30 May 2013

Tuah Saat Akhir, Dickson Penyelamat


JUARA bertahan, The Red Warriors (TRW) mengesahkan slot ke final Piala FA 2013 hasil kemenangan agregat 6-5 pada pertembungan separuh akhir kedua penuh dramatik di Sultan Ismail Nasiruddin Shah Stadium, petang semalam.
Pada 25 Mei lalu, skuad Bojan Hodak membawa bekalan 4-1 apabila menewaskan pasukan Penyu pada perlawanan separuh akhir pertama di Kota Bharu.
Dua kad merah menghiasi perlawanan yang penuh tegang apabila Effa Owona dan Manaf Mamat di buang padang kerana mengasari lawan.
Begitu pun, Vincent Bikana menyalakan semangat Penyu hasil jaringan pembukaan melalui sepakan percuma pada minit kelima dan G Puaneswaran menggandakan jaringan pada m-26 memastikan kedudukan mereka bertambah kukuh.
Belum sempat Kelantan mengatur langkah,  Owona meledak gol ketiga juga hasil tandukan m-71 dan gol Manaf di m-90 bagaikan membawa Penyu ke pentas akhir namun jaringan Obinna Nwaneripada lewat masa kecederaan mengheret permainan berlarutan ke masa tambahan 30 minit.
Tuah nyata milik Kelantan,  apabila Dickson Nwakaeme mudah menolak masuk bola kemenangan m-119 selepas tendangan luar kotak penalti Indra Putra Mahayuddin gagal ditampan kemas Shamiza Yusof.
Perlawanan akhir dijangka berlangsung pada 29 Jun 2013 depan di Stadium Bukit Jalil.
Tuah Saat Akhir
KETUA Jurulatih Kelantan, Bojan Hodak akui anak buahnya kerap melakukan kesilapan pada babak pertama sehingga membolehkan Terengganu mendahului dua dol pada pertembungan separuh akhir kedua Piala FA di Kuala Terengganu, petang semalam.
Pada separuh masa pertama, kelekaan Kelantan dihukum dua gol tuan rumah menerusi Vincent Bikana m-5 dan G Puaneswaran (26).
"Kami lakukan kesilapan tidak sepatutnya sepanjang 45 minit pertama. Kami bangkit pada lewat penghujung babak kedua dan Dickson Nwakaeme memastikan kita tidak kempunan musim ini.
"Apa pun, saya harus puji pemain Terengganu yang memaksa kami bekerja keras dan inilah bola sepak," katanya.
Hodak mengulangi persembahan anak buahnya semalam seakan mengulangi pertembungan separuh akhir pertama di Kota Bharu Sabtu lalu apabila meledak empat gol pada 10 minit terakhir.
"Saya percaya kepada pemain walaupun ketinggalan dan mereka balas kepercayaan diberikan," katanya.
Kelantan kini dalam misi mempertahankan gelaran yang dimenangi musim lalu dan bakal beraksi di final pada 29 Jun 2013 depan.
Elavarasan Kecewa
"GOL pertama Kelantan saya tidak boleh ulas lanjut. Perlu tengok sama ada gol itu offside atau tidak," kata Pengendali Terengganu, E Elavarasan selepas pasukan kendaliannya, Terengganu tersingkir daripada saingan Piala FA.
Petang semalam, Penyu mengatasi Kelantan 4-2, namun gagal meneruskan kemaraan ke perlawanan akhir apabila keputusan agregat tidak memihak kepada mereka.
"Kami bermain untuk menang. Apa pun, bukan mudah beraksi dengan 9 pemain," katanya.
Pada separuh akhir pertama di Kota Bharu Sabtu lalu, Terengganu tewas 1-4.
Azman : Bagai Mati Hidup Semula
“BAGAI mati hidup semula”. Demikian kata pengurus pasukan Kelantan, Azman Ibrahim mengenai kejayaan anak didik Bojan Hodak yang bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Terengganu secara agregat 6-5 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Nasiruddin Shah, petang semalam.
Mengakui Kelantan kerap melakukan kesilapan pada babak pertama sehingga membolehkan Terengganu mendahului dua gol, Azman bagaimanapun menyifatkan sikap tidak putus asa dan keyakinan tinggi pemain untuk mencatat kemenangan membolehkan mereka menghasilkan ganjaran lumayan.
“Kami lakukan kesilapan tidak sepatutnya sepanjang 45 minit pertama. Kami bangkit pada lewat penghujung babak kedua dan Dickson Nwakaeme memastikan kita tidak kempunan musim ini.
“Semestinya pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana mereka begitu komited mengawal pergerakan pemain lawan selain mampu mencipta beberapa peluang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.
Pada aksi dramatik saingan separuh akhir kedua petang semalam, Kelantan tewas 2-4 namun tetap layak setelah menang 4-1 pada aksi pertama di Kota Bharu, Sabtu lalu.
Keputusan itu membuatkan Kelantan mara ke pentas final Piala FA buat kali keempat dalam tempoh lima tahun.
Mengulas lanjut, Azman berkata, beliau gembira melihat semangat juang pemain Kelantan yang menunjukkan mutu permainan luar biasa pada perlawanan tersebut.
Tambah Azman, dengan adanya semangat dan disiplin yang tinggi ditunjukkan oleh kesemua pemain, usaha mereka telah membuahkan hasil yang cemerlang dan akhirnya mereka berjaya mara ke pentas final sekali gus semakin menghampiri untuk mempertahankan gelaran juara musim lalu.
“Saya sangat terkejut melihat perubahan karakter pemain, meskipun pada mulanya mereka gagal beraksi dengan baik sehingga membolehkan pasukan lawan berjaya menghasilkan dua lagi gol pada babak kedua, namun Kelantan berjaya bangkit.
“Mereka langsung tidak mengalah dan persembahan pemain di babak akhir sangat luar biasa, inilah bola sepak,” ujar Azman.
Dalam pada itu ketika ditanya kesukaran Kelantan untuk menghasilkan gol sekiranya ketiadaan Dickson dalam pasukan itu, Azman bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya beliau menjelaskan apa yang penting mereka telah berjaya berada di pentas akhir Piala FA.
“Mengenai taktikal yang dilakukan Bojan saya enggan komen, dia sebagai jurulatih lebih mengetahui mana yang baik, apa yang penting sekarang fokus dan persiapan untuk perlawanan akhir.
“Apa strategi dan taktikal yang akan dilakukan nanti semuanya terpulang kepada jurulatih kerana dia yang akan uruskan,” kata Azman yang optimis Kelantan mampu mempertahankan gelaran musim lalu.
Bojan Hodak : Obinna Wira Kelantan
PEMAIN Kelantan diingatkan supaya mencontohi semangat tonggak pertahanan, Obinna Nwaneri yang tidak berputusa asa malah membidas pemainnya yang mempamerkan aksi lemah ketika perlawanan timbal balik separuh akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, semalam.
Perkara itu diakui oleh jurulatih Kelantan, Bojan Hodak yang menyifatkan Nwaneri sebagai penyelamat ketika The Red Warriors hampir tersingkir daripada melangkah ke final Piala FA selepas pasukan kendalian E. Elavarasan berjaya bangkit di laman sendiri.
Jurulatih berusia 42 tahun kelahiran Croatia itu menyuarakan kekecewaan dengan tahap persembahan anak buahnya dalam perlawanan itu walaupun TRW berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir dengan agregat 6-5 mengatasi Terengganu.
“Bagi saya, Obinna harus diangkat sebagai wira kerana dalam perlawanan ini, dia bukan sahaja menjadi benteng penting kepada Kelantan malah turut membantu jentera serangan pada minit akhir permainan. Dia juga telah menyelamatkan kami daripada tersingkir.
“Ia mungkin kerana mereka terlalu yakin dengan kemenangan 4-1 di Kota Baru, pada separuh akhir pertama Sabtu lalu. Apa yang boleh saya katakan, pemain Terengganu bermain lebih baik berbanding pemain saya dalam perlawanan ini,” katanya.
Jaringan Nwaneri dihujung permainan berjaya membawa perlawanan ke masa tambahan sebelum penyerang berbisa, Dickson Nwakaeme memastikan Kelantan layak ke final bagi mempertahankan kejuaraan.
Bagaimanapun pasukan lawan yang akan berdepan ‘Pahlawan Merah’ itu di final belum diketahui selepas satu lagi perlawanan separuh akhir antara Johor Darul Takzim dan Pahang terpaksa ditunda oleh FAM gara-gara kekecohan penyokong yang berlaku di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.
www.sports247.my