28 May 2013

Piala FA 2013: Semi Final 2 (Terengganu Vs Kelantan)

Kelantan Mahu Gempur Lagi!

KOTA BHARU - Pengendali pasukan Kelantan Bojan Hodak mahu mendapatkan jaringan awal pada pertemuan separuh akhir kedua Piala FA bertemu Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu hari ini.
Hodak berkata, jaringan awal amat penting buat pasukannya bagi memberikan tekanan ke atas lawan meskipun membawa bekalan selesa hasil kemenangan 4-1 pada aksi pertama lalu,
Sehubungan itu, beliau akan mempertaruhkan barisan terbaik pada perlawanan tersebut bagi memastikan kemenangan milik Kelantan.
"Saya tidak fikir kita perlu simpan pemain. Kita akan tetap turunkan barisan terkuat dan mengambil serius perlawanan ini bermula minit pertama sehinggalah wisel penamat.
"Saya enggan mendabik dada dengan kemenangan 4-1 tempoh hari kerana saya masih menganggap keputusan masih 0-0 untuk perlawanan kedua. Mahu atau tidak kita perlu bekerja lebih keras sepanjang perlawanan tersebut," katanya ketika dihubungi pemberita di sini, semalam.
Beliau berkeyakinan Terengganu pasti akan beraksi bermati-matian pada perlawanan tersebut bagi memastikan mereka mampu melakar kejutan untuk mara ke pusingan seterusnya.
Hodak memberitahu, beliau hampir pasti kehilangan tonggak pertahanan Azizi Mat Rose yang terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan di bahagian paha pada aksi separuh akhir pertama Sabtu lalu.
"Azizi mungkin perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu untuk pulih dan boleh kembali beraksi semula bagaimanapun saya masih ada Mohd. Farisham Ismail dan Mohd. Daudsu Jamaluddin yang boleh mengisi kekosongan Azizi," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Hodak menghamburkan pujian kepada barisan penyokong The Red Warriors yang sentiasa memberikan sokongan padu kepada barisan pemain meskipun ketinggalan 0-1 pada perlawanan tempoh hari.
***
Petang ini, pasukan TRW Kelantan akan menentang Terengganu untuk separuh akhir kedua Piala FA. Walaupun berbekal kelebihan gol yang banyak, saya tetap mengharapkan pemain-pemain TRW mempersembahkan permainan yang baik dan seterusnya menempah tiket ke final. Untuk anak-anak Kelantan yang akan ke Terengganu, jaga adab dan tatasusila sebagai anak Kelantan. Menang perlawanan itu penting, namun menang akhlak dan tatasusila itu jauh lebih penting!
Pesanan dari : Datuk Ahmad Yakob (Menteri Besar Kelantan) 

No comments: