29 January 2013

Presiden KAFA Sukar Menghayati Peraturan FAM

Tan Sri Annuar Musa
Oleh: Hussein Ismail (Johor Bharu) @29-1-2013
Sumber: Utusan Malaysia
"SAYA terus bersuara," kata Tan Sri Annuar Musa dalam wawancara di Mingguan Malaysia Ahad, 27 Januari 2013 nampak macam jelas suara mirip orang yang cuba merendahkan kewibawaan FAM.
Ia jelas satu penyataan yang menggambarkan seolah-olah FAM tidak memberikan ruang untuk beliau memberikan pandangan melainkan di akhbar. Malang bagi FAM kerana mendapat pemimpin berlatar belakangkan politik yang suka sangat membasuh "pekong atau kekotoran" sendiri di dada akhbar.
Nama Tan Sri Annuar Musa sememangnya sinonim dengan pelbagai kontroversi sama ada yang positif atau negatif. Lihat sahaja perbalahan beliau dengan Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam tahun 1992.
Semasa usaha-usaha sedang giat untuk memelihara imej negara dalam usaha untuk menganjurkan Sukan Komanwel, satu dunia sedia maklum tentang kononnya cara beliau dilihat telah membelakangkan kuasa MOM dalam pelantikan anggota Lembaga/Pasukan Sukan Komanwel.
Perlu ditekankan di sini bahawa sesuatu peraturan yang dibuat itu adalah untuk mengikat setiap tindakan yang akan diambil dan ia amat mudah difahami tetapi nampaknya macam amat sukar untuk Presiden KAFA ini menghayati.
Lihatlah kata-kata beliau dalam wawancara itu "Saya reda, biarlah saya digantung dua kali atau digantung seumur hidup kerana jika saya tidak lakukan perkara ini ia akan berterusan."
Contoh kata-kata orang yang ingin mendapatkan perhatian dan sokongan, dan mungkin terlupa agaknya yang beliau sudah mempunyai cukup peluang untuk memperbetulkan keadaan ini semasa mempunyai tanggungjawab sebagai Menteri Sukan (1990-1993).
Saya ingin memberikan pandangan tentang isu curi atau perpindahan pemain dan merujuk kata-kata Presiden KAFA "Segala pelaburan oleh kelab terhadap pemain tidak akan ada pulangan sedangkan kelab habis berpuluh juta setahun."
Cuma saya hendak tanya Tan Sri Annuar Musa berapakah agaknya Persatuan Bolasepak Kelantan atau Presidennya sendiri membiayai pembangunan Noshahrul Idham Talaha dari tahun 2010 sehingga 2012.
Mungkin juga berapa pula belanja pembangunan pemain tersebut oleh Persatuan Bolasepak Perak, Negeri Sembilan dan Kelab UPB-My Team yang dah defunct yang membiayai MatYo untuk menjadi pemain milik mereka sehingga 2009 sebelum berhijrah ke Kelantan.
Jika sekiranya ini boleh diperincikan dengan jelas dengan tidak termasuk belanja oleh pihak FAM sendiri, maka bolehlah dipertimbangkan nilai RM1 juta yang kononnya bayaran perpindahan MatYo untuk dibahagikan secara adil kepada pihak-pihak yang terlibat seperti Persatuan Bolasepak Perak, Negeri Sembilan dan Kelab UPB-My Team atau administrator kelab tersebut, tidak termasuk FAM sendiri.
Janganlah dengan mudah mendabik dada seolah-olah pemain ini cemerlang atas usaha KAFA sahaja dan justeru ia boleh menuntut ini dan itu dengan sesuka hati dengan tidak dirasionalkan terlebih dahulu.
Pembangunan, pengurusan dan pentadbiran bola sepak profesional hendaklah dilaksanakan secara menyeluruh dari semua peringkat dan bukan hanya dilihat daripada aspek perpindahan pemain sahaja.
Untuk makluman Presiden KAFA, khabar perpindahan pemain Kelantan telah mula didengar sebelum perlawanan akhir Piala Malaysia lagi dan perkara tidak puas hati pemain telah lama didengar dan janganlah cuba menafikan.
Sepatutnya beliau kena selidik sebab-sebab MatYo, Mohammad Ghaddar, S. Chantury dan Nurul Azwan Roya hendak berpindah.
Dari aspek keselamatan pula, saya amat setuju jika sekiranya pihak FAM melihat semula peraturan dan sistem keselamatan di dalam dan juga luar stadium terutamanya kepada pemain, pegawai dan penyokong pasukan pelawat.
Kita semua telah melihat bahawa kejadian yang mencederakan dan juga meragut nyawa penonton telah banyak berlaku dan malang sebegini sememangnya tidak boleh dijangkakan.
Ini bukan soal provokasi tetapi lebih kepada proses pencegahan daripada kejadian yang tidak diingini berlaku terutamanya tempat-tempat yang dikenal pasti kerap berlaku kejadian rusuhan penonton.
Andaian bahawa tiada kejadian buruk berlaku di Stadium Sultan Mahmud Ke IV dalam tahun 2010 dan 2011 tidak boleh diterima bulat-bulat oleh kerana keadaan persekitaran adalah berbeza iaitu Pasukan Kelantan tidak kalah.
Tetapi bagi tahun semasa ini agak berbeza dan keadaan dan hubungan kedua-dua pasukan terlibat agak panas sebelum perlawanan itu.
Takut-takut kalaulah ada pasukan yang tidak boleh menerima kekalahan kelak akan membuat kekacauan dan rusuhan mungkin boleh berlaku....malang tidak berbau.
Ini telah terbukti bahawa kawalan keselamatan tidak begitu mantap ketika itu sehinggakan tempat duduk tetamu kehormat pun pun kena baling air botol dan ini hanya disebabkan keputusan seri sahaja dan bukan dilakukan atas sebab provokasi
Akhir kata saya berpandangan bahawa pengurusan Bolasepak Negeri Johor telah memberikan pengiktirafan sewajarnya kepada pemain yang terbukti cemerlang dengan memberikan ganjaran yang setimpal dan perkara ini mungkin pihak KAFA terlepas pandang agaknya. 
WAWANCARA MINGGUAN MALAYSIA & TSAM BOLEH RUJUK SINI
***
Respon TSAM@29-1-2013
Tan Sri Annuar Musa
Hari ini seorang "HUSSEIN ISMAIL" menyamar sebagai ORANG JOHOR BHARU dan menulis di akhbar Utusan Malaysia..setelah di teliti tulisannya didapati beliau bukan seorang yang TULIN tapi menyamar dan beliau bukan orang biasa tapi ORANG YANG TERTENTU..justeru tulisannya tak perlu saya ulas kerana ia berbaur sentimen dan hujahnya TAK BERBALOI DIBERI KOMEN apa apa..Apa pun terima kasih kerana bersusah payah buat research sampai waktu saya jadi menteri dan terima kasih juga kuat membela FAM..macam kenal je penulisnya..tak payah la menyamar………

No comments: