bertemu Sarawak pada 6 April ini.

“Satu pertemuan sengit setiap kali kami bertemu PKNS FC di Kota Bharu. Mungkin orang cakap peluang 50-50 buat kedua-dua pasukan, tetapi saya sentiasa optimis kita boleh menewaskan mereka malam ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah pengendali dari Croatia itu tampil melancarkan perang psikologi apabila mengesahkan akan menurunkan barisan terkuatnya meskipun kehilangan pemain sayap, Mohd Norfarhan Muhammad yang belum pulih daripada kecederaan ketika ini.

“Kecuali Mohd Norfarhan, yang lain bebas daripada kecederaan dan penggantungan perlawanan. Malah saya akan gunakan khidmat tiga pemain kebangsaan iaitu Apex (Khairul Fahmi Che Mat), Piya (Mohd Badhri Radzi) dan Mohd Shakir (Shaari) meskipun mereka sedikit kepenatan.

Pertemuan Kelantan menentang PKNS FC pada 26 Februari lalu ditangguh setelah gelombang banjir kedua melanda Kelantan.

Menurut Hodak, beliau belum membuat keputusan untuk meletakkan siapa pemain tempatan yang akan digandingkan dengan penyerang import, Keita Mandjou selaku penggempur utama Kelantan pada pertemuan pusingan kedua kalah mati ini.

“Belum lagi (buat keputusan)....mungkin Indra Putra (Mahayuddin) atau Mohd Haris Safwan (Mohd Kamal). Kita tengok dulu dalam latihan terakhir petang ini (semalam). Saya ada banyak opsyen sekarang termasuk Mohd Faiz (Subri) dan juga Mohd Khairul Izuan (Rosli),” katanya.
Sumber : Sinar Harian 
***
Bojan: Beres Misi Dalam 90 Minit 
Kota Bharu: “Kelantan harus elak perlawanan diheret ke penentuan sepakan penalti. Mesti menang dalam tempoh 90 minit,” tegas ketua jurulatih Kelantan, Bojan Hodak menjelang perlawanan kalah mati saingan Piala FA antara Kelantan dengan Selangor PKNS di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Pengendali berasal dari Croatia itu akur barisan bergelar The Red Warriors (TRW) itu bakal mendapat saingan sengit daripada lawan melihat skuadnya sedikit tempang di barisan depan tanpa penyerang berbisa, Muhammad Norfarhan Mohamad yang masih dibelenggu kecederaan.

Keadaan itu memaksa Bojan menagih khidmat tiga tonggak yang baru pulang dari bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia menentang Yaman Jumaat lalu, iaitu kapten, Mohd Badhri Radzi, pemain tengah, Shakir Shaari dan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.
Harap Mandjou Menyinar
“Saya rasa lebih selamat kami menang dalam tempoh 90 minit kerana masa tambahan hanya mengundang risiko.
“Saya juga harap Keita Mandjou dapat mempamerkan aksi terbaik esok (malam ini) selain khidmat Piya (Mohd Badhri), Shakir dan Apek (Khairul Fahmi) sangat diperlukan dalam perlawanan penting itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
 

Sementara itu, Piya yang tidak menafikan terada keletihan selepas tugasan bersama skuad Harimau Malaya, baru-baru ini turut memberi pendapat sama seperti Bojan yang mahu TRW menang dalam tempoh 90 minit.
“Segala pengalaman yang saya dapat sepanjang bersama skuad kebangsaan akan saya guna untuk perlawanan malam ini.

“Kami sudah banyak kali kecewa dalam penentuan sepakan penalti termasuk ketika tewas kepada Tentera dalam perlawanan merebut Piala Sumbangsih awal musim ini. Saya tidak mahu perkara sama berulang dan mahu fokus bantu pasukan dalam tempoh 90 minit,” katanya.

THE RED WARRIOR'S

No comments: