30 March 2013

Kelantan Calar Ego ATM


SEREMBAN - Kelantan bukan sahaja menafikan hajat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengukuhkan cengkaman pendahulu, malah kejayaan membenam naib juara Piala Malaysia itu 3-2 di di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam membuka laluan kepada Selangor untuk merampas teraju Liga Super.
Walaupun berjaya menunjukkan kebangkitan hebat selepas ketinggalan 0-2 di babak pertama, namun ATM akhirnya terpaksa akur dengan jaringan lewat minit Mohd. Nor Farhan Muhammad untuk terlepas sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga.
Malah, tuan rumah harus menyalahkan diri sendiri selepas Marlon Alex James gagal menyempurnakan sepakan penalti seawal minit pertama, apabila dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Indera Putra Mahiyuddin, yang mudah menyepak bola ke gawang yang kosong pada jarak 30 meter pada minit ke-27, berpunca daripada kesilapan antara Md Safwan Hashim dan penjaga gol tuan rumah, Farizal Harun.
Penyerang import Red Warriors, Keita Mannjou menambah perit ATM apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-33.
ATM yang cuba bangkit turut mendapat peluang keemasan melalui pemain sayap, Venice Elphi yang melepaskan rembatan kencang, namun cubaannya diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-40.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Hairuddin Omar hampir menjaringkan gol pertama melalui hantaran Bruno Marteloto, bagaimanapun sepakannya terus ke arah dakapan Khairul Fahmi.
Pada babak kedua perlawanan, Kelantan hampir menambah derita tuan rumah melalui rembatan kencang Keita Manjou pada minit ke-49, tetapi diselamatkan Farizal.
ATM kemudian berjaya merapatkan jurang gol pertama melalui jaringan Alex James yang merembat kencang selepas menerima sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-54.
Seminit selepas itu, ATM hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Christeejayaseelan, namun terkena tiang pasukan pelawat.
Pada minit ke-67, Alex James berjaya menyelamatkan maruah ATM selepas menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.
Farizal yang beraksi tangkas seharusnya diberi pujian apabila menyelamatkan banyak percubaan dan asakan Kelantan.
Pada minit ke-90, Mohd Norfarhan muncul wira apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menjaringkan gol kemenangan Kelantan.
Keputusan kekal 2-3 jaringan sehingga wisel penamat ditiup pengadil Mohd Zamzaidi Katimin pada minit ke-94.
***
Syukur ALHAMDULILLAH...TRW 3-2 ATM..tak sia sia pertemuan saya dgn pemain sebelum masuk padang..SYABAS!!!mereka berjuang..MEREKA AKAN BERISTIREHAT MLM NI DAN ESOK BERSAMA FAMILY DI TOK AMAN BALI...PUKUL 5.30 mereka berjalan di PANTAI SEMERAK BERSAMA RIBUAN
PENYOKONG!..JUMPA DI TOK BALI SET KITA..SELEKE BELAKO!!!!

No comments: