01 July 2013

Piala FA Untuk Penyokong

Piala FA Untuk Penyokong
KUALA LUMPUR - Khairul Fahmi Che Mat menganggap kejayaan Kelantan memenangi Piala FA apabila mengalahkan Johor Darul Takzim 1-0 kelmarin sebagai kemenangan untuk penyokong setia The Red Warriors.
Dia mengakui bukan mudah memenangi kembali Piala FA kali ini kerana berdepan tentangan sengit daripada pasukan berstatus bintang, Johor Darul Takzim dan berharap lebih banyak kejayaan akan dinikmati oleh The Red Warriors selepas ini.
"Terima kasih kepada para penyokong Kelantan yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu sepanjang perlawanan.
"Piala FA ini adalah untuk mereka semua yang sentiasa setia di belakang Kelantan dan kejayaan mempertahankan kejuaraan Piala FA ini cukup manis, " katanya yang ditemui selepas perlawanan kelmarin.
Dalam masa sama, Apek melihat masalah kecederaan yang menimpa dua pemain utama Johor Darul Takzim menyebabkan skuad bimbingan Fandi Ahmad gagal memberikan persembahan terbaik.
"Masalah kecederaan yang menimpa Safee Sali dan Andrezinho pada awal permainan mungkin memberikan kesan kepada permainan mereka.
"Barisan hadapan kami pula dapat mencipta banyak peluang dan pergerakan mereka cukup lancar yang secara tidak langsung memberikan keyakinan buat kami dalam perlawanan ini.
"Selepas jaringan Norfarhan (Muhammad), Johor DT banyak menyerang pada separuh masa kedua tetapi aksi pertahanan banyak membantu saya untuk memastikan gawang Kelantan tidak dibolosi, " katanya,
***
Pengakuan M. Karathu
“PIYA (Mohd. Badhri Mohd. Radzi) telah membuktikan keupayaannya dan sudah tiba masanya untuk dia diberikan peluang mengemudi jentera tengah skuad Harimau Malaya.”
Demikian tegas bekas jurulatih Kelantan, Datuk M. Karathu (gambar kecil) selepas menyaksikan kapten Kelantan itu membantu The Red Warriors (TWR) mempertahankan Piala FA dengan menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin.
Pada perlawanan tersebut, Piya muncul watak penting dengan melakukan banyak hantaran tepat kepada jentera serangan Kelantan dan umpanan pertamanya kepada Mohd. Norfarhan Muhammad telah berjaya menghasilkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16.
Kelincahan yang dipamerkan pemain tengah kelantan itu membolehkannya dinobatkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir.
“Piya merupakan seorang ‘jeneral padang’ yang hebat. Lihat sahaja gandingannya dengan Mohd. Shakir Shaari yang berjaya menguasai bahagian tengah berbanding Johor DT.
“Sebenarnya, saya juga hairan dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh Johor DT. Dalam aksi sebelum ini, pemain-pemain tengah mereka lebih banyak pegang bola.
“Namun, pada aksi semalam (kelmarin), mereka dilihat lebih kerap turun dan melakukan serangan melalui bahagian tepi.
“Piya dilihat semakin selesa dengan gaya permainannya. malah mampu melepasi dua tiga pemain tengah Johor DT. Ini bermakna Johor DT memberikan ruang yang selesa kepada Kelantan untuk bergerak.
“Hasilnya, Kelantan berjaya mengambil kesempatan itu dengan menjaringkan gol kemenangan sekali gus mempertahankan kejuaraan Piala FA,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Tambah bekas pengendali Perak itu, beliau menepis dakwaan bahawa Piya hanya mampu menyinar dengan Kelantan dan tenggelam ketika bersama Harimau Malaya.
Ini kerana Karathu menganggap pemain berusia 31 tahun itu memiliki kelebihan dari sudut pengalaman beraksi di pentas final dan Piala AFC.
“Sebenarnya, perkara itu bergantung kepada jurulatih dan saya pernah membimbing Piya dan saya tahu keupayaan pemain ini.
“Sudah tiba masanya dia diberikan peluang untuk mengemudi pasukan Harimau Malaya,” katanya.
***
Gol Farhan Julang TRW

Gol tunggal Norfarhan Mohd seawal minit ke-15 menjulang Kelantan selaku juara Piala FA buat musim kedua berturut-turut, mengecewakan barisan lima bintang dari selatan tanah air, Johor Darul Takzim di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Aksi bertenaga di babak pertama terutama menerusi sentuhan kelas tersendiri kapten, Badhri Razi serta gandingan mantap tiga serangkai, Norfarhan, Dickson Nwakaeme dan Fakri Saarani menyaksikan JDT bimbingan Fandi Ahmad umpama tergamam dan tidak berupaya untuk menjelmakan tentangan sengit. 
Selepas gol jaringan Norfarhan yang merembat masuk hantaran Piya, Fandi pantas mengeluarkan Safee Sali untuk digantikan dengan Leonel Nunez namun ia tidak berhasil memberikan impak di mana Kelantan terus mendominasi barisan tengah dan melancarkan serangan demi serangan menerusi sentuhan kreatif Piya. 
Kelantan merupakan pasukan ketiga selepas Kuala Lumpur dan Kedah untuk muncul juara dua kali berturut-turut. Kelantan seharusnya menambah tiga atau empat jaringan di babak pertama tetapi Fakri, Dickson mahupun Norfarhan kesemuanya gagal menyudahkan peluang yang hadir tatkala JDT terus hilang punca. Keputusan Fandi melakukan dua lagi pertukaran awal juga tidak membantu tatkala Norsharul Idlan tidak menampakkan nilainya sebagai penyerang terbaik negara manakala safiq Rahim pula seperti tidak wujud di atas padang.  Meskipun cuba bangkit di babak kedua, JDT gagal menembusi gawang Kelantan dikawal kemas Khairul Fahmi Che Mat dan keputusan kekal 1-0 hingga wisel penamat. 

***
Farhan Balas Kepercayaan Hodak
PENYERANG Kelantan, Mohd. Norfarhan Muhammad yang muncul wira skuad The Red Warriors (TWR) apabila menjaringkan gol kemenangan pasukan itu ketika menewaskan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin, berasa puas kerana dapat membalas kepercayaan yang diberikan oleh jurulatihnya, Bojan Hodak.
Pada final Piala FA menentang Sime Darby FC tahun lalu, Norfarhan sekadar menyaksikan rakannya beraksi daripada bangku pemain simpanan kerana Hodak lebih berminat menggunakan gandingan Norshahrul Idlan Talaha serta Mohammad Ghaddar ketika itu.
Kira-kira lima bulan selepas itu, dalam final Piala Malaysia menentang Angkatan Tentera (ATM) pula, penyerang berusia 29 tahun itu sekali lagi menjadi penonton apabila menjalani penggantungan perlawanan akibat menerima dua kad kuning.
Namum, segala kenangan pahit itu terus lenyap di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam kelmarin apabila Norfarhan yang menerima umpanan sempurna daripada kapten, Mohd. Badhri Mohd. Radzi menampilkan aksi tenang untuk menyudahkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 sekali gus membantu Kelantan mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi mereka tahun lalu.
"Saya sangat gembira serta berbangga kerana menjadi sebahagian dalam sejarah gemilang pasukan Kelantan dan saya anggap kejayaan ini hasil usaha keras semua pihak yang terlibat dalam membangunkan bola sepak Kelantan.
"Saya tidak kisah siapa pun yang menjaringkan gol, namun apa yang paling penting bagi saya adalah dapat bermain dalam perlawanan akhir ini.
"Bagi saya, kemenangan ini adalah hasil permainan berpasukan dan kerjasama semua pihak," kata Norfarhan ketika ditemui Kosmo! selepas perlawanan akhir Piala FA malam kelmarin.
Kejayaan Kelantan itu membolehkan mereka mengekalkan kejuaraan Piala FA yang dimenangi tahun lalu manakala bagi pasukan Johor DT, kegagalan itu telah menangguhkan hasrat mereka untuk mencatat kejuaraan buat pertama kali dalam kejohanan kalah mati itu.
Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri pula telah dipilih sebagai Pemain Terbaik perlawanan akhir Piala FA tersebut selepas berjaya mengemudi dengan baik jentera tengah pasukan Kelantan serta berjaya menenggelamkan arkitek Johor DT, Mohammad Safiq Rahim.
***
Bayangan Jadi Realiti-Farhan
 
"KETIKA sesi memanaskan badan, saya sudah terbayang menjaringkan gol kemenangan buat pasukan Kelantan," kata penyerang The Red Warriors, Norfarhan Muhamad.
Menurut Farhan, keyakinannya melonjak tinggi sebaik melihat sokongan padu daripada penyokong TRW yang memenuhi segenap ruang Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.
“Saya dapat rasakan bahawa malam ini (kelmarin), saya mampu menyumbat gol. Ternyata, apa yang saya bayangkan menjadi realiti," katanya.
Menurut Farhan lagi, kejayaan mengatasi Johor Darul Takzim (JDT) sedikit sebanyak mengubati kekecewaannya yang terlepas perlawanan akhir Piala FA menentang Sime Darby, tahun lalu.
Pada masa sama, penyerang berusia 28 tahun itu menjelaskan kemenangan Kelantan kelmarin melayakkan mereka beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan dan ia sesuatu yang perlu dibanggakan pemain serta peminat.
“Kemenangan ini cukup bermakna selain mengekalkan kejuaraan dua tahun berturut-turut, Kelantan juga mengesahkan penyertaan dalam saingan Piala AFC untuk kali ketiga,” katanya.
Pada aksi final malam kelmarin, Farhan menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-16 selepas mendapat umpanan cantik Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol Harimau Selatan,  Muhammad Al-Hafiz Hamzah.
 

No comments: