30 March 2013

Kelantan Calar Ego ATM


SEREMBAN - Kelantan bukan sahaja menafikan hajat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mengukuhkan cengkaman pendahulu, malah kejayaan membenam naib juara Piala Malaysia itu 3-2 di di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi semalam membuka laluan kepada Selangor untuk merampas teraju Liga Super.
Walaupun berjaya menunjukkan kebangkitan hebat selepas ketinggalan 0-2 di babak pertama, namun ATM akhirnya terpaksa akur dengan jaringan lewat minit Mohd. Nor Farhan Muhammad untuk terlepas sekurang-kurangnya meraih satu mata berharga.
Malah, tuan rumah harus menyalahkan diri sendiri selepas Marlon Alex James gagal menyempurnakan sepakan penalti seawal minit pertama, apabila dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Khairul Fahmi Che Mat.
Kelantan bermula garang apabila membuka jaringan menerusi Indera Putra Mahiyuddin, yang mudah menyepak bola ke gawang yang kosong pada jarak 30 meter pada minit ke-27, berpunca daripada kesilapan antara Md Safwan Hashim dan penjaga gol tuan rumah, Farizal Harun.
Penyerang import Red Warriors, Keita Mannjou menambah perit ATM apabila menyumbat gol kedua pada minit ke-33.
ATM yang cuba bangkit turut mendapat peluang keemasan melalui pemain sayap, Venice Elphi yang melepaskan rembatan kencang, namun cubaannya diselamatkan Khairul Fahmi pada minit ke-40.
Sebelum tamat separuh masa pertama, Hairuddin Omar hampir menjaringkan gol pertama melalui hantaran Bruno Marteloto, bagaimanapun sepakannya terus ke arah dakapan Khairul Fahmi.
Pada babak kedua perlawanan, Kelantan hampir menambah derita tuan rumah melalui rembatan kencang Keita Manjou pada minit ke-49, tetapi diselamatkan Farizal.
ATM kemudian berjaya merapatkan jurang gol pertama melalui jaringan Alex James yang merembat kencang selepas menerima sepakan percuma di luar kotak penalti pada minit ke-54.
Seminit selepas itu, ATM hampir menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Christeejayaseelan, namun terkena tiang pasukan pelawat.
Pada minit ke-67, Alex James berjaya menyelamatkan maruah ATM selepas menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti.
Farizal yang beraksi tangkas seharusnya diberi pujian apabila menyelamatkan banyak percubaan dan asakan Kelantan.
Pada minit ke-90, Mohd Norfarhan muncul wira apabila berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menjaringkan gol kemenangan Kelantan.
Keputusan kekal 2-3 jaringan sehingga wisel penamat ditiup pengadil Mohd Zamzaidi Katimin pada minit ke-94.
***
Syukur ALHAMDULILLAH...TRW 3-2 ATM..tak sia sia pertemuan saya dgn pemain sebelum masuk padang..SYABAS!!!mereka berjuang..MEREKA AKAN BERISTIREHAT MLM NI DAN ESOK BERSAMA FAMILY DI TOK AMAN BALI...PUKUL 5.30 mereka berjalan di PANTAI SEMERAK BERSAMA RIBUAN
PENYOKONG!..JUMPA DI TOK BALI SET KITA..SELEKE BELAKO!!!!

28 March 2013

MSL: # 11 ATM Vs Kelantan

Kelantan Harap Aura Kemenangan Berterusan Di Paroi
Liga Malaysia Perlawanan Ke-11
Tarikh : 29hb Mac 2013  (Jumaat) 8.45 malam
Venue : Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, NS

KOTA BHARU, 28 Mac - Dua kemenangan berturut-turut dari dua saingan yang berlainan, Piala AFC dan Piala FA, menjadi bekal Kelantan bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk pertemuan terakhir pusingan pertama Liga Super pada 29 Mac nanti, menentang pasukan ATM.
Dalam pertemuan peringkat kumpulan Piala AFC di Yangon, Kelantan berjaya menewaskan pasukan tuan rumah, Ayeyawady Untied FC 3-1, sebelum meneruskan perjuangan di peringkat kalah mati Piala FA di Kota Bharu, menundukkan pasukan pelawat PKNS FC dengan jaringan 4-2.
Kelantan yang berada dalam kondisi terbaik untuk meneruskan rentak kemenangan apabila semua pemain utama dapat diturunkan untuk beraksi dalam perlawanan malam esok. Pemain-pemain yang menyertai pasukan kebangsaan sebelum ini, Piya, Shakir, Apex dan Nik Shahrul Azim, telah kembali bersama pasukan. Indra Putra, Farhan, Faiz Subri dan Keita Mandjou akan manggalas tugas menggempur pertahanan pasukan ATM yang sedikit pincang apabila 4 pemain utama mereka tidak dapat beraksi malam esok.
Walau bagaimanapun, Ketua Jurulatih Kelantan berkata, The Red Warrrios harus berwaspada kerana pemain-pemain gantian yang bakal diturunkan oleh ATM akan mengambil peluang ini untuk menunjukkan aksi terbaik mereka.
Kelantan akan bertemu ATM di Seremban jam 8.45 malam esok, sebelum kembali ke Kota Bharu untuk persediaan perlawanan AFC yang seterusnya menentang wakil dari Vietnam, SHB Da Nang FC pada 2 April nanti.
***
Faiz Subri Dapat Suntikan Semangat
PENYERANG Kelantan, Mohd. Faiz Subri bertekad untuk mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan selepas ini.
Mohd. Faiz mula mencuri tumpuan selepas dia meledakkan gol pertama Kelantan ketika menewaskan PKNS 4-2 pada aksi pusingan kedua Piala FA Isnin lalu.
Pada perlawanan tersebut, Mohd. Faiz yang tidak dikawal berjaya melepaskan rembatan kencang dari jarak 25 meter, sekali gus gagal diselamatkan oleh penjaga gol PKNS, Mohd. Ramezy Che Ros.
Ia adalah jaringan sulung pemain yang mewakili Kelantan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Mohd. Faiz mengakui jaringan itu menyuntik semangatnya untuk terus meledakkan lebih banyak jaringan, sekali gus membantu Kelantan meraih kejuaraan musim ini.
“Ini merupakan gol pertama saya pada kempen Piala FA. Pada saingan Liga Super, saya masih belum berpeluang untuk menghasilkan jaringan.
“Saya berikrar untuk menjaringkan lebih banyak gol pada aksi liga selepas ini.
“Selepas pulih sepenuhnya daripada kecederaan melonjakkan lagi semangat saya untuk memberikan aksi terbaik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Mohd. Faiz berkata, dia terus bertekad untuk meraih kepercayaan ketua jurulatih, Bojan Hodak bagi disenaraikan dalam kesebelasan pasukan itu.
Anak kelahiran Air Hitam, Kedah itu antara penjaring terbanyak T-Team musim lalu dengan meledakkan sebelas gol sepanjang 36 penampilan bersama pasukan tersebut.
Mengulas mengenai pertemuan menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, Jumaat ini, Mohd. Faiz berkata, dia yakin Kelantan mampu meraih kemenangan pada perlawanan tersebut.
***
Cabaran Buat ATM - Sathia
KEHILANGAN tujuh tonggak utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjelang perlawanan Liga Super menentang Kelantan, esok tidak akan menjejaskan  semangat The Gladiators, kata pengendalinya, B Sathianathan.
Sebaliknya, Sathia berkata, situasi itu dijadikan cabaran terutama kepada barisan pemain simpanan yang jarang diturunkan.
"Saya ingatkan kepada pemain simpanan, sekarang adalah masa untuk membuktikan mereka layak berada dalam ATM.
"Apa yang penting, beri 100 peratus komitmen kepada pasukan. Menang atau kalah terserah kepada nasib," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap kecederaan menimpa pemain pertahanan, Amir Ridzwan Taj Tajuddin sempat pulih.
"Apa pun saya lega Hai-O (Hairuddin Omar) dapat diturunkan menentang Kelantan nanti," katanya.

ATM tidak dapat menggunakan khidmat Shukor Adan, G Jeevanathan, R Surendran dan Fitri Omar selepas digantung antara dua hingga empat perlawanan susulan insiden pergaduhan pada aksi Piala FA menentang Selangor.
Sementara itu, Norfazly Alias terpaksa berehat sehingga enam minggu (cedera tulang pipi) manakala K Reuben dan Rezal Zambery Yahya digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning. 
***
Kerisauan Hai-O jadi Kenyataan
KAPTEN Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Hairuddin Omar berharap perancangan skuad Tentera dalam melayan kunjungan Kelantan 29 Mac ini tidak terbantut  memandangkan dirinya dan tiga rakan lain digantung  perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Hai-O yakin pengendali pasukan, B Sathianathan mempunyai pelan B bagi menghadapi pasukan Kelantan.
“Rezal Zambery Yahaya dan K Rueben tidak dapat diturunkan menjelang perlawanan minggu depan kerana digantung satu perlawanan.
“Dalam masa sama, R Surendran, G Jeevanathan dan Fitri Omar juga tidak dapat beraksi bersama selepas dikenakan tindakan gantung empat perlawanan berikutan insiden pergaduhan tempoh hari.
“Walaupun ‘kehilangan’ mereka, saya tetap percaya dengan kemampuan rakan sepasukan yang lain dan sudah pasti jurulatih mempunyai perancangannya sendiri untuk mengatasi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam perkembangan lain, ketika ditanya kegagalannya menemui sentuhan berbisa di depan gol selepas sepuluh perlawanan, penyerang kelahiran Setiu, Terengganu yang menjaringkan 17 gol dalam Liga Perdana musim lalu itu berkata: “Masa itu akan tiba.
“Secara jujurnya saya tidak kisah dengan jumlah jaringan peribadi kerana apa yang menjadi kepentingan adalah kejayaan pasukan. Malah sasaran saya untuk musim ini adalah menjulang Piala Liga Super.