01 February 2009

RAKAN TAMAN

Warga Kota diseru sertai Rakan Taman

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyeru warga kota supaya menjadi ahli Rakan Taman bagi membolehkan mereka bekerjasama antara satu sama lain bagi menjaga alam sekitar demi mewujudkan persekitaran rekreasi yang bersih, selesa dan selamat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Salleh Yusup berkata, program Rakan Taman anjuran DBKL itu mampu mendidik warga kota serta melibatkan mereka dalam aktiviti menyenggara, memelihara serta menjaga persekitaran taman-taman di Kuala Lumpur dengan aktiviti yang dianjurkan.

Ujarnya, dengan menjadi ahli Rakan Taman, warga kota juga mendapat pelbagai kemudahan serta keistimewaan.










Logo Rakan Taman









Antara aktiviti semasa Karnival Rakan Taman ( Dis 2008 lalu ) di Taman Tasik Titiwangsa ~ " Flora Hunt "

"Antara keistimewaannya ialah mendapat diskaun untuk memasuki mana-mana taman berbayar seperti Taman Burung, Taman Bunga serta Taman Rama-rama yang terdapat di sekitar Kuala Lumpur."Selain itu, mereka juga akan dimaklumkan lebih awal sekiranya DBKL menganjurkan sebarang aktiviti bagimemudahkan mereka menyertai program tersebut sama ada melalui e-mel mahupun laman web.

"Ahli-ahli Rakan Taman juga dianggap sebagai anggota keluarga DBKL dan dapat membantu DBKL menjaga persekitaran taman-taman daripada vandalisme dengan boleh menghubungi terus jabatan yang bertanggungjawab untuk pembaikan segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Rakan Taman DBKL 2008 di Taman Tasik Titiwangsa di sini baru-baru ini.

Karnival itu turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pameran agensi kerajaan, gerai jualan, rekreasi kuda, "Flora Hunt", pertandingan menggubah bunga, pertandingan mengukir betik, pertandingan bunga pasu serta pertandingan memancing.Salleh menambah, memandangkan terdapat 12 buah taman awam yang berskala lebih daripada 20 hektar di sekitar Kuala Lumpur maka DBKL memerlukan lebih ramai penyertaan warga kota dalam programberkenaan.

Jelasnya, sejak dirasmikan pada 23 Jun tahun lalu, sambutan terhadap program berkenaan kurang menggalakkan.

"Sejak ia dilancarkan tahun lalu hanya 500 orang sahaja yang mendaftar menjadi ahli. Bagaimanapun, DBKL mensasarkan 10 peratus daripada populasi penduduk Kuala Lumpur iaitu daripada 1.7 juta bakal menjadi ahli dalam masa lima tahun lagi.

"Kami akan mengadakan promosi untuk menggalakkan orang ramai menyertai program ini bagi menambahkan bilangan ahli sekali gus dapat membantu DBKL menjaga taman-taman rekreasi," jelasnya.

( Petikan Utusan Online @ 20.12.2008 )

No comments: